Wednesday 12 October 2011

SEKIRANYA IKHLAS DAN JUJUR PASTI ADA JALAN PENYELESAIAN........

Hari ini diri ku sekali lagi terpanggil untuk menulis kembali sebuah kisah yang ku lalui pada suatu masa dahulu. Kisahnya telah ku abadikan dalam buku penulisan perjalanan hidupku. Bagi diri ku setiap perkara dan cerita ada pengajarannya dan sebab itu juga diri ini suka menulis dan merakam perkara-perkara yang ada kebaikannya, supaya boleh dijadikan pengalaman dan panduan. Diri ku mengambil keputusan sekali lagi untuk berkongsi kisah ini dengan rakan-rakan yang sudi membaca nukilan ku di halaman blog ku ini. Sedikit gambar hiasan untuk menyerikan lagi nukilan kali ini serta nama asal individu tersebut telah ku ubah demi menjaga sensitiviti kawan. Tiada niat dihati untuk melukakan atau menguris perasaan sesiapa, hanya sekadar berkongsi, dengan harapan kisah ini boleh dijadikan panduan bersama. Kisah ini telah di tulis dalam buku perjalanan harian ku pada 10/7/2011. Diri ku mengucapkan selamat membaca pada kalian, dengan doa dan harapan nukilan dari ku pada kali ini, sedikit sebanyak dapat membawa maanfaat pada kalian.......

Malam itu diri ku pulang dari pejabat agak lewat, jam di tangan menunjukan tepat sebelas tiga puluh malam, perut terasa amat lapar dan tambahan pula hujan baru sahaja berhenti. Keadaan jalanraya kelihatan air bertakung disana-sini akibat daripada hujan yang turun dengan lebat sebelum ini. Diri ku mengambil keputusan untuk singgah di sebuah gerai dalam perjalanan pulang ke rumahku. Diri ku mengambil keputusan untuk singgah di sebuah gerai yang menjual pelbagai makanan goreng panas-panas. Pada malam ini diri ku telah memesan char kueh tiaw dan teh panas sebagai menu makan malam ku yang sudah agat lewat juga kiranya. Sedang diri ku menanti pesanan ku di sediakan oleh tuan gerai, tiba-tiba muncul seorang teman yang sudah agak lama tidak ku temui. Kawan-kawan ku biasa memanggilnya dengan nama panggilan Roy, bukan nama sebenar. Lalu diri ku menyapanya serta mempelawa beliau untuk bersama ku menjamu selera pada malam ini. Lantas beliau pun bersetuju dengan pelawaan ku, lalu beliau duduk bersama ku, beliau cuma memesan secawan milo panas, katanya tidak mahu makan kerana sudah makan di rumah sebentar tadi, menurut beliau.
Al maklum sahajalah kami ini telah agak lama juga tidak berjumpa, tentu sekali terlalu banyak cerita yang boleh di bualkan pada malam ini. Seingat diri ku kali terakhir kami bertemu dan berbual adalah setahun yang lalu pada satu majlis kenduri perkahwinan di Lembah Subang, Petaling Jaya, Selangor, jika tidak tersilap diri ku meneka. Walaubagaimanapun diri ku sangat tertarik pada satu cerita yang beliau kongsikan dengan ku pada malam itu. Kisahnya adalah berkaitan dengan pekerjaan beliau, sebelum ini beliau pernah berkhidmat dengan sebuah syarikat secara kontrak, di syarikat tempat beliau berkhidmat tersebut. Beliau sangat gembira berkhidmat dengan syarikat tersebut, selesa dengan tugasan yang di berikan dan turut mendapat gaji yang memuaskan hati beliau, katanya kepada ku di awal penceritaan. Walaubagaimanapun masa begitu cepat berlalu, akhirnya setelah tiga tahun beliau bertugas di situ dan sampailah masanya beliau terpaksa akur untuk meninggalkan perkhimatan tersebut kerana kontrak tugasan beliau telah pun sampai ke tamat tempohnya. Setelah beliau tidak berkhidmat di situ, beliau telah melalui satu keadaan di mana telah tidak bekerja untuk beberapa bulan. Bukannya beliau tidak keluar berusaha mencari pekerjaan baru, namun setiap temuduga yang di hadiri tidak memihak kepada beliau, ujarnya kepada diriku lagi.

Beliau merupakan seorang suami kepada seorang isteri dan mempunyai seorang anak. Perlahan-lahan wang di dalam simpanan beliau mula surut dan ini membuatkan diri beliau bertambah gelisah. Perut keluarga dan sendiri harus terus di isi, sedangkan dalam masa yang sama beliau masih belum mempunyai sebarang pekerjaan tetap lagi. Dalam keadaan terdesak beliau sering berdoa dan berfikir apakah ada cara agar beliau boleh meneruskan kehidupan, dengan cara mencari rezeki yang halal. Akhirnya setelah sekian lama berfikir dan terus befikir, beliau mendapat satu ilham, bagaimana beliau boleh mendapatkan wang dengan cara dan usaha yang halal. Beliau mendapat ilham untuk satu usahaniaga secara berdikari dan kecil-kecilan. Aktiviti perusahaan beliau adalah memberi perkhidmatan menukar tiub motor pancit dengan cara bergerak. Maka pada saat itu bermulalah beliau sebagai seorang pengusaha kecil yang berdikari. Beliau hanya bermodalkan beberapa puluh ringgit sahaja baki wang yang ada di tangan untuk membeli beberapa tiub motor sebagai permulaan dengan harga kos pada RM3.50 tiap satu. Dari segi kelengkapan spanar dan pump, beliau sememang telah memilikinya dalam simpanan peribadi beliau.
Menurut beliau lagi, bagaimana cara beliau menyusun strategi usaha beliau adalah seperti berikut. Beliau mengamalkan aktiviti bekerja 12 jam sehari. Setiap awal pagi, beliau keluar berusaha dengan membawa makanan yang di masak oleh isteri beliau dari rumah. Terlebih dahulu beliau akan singgah di kedai berhampiran untuk membeli senaskah suratkhabar. Beliau memulakan tugas seawal jam 7 pagi. Lokasi yang beliau pilih dan tuju adalah di laluan motosikal lebuhraya persekutuan. Dari jam 7 pagi sehingga jam 10 pagi adalah waktu puncak orang ramai keluar bekerja. Dalam jam 10 pagi hingga ke 1 tengahari beliau gunakan masa tersebut untuk menghadiri temuduga dan menronda-ronda mencari pekerjaan di sekitar Petaling Jaya atau Kuala Lumpur. Pada jam 1 tengahari beliau akan mencari tempat berehat sambil memakan bekalan yang di bekalkan oleh isteri beliau. Lepas makan, beliau membelek-belek akhbar yang di beli awal pagi tadi di ruangan iklan jawatan kosong. Pada jam 2 petang sekali lagi beliau bergerak untuk menghadiri temuduga sehingga jam 3.30 petang. Untuk mendapat pekerjaan bukanlah perkara mudah bagi diri beliau, kerana beliau tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi, sekadar SRP sahaja (sampai tingkatan 3). Pada jam 3.30 petang sehingga jam 7 petang sekali lagi beliau berada di laluan motosikal untuk mencari rezeki sebagai seorang pengusaha menukar tiub motosikal. Rata-rata satu hari beliau mendapat 7 hingga 9 tugasan menukar tiub motor yang bocor dan adakalanya angka boleh mencecah sehingga 13 ke 14 tiub. Rekod paling tinggi yang pernah beliau capai dalam sehari adalah 19, ujar beliau lagi. Beliau mengenakan bayaran RM12 pada satu perkhidmatan, dan menurut beliau adalah lebih murah dari harga pasaran, kerana beliau juga ada memasang niat untuk berbuat amal dan kebajikan,  dalam waktu beliau berusaha mencari rezeki halal. Menurut beliau lagi, apa yang beliau faham, harga pasaran semasa adalah RM15. Tak mengapalah katanya, sedikit murah kerana ada niat sambil mencari rezeki dapat beramal, tambah beliau lagi.
Inilah contoh seorang insan berhati mulia, walaupun beliau sendiri dalam kepayahan, tetapi sentiasa cuba untuk tidak bersikap tamak. Lebih kurang empat bulan beliau menjalankan aktiviti tersebut dan akhirnya beliau telah berjaya mendapatkan satu pekerjaan tetap. Beliau telah di tawarkan berkhidmat disebuah syarikat swasta sebagai seorang Ketua Pengawal Keselamatan. Mungkin kerana pengalaman lepas beliau yang telah berkecimpung dalam bidang kawalan keselamatan, maka akhirnya dapatlah sebuah pekerjaan yang beliau minati, iaitu menjadi Ketua kepada sepuluh pengawal keselamatan di bawah seliaan beliau. Beliau menerima bayaran gaji yang lumayan dan setimpal dengan pengalaman beliau serta tanggungjawab beliau dalam bidang yang beliau minati ini.

Meneruskan penceritaan, beliau menyatakan lebih selesa bekerja makan gaji, kerana bagi diri beliau pendapatan lebih terjamin dan masa bekerja lebih teratur. Beliau hanya bekerja pada waktu pejabat sahaja. Dengan ini dapatlah beliau mengatur masa bersama keluarga serta aktiviti bersama masyarakat setempat, ujar beliau lagi. Beliau juga berkata berniaga sendiri bukan pilihan beliau, kerana kurang meminati bidang tersebut. Ya! apapun pilihan beliau, diri ku sebagai kawannya mendoakan agar beliau terus tabah dan berjaya dengan jalan kehidupan yang menjadi pilihan beliau. Begitulah indahnya kehidupan, apabila kita sentiasa bersyukur dengan apa jua nikmat yang dimiliki. Tak semestinya wang yang banyak, boleh membahagiakan hati, tetapi apa yang lebih penting adalah kepuasan diri dan ada matlamat dalam kehidupan. Seperti Roy, walaupun beliau ada peluang untuk berdikari secara usahaniaga, akan tetapi beliau lebih senang bekerja makan gaji dan bekerja dengan lebih teratur masanya. Beliau merasa senang, bahagia dan puas apabila beliau ada pekerjaan tetap, ada masa untuk keluarga, ada masa untuk kawan-kawan dan masyarakat. Walauapapun yang kita cari dalam hidup ini, apa yang lebih penting adalah amalan, ujarnya lagi. Rezeki setiap orang pasti ada apabila kita berusaha dan bersyukur. Salam kejayaan buat Roy dan keluarga, semoga anda beroleh kebahagiaan dan kejayaan dengan jalan yang anda suka serta menjadi pilihan sendiri........

.Pada malam tersebut tanpa disedari terlalu asyik mendengar cerita kisah Roy, jam ditangan telah pun menunjukan 2 pagi. Diri ku meminta izin untuk mengundurkan diri, selepas membuat bayaran, diri ku pun beredar dan Roy juga turut beredar. Diri ku bersalaman dan mendoakan kesejahteraan buat beliau sekeluarga.....Sekian.......

Kisah tersebut dapatlah diri ku simpulkan begini. Insan bernama Roy terpaksa menghadapi dugaan dan cabaran hidup di bandaraya ini, tanpa kelulusan akademik yang baik, adalah satu cabaran untuk beliau mencari pekerjaan demi meneruskan kehidupan, agak sukar syarikat mahu menerima beliau untuk bekerja kerana akedemik yang rendah, walaupun beliau berpengalaman dalam bidang tersebut. Namun dengan semangat yang tidak mengenal erti berputus asa, Roy mendapat ilham untuk meneruskan kehidupan beliau dengan berdikari sementara waktu dan akhirnya Roy mendapat pekerjaan yang di cari beliau. Roy seorang insan yang begitu menghargai masa serta mempunyai prinsipnya sendiri dalam perjalanan kehidupan yang dipilihnya. Beliau mahu terus hidup secara sederhana, mempunyai masa untuk diri sendiri, keluarga, kawan-kawan dan juga untuk bersama masyarakat setempat. Bagi Roy tiada yang mustahil untuk di capai, yang penting bijak menggunakan akal dan tulang empat kerat untuk berusaha dan membentuk jalan kehidupan yang  di pilih. Harapan diriku semoga kisah tentang Roy ini dapat memberi sedikit pengajaran serta pengalaman buat kita semua. "Di mana ada kemahuan, serta usaha tanpa mengenal erti putus asa, disitu ada jalan penyelesaiannya"...............Sehingga bertemu lagi.........Wasallam.........

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...