Entah berapa lama sudah diri ini tidak berjalan-jalan di 'Pasar Malam' dan pada hari ini diri ku telah sampai ke pasar malam secara kebetulan. Pada malam ini diri ku sedikit kelapangan waktu, dengan tidak semena-mena dalam perjalanan pulang terdapat sebuah pasar malam. Hati ku terpanggil untuk singgah sebentar dan melihat-lihat apakah yang boleh di beli, khususnya berkaitan makanan, dan kebetulan diri ini belum makan malam lagi. Setelah mendapat ruang untuk meletak kereta, kaki ku pun memulakan langkah untuk melihat apakah yang berkenan di hati untuk di beli. Lokasi pasar malam kali ini terletak di jalan bulan, Subang Impian, kawasan Subang, yang sememangnya akan di buka pada setiap hari sabtu ataupun malam minggu. Biasa juga lalu di situ cumanya tidak singgah dan kali ini, kaki ku benar-benar menjejakinya serta meluangkan sedikit masa untuk bersiar-siar sambil melihat gerai-gerai jualan yang terdapat di situ.
Rata-rata peniaga dan pengusaha di pasar malam ini majoritinya ialah orang melayu, cuma terdapat satu atau dua gerai sahaja orang cina yang menjual pakaian. Ada juga dua gerai kelihatan seperti warga asing, orang indonesia yang menjual sayur-sayuran kampung. "Ini cendawan apa ni kak?", tanya diri ku kepada penjual sayur kampung tersebut. "Cendawan Ladang ni encik, saya kutip sendiri dari ladang kelapa sawit", ujar beliau kepada ku dalam loghat indonesia, kelihatan juga bersama beliau dua orang anak kecil turut menemani beliau menjual di situ. "Agaknya tiada orang boleh jaga di rumah sebab itu di bawa sekali", bisik hati kecil ku. "Saya jual sepinggan cuma dua ringgit, kalau encik ambil tiga pinggan saya kira lima ringgit", ujarnya kepada ku lagi. "Siap bagi diskaun lagi, cukup murah kerana ianya di pungut sendiri dari ladang, mungkin tempat beliau bekerja", bisik hati ku lagi. Namun diri ku tidak membelinya, bertanya sekadar ingin tahu cendawan apakah itu, maklumlah diri ini tidak mahir dalam jenis-jenis cendawan ini. Sambil menghulurkan senyuman di wajah tanda layanan mesra beliau kepada diri ku, diri ku juga membalas senyuman beliau tanda terima kasih atas penerangan yang di berikan dan berlalu dari situ untuk melihat gerai-gerai yang lain pula. Dalam hati ku berkata lagi, "rajin sungguh orang itu, walaupun terpaksa membawa bersama seorang anak kecil dalam pangkuannya dan seorang lagi di sisi beliau, masih giat meneruskan usaha demi sebuah kehidupan di rantau orang". Ada sahaja cara untuk mendapatkan rezeki asal sahaja mahu berusaha. Benarlah kata orang, warga asing banyak yang menumpang tuah di bumi malaysia yang bertuah ini. Sesiapa sahaja boleh cari makan, asalkan tidak malas berusaha.
Dalam pengamatan diri ini, dari jenis makanan, barang kering, barang basah seperti ikan, daging dan sayuran-sayuran serta barang-barang lain yang terdapat, dijual di sini di usahakan oleh peniaga melayu. Cerita tentang pasar malam di malaysia ini tentunya biasa sahaja bagi penduduk di malaysia ini. Tetapi buat diri ku ini, apa yang menariknya adalah orang melayu sangat sinonim dengan perniagaan pasar malam. Dan di pasar malam juga soal harga memang murah dan berpatutan. Ada banyak barang terjual di sini dengan harga yang murah dan segar. Di pasar malam ini diri ku melihat begitu ramai warga asing yang mengunjunginya. Ini bermakna memang ramai warga asing yang mendiami kawasan sekitar. Dan pada waktu ini pasar malam di dalam bandar mendapat banyak pembeli dari warga asing, mereka juga merupakan penyumbang kepada ekonomi peniaga melayu di pasar malam. Ya! inilah kenyataannya yang dapat di lihat di lokasi yang diri ku kunjungi ini. Apa kaitan warga asing dengan pasar malam? adakah pembeli tempatan sudah tidak minat mengunjungi pasar malam? Mungkin masyarakat tempatan di bandar sudah biasa dengan membuat belian di pasaraya besar yang berada di kawasan sekitar. Kebanyakan warga tempatan mudah bergerak kerana mempunyai kenderaan sendiri, sedangkan warga asing kurang memiliki kenderaan sendiri dan tidak bebas untuk bergerak jauh, tambahan pula jika mereka itu tiada permit kerja. Apapun yang terjadi semuanya ada hikmah, jika tiada pembeli sudah pasti peniaga juga tidak dapat bertahan. Dengan adanya pembeli, maka adanya permintaan dan ujudnya peluang perniagaan. Rezeki para peniaga pasar malam akan terus ada untuk berniaga di sini pada tiap-tiap hari sabtu. Bukan tiada warga tempatan kelihatan di pasar malam ini, cuma jumlahnya dangan warga asing lebih kurang sama banyak yang terdapat di sini. Pada waktu diri ku berada di pasar malam ini jam di tangan ku menunjukkan lebih kurang sembilan malam sahaja. Apa yang pasti di kawasan Subang Impian ini, jumlah warga asing yang menetap di sini memang ramai. Ini kerana terdapat banyak industri kecil dan sederhana di kawasan ini dan pasti mereka merupakan pekerja dalam sektor ini. Sungguh bertuah bumi malaysia, ramai yang dapat mencari rezeki di sini.
Apa yang ingin diri ku kongsikan di sini adalah soal peluang yang ujud, khususnya dalam perihal berniaga kecil-kecilan ini, seperti pengusaha perniagaan pasar malam. Perniagaan ini akan terus ujud selagi adanya permintaan dan pertambahan penduduk. Ini adalah satu peluang yang baik untuk terus di terokai oleh rakan-rakan di luar sana yang ingin mencuba. Namun demikian agak terhad juga ruang, kerana ruang yang lama telah di penuhi oleh peniaga-peniaga yang telah lama bertapak di situ. Mungkin perkara ini boleh di rujuk dengan pihak berkuasa tempatan atau persatuan-persatuan penduduk bagi rakan-rakan yang berminat untuk menceburi perniagaan pasar malam. Siapa tahukan bermula berniaga di pasar malam, "sebagai langkah permulaan", kemudian dari situ merangkak dan belajar selok belok berniaga dan satu hari bangkit serta beralih kepada perniagaan yang lebih bersistem dan baik. Perniagaan sebegini kecil modalnya dan juga sudah tentu kecil risikonya. Kepada yang ingin mencuba-cuba, usahakanlah bertanya-tanya kepada para pengusaha di pasar malam, mungkin mereka boleh memberi nasihat yang baik bagaimana mahu bermula dan berjumpa dengan pihak mana untuk mendapatkan kebenaran atau lesen.
Diri ku sangat tertarik dengan seorang pengusaha menjual jagung manis, sempat berbual dengan beliau seketika. "Bagaimana dengan perniagaan pasar malam di sini sedara?", soal ku kepada penjual jagung manis tersebut memulakan bicara, sewaktu diri ini menunggu beliau menyiapkan pesanan ku, kerana terlebih dahulu diri ku telah memesan dua ketul jagung manis, dek kerana rasa teringin pulak, "apabila bauwan yang di keluarkan sewaktu diri ku sampai di gerai beliau, sangat menusuk kalbu". "Ok lah bang", jawabnya kepada ku. "Kalau dulu saya kerja dispatch gaji saya tak seberapa bang", tambah anak muda ini lagi. "Dah tiga tahun saya berniaga di pasar malam sekitar Subang dan Shah Alam, ujar beliau kepada ku lagi. "Alhamdullilah bang, duit untung meniaga pasar malam ni lah saya buat belanja kahwin, beli rumah dan kereta, anak pun dah dua bang". Kalau saya masih kerja dispatch lagi mungkin belum mampu kot nak beli rumah dan kereta dalam usia muda ni bang", beliau menerangkan pada ku dengan panjang lebar. Mungkin beliau agak teruja apabila diri ku meminta izin untuk mengambil beberapa gambar dengan camera kesayangan ku ini, yang pasti ku bawa kemana-mana. "Abang nak buat apa dengan gambar saya ni bang?", beliau bertanya pada ku. "Gambar ini abang nak simpan buat koleksi dan mungkin ada kelapangan nanti abang nak jadikan bahan penulisan abang di Blog", diriku memberi jawapan kepada pertanyaan beliau. Kelihatan wajah beliau tersenyum sehingga menampakan giginya, tanda faham dengan maksud dan niat ku tentang gambar beliau. "Berapa umur sekarang"? tanya diri ku lagi kepada beliau. "25 tahun bang", jawapanya kepada ku. "Wah muda lagi semua dah ada", ujar ku kepadanya lagi. "Rezeki berniaga bang, syukur sangat", jawapannya kepada diri ku, kelihatan seorang wanita sedang sibuk membantu beliau begitu menumpukan pada pelanggan yang sedang sibuk membeli dan sesekali sempat menoleh ke arah ku sambil melontarkan senyuman sebagai tanda kemesraan seorang peniaga kepada pelanggannya. "OK bang, siap! jagung manis bersalut bang". Diri ku terus membuat bayaran, beliau mengucakan terima kasih dan diri ku pun terus berlalu dengan senyuman di wajah, tanda terima kasih ku kerana beliau sudi untuk berbual dan berkongsi sedikit pengalaman dengan diri ku.
Ini menandakan perniagaan pasar malam juga menjanjikan pendapatan yang lumayan, sekiranya kena dengan produk yang di jual dan lokasi, seperti peniaga jagung manis tadi sememangnya mempunyai daya tarikan yang tersendiri dan menyebabkan ramai yang lalu lalang di situ terpanggil untuk singgah membelinya. Bagi diri ku anak muda ini boleh di jadikan contoh yang baik. Dalam usia baru dua pulu lima tahun, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak telah mampu memiliki kenderaan sendiri dan kediaman sendiri hasil dari perniagaan jagung manis di pasar malam sahaja. Ini menunjukkan pendapatan yang di jana tentu lumayan jika di bandingkan dari pendapatan beliau bekerja sebagai seorang dispetch. Memang benar rezeki melalui perniagaan ini adalah 9/10, yang membawa maksud jika bijak mengambil peluang dan rajin berusaha walaupun sebagai seorang penjual jagung manis di pasar malam sahaja, juga mampu berjaya, apatah lagi dalam usia muda dan hidup di bandar besar ini kos sara hidup bukanlah murah. Tahniah! orang muda, anda telah membuktikan dalam usia yang begitu muda anda telah berjaya dengan hidup berdikari, sebagai seorang pengusaha jagung manis di pasar malam.
Setelah hampir sejam diri ku meluangkan masa di pasar malam ini, akhirnya setelah diri ku membeli dua ketul jagung manis, sekilo buah mata kucing dan beberapa makanan yang lain, diri ku beredar dari situ untuk pulang ke rumah dan makan malam dengan apa yang di beli dari pasar malam ini. Apa yang dapat diri ku simpulkan, tauladan dari cerita pengusaha pasar malam ini buat diri ku dan warga pembaca semua adalah seperti berikut; Contoh tauladan yang boleh di ambil merupakan, seorang anak muda berusia dua puluh lima tahun, berniaga jagung manis rebus di pasar malam sahaja, telah memiliki sebuah kehidupan yang lengkap dan boleh dikatakan agak baik. Kerana pada hari ini jarang-jarang kita boleh dengar dalam usia berikut sudah boleh memiliki kehidupan sedemikian rupa. Tak kala dalam usia ini kebanyakan remaja baru habis belajar dari universiti, baru mahu mencari-cari peluang pekerjaan atau baru berjinak-jinak dengan pekerjaan. Namun anak muda yang berniaga di pasar malam ini telah memiliki segalanya dalam kadar sederhana dan bersyukur kerana memilikinya.
"Ambil kesilapan lepas sebagai pelajaran"
"Individu yang tidak belajar daripada pengajaran sejarah telah menempa kegagalan. Kegagalan merupakan guru sekiranya kita mempunyai sikap yang betul. Kegagalan itu adalah merupakan lencongan, bukannya jalan mati. Ia kelewatan, bukan kekalahan. Pengalaman nama yang kita berikan kepada kesilapan kita."
"Sesetengah individu hidup dan belajar, dan sebahagiannya hanya hidup. Individu bijak belajar dari kesilapan mereka manakala individu yang lebih bijak belajar daripada kesilapan individu yang lain. Hidup kita tidak cukup panjang untuk belajar hanya dari kesilapan kita sendiri."
"Sesetengah individu bukan hanya tidak pernah belajar daripada kesilapan mereka tetapi asyik mempraktikkannya sehingga mereka dapat mengusainya. Mereka menjadi mahir dalam melakukan kesilapan.
Kesempatan adakalanya datang menyamar sebagai rintangan. Itulah sebab kebanyakan individu tidak mengenalinya. Ingat lebih besar rintangan tersebut, lebih besarlah peluangnya."
Mengakhiri nukilan ku pada kali ini dengan doa dan harapan, semoga serba sedikit kisah dari nukilan yang di kongsikan buat kali ini, sedikit sebanyak mendapat manfaatnya kepada yang ada berkaitan dengan pengajaran dan motivasi dari kisah ini. Walaupun di pasar malam "mampu mengecapi kejayaan dalam usia yang muda". Apa yang mustahak adalah tindakan, tindakan mengeluarkan keputusan dan hasil. "Walaupun kecil namun berhasil." Sekian.........Wasallam........
Rezeki Allah ada di mana2, Doa Usah Ikhtiar Tawakal....InsaAllah
ReplyDeleteInsya Allah......Amin...
ReplyDelete