Sunday 29 April 2012

"MENGAPA INI TERJADI?"........

"DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM, JIWA SESUATU BANGSA ITU DIKATAKAN MERDEKA SETELAH MEREKA MENERIMA HAKIKAT DAN YAKIN BAHAWA "TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH SWT, DAN NABI MUHAMAD ITU ADALAH PESURUH ALLAH SWT"

            Pada hari ini diri ku berkesempatan bertemu dengan seorang teman, dalam pertemuan hari ini beliau mengajukan beberapa persoalan mengambil daripada nukilan diri ku pada blog yang lepas, iaitu yang bertajuk "Kehendak dan Kesungguhan". Dalam perbualan kami pada hari ini, beliau berkata, yang berbunyi lebih kurang begini. Saya telah membaca blog tersebut dan saya faham maksud kehendak, akan tetapi amat sukar untuk bersungguh. Saya memang mempunyai kehendak namun saya sering gagal kerana sukar untuk bersungguh dengan kehendak yang saya sering bayangkan. Kadang-kadang saya tidak tahu mengapa sikap saya sebegitu, amat mudah untuk membiarkan kehendak saya berlalu begitu sahaja.
"KONSEP ACUAN SENDIRI INI ADALAH PENTING DAN MENJADI AGENDA UMAT ABAD INI. PEMBINAAN MODAL INSAN TANPA ACUAN SENDIRI BAKAL MENGULANGI PENDEKATAN LAMA DALAM PROSES PEMBANGUNAN DAN PERUBAHAN YANG BERASASKAN PENDEKATAN BARAT"

Ya!, rata-rata setiap insan yang waras akal fikirannya sememangnya memiliki perasaan berkehendak akan sesuatu dalam kehidupannya. Mungkin bagi kehendak yang biasa-biasa serta tidak mempunyai cabaran yang tinggi amat mudah untuk dicapai, misalnya berkehendak untuk memiliki pakaian baru pada awal bulan, sewaktu  gaji diterima. Sudah tentu apabila tiba pada hari tersebut kita akan membeli apa yang kita kehendaki tersebut berdasarkan budget dan kemampuan yang sesuai dengan kadar gaji kita. Kehendak biasa mungkin tidak sukar untuk kita memilikinya kerana pada dasarnya seorang dewasa yang telah memiliki pekerjaan akan hidup berdikari serta berbelanja dalam kadar kemampuan gaji yang dimiliki untuk menampung sara hidup. Apa yang dimaksudkan oleh teman ku ini adalah, beliau berkendak untuk memiliki taraf hidup yang lebih baik, iaitu jika boleh tangga gaji yang lebih lumayan supaya boleh memiliki kehidupan yang lebih selesa dan dapat berbelanja dengan lebih selesa berbanding sekarang yang katanya hanya memiliki kadar gaji cukup-cukup makan dan ada ketikanya tak sampai hujung bulan poket dah kering. Keadaan ini berlarutan tahun demi tahun dan amat sukar untuk diperbaiki dengan keadaan hidup di kota Kuala Lumpur, segalanya kena bayar dan termasuklah ke tandas pun dikenakan bayaran. Begitulah kehidupan beliau dan diri ku percaya bukan beliau seorang sahaja yang menghadapi keadaan kehidupan sebegini, tentu ada lagi insan-insan yang senasib dengan beliau.
"AKAL TANPA FIKIR MENYEBABKAN PERUBAHAN TIDAK BERLAKU. FIKIR TANPA ZIKIR HILANG JIWA KEINSANAN"

Berkehendak merupakan satu perkara, sesiapa sahaja boleh berkehendak untuk memiliki taraf kehidupan yang lebih baik. Bezanya kepada yang mampu mencapainya dan dengan yang tidak mampu mencapainya adalah kesungguhan dalam berusaha. Kepada yang tidak bersungguh, sudah tentu akan terus menerus melalui kehidupan yang hampir serupa walaupun bertahun-tahun telah bekerja namun masih tidak dapat meningkatkan taraf hidup. Mengapa ini terjadi?, adalah kerana tiada kesungguhan untuk melaksanakan kehendak tersebut. Bagi yang berjaya mengubah taraf hidup anda dari setahun ke setahun kepada taraf yang lebih baik walaupun secara perlahan-lahan, tahniah dan syabas! diucapkan kerana anda memiliki formula dan disiplinnya. Untuk melangkah atau mengubah taraf hidup seharusnya langkah pertama harus diambil, tetapkan matlamat apa yang ingin dicapai dari setahun ke setahun. Pendapatan hasil daripada bekerja jika tidak dirancang dan dikawal dengan betul, sememangnya banyak manapun tidak akan pernah mencukupi. Kerana apa diriku katakan begitu, pada hari ini begitu banyak benda dan benda baru saban hari berada dalam pasaran, tidak cukup dengan itu penjualan secara online semakin memudahkan kita untuk berbelanja. Persolannya adakah kita berbelanja kerana keperluan ataupun sekadar mengikut hawa nafsu?
"BUDI MEMANCAR RESAM FIKIRAN DAN DAYA MEMANCARKAN AMAL MULIA. BUDI DAN DAYA MENGHASILKAN BUDAYA DAN IANYA MENJADI CARA HIDUP"

Seharusnya jika kita mahu mengubah taraf kehidupan, terlebih dahulu kita seharusnya memiliki matlamat untuk berjimat cermat. Bersungguh untuk menabung sekurang-kurangnya 10% pendapatan bulanan kita sebagai persediaan untuk meningkatkan taraf kehidupan dari setahun ke setahun. Bersungguh untuk membina kehidupan dalam kadar pendapatan sendiri. Tetapkan matlamat apa yang perlu adalah bersungguh untuk tidak membelanjakan pendapatan kepada perkara yang tidak perlu. Di dunia ini jelas menunjukkan kebiasaanya orang yang pandai berjimat cermat dalam mengawal perbelanjaan selalunya akan mampu memiliki taraf kehidupan yang lebih baik, manakala orang yang boros sering kecewa dalam kehidupan mereka kerana tidak pernah bersungguh dalam berusaha. Manakala bagi yang rajin tentu boleh berusaha untuk menambah pendapatan dengan berusaha melakukan aktiviti lain yang boleh menjana ekonomi. Hidup ini jika kita rajin banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Apa yang mustahak mestilah berkehendak untuk melakukannya dan seterusnya bersungguh-sungguh apabila berusaha melakukan sesuatu. Percayalah sekiranya anda berkendak dan bersungguh-sungguh anda pasti akan mampu memilikinya. Bermulalah seawal mungkin dalam merancang kehidupan agar ianya terus meningkat dari setahun ke setahun kerana masa yang telah berlalu pasti tidak akan dapat di ulang kembali. Jika telah bertekad dengan kehendak, maka bersungguh-sungguhlah untuk memilikinya. Ingat!, beza orang yang berjaya memiliki kehendaknya dengan orang yang gagal memiliki kehendaknya adalah bersungguh-sungguh dalam berusaha. Tetapkan matlamat dan berdisplinlah untuk mengejar impian anda. Anda buat anda dapat, anda tidak buat anda tidak dapat.
"DI DALAM HATI TERKANDUNGNYA NIAT DAN HASRAT LALU DIHUBUNGKAN DENGAN HATI DAN BUDI. KALAU TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG MANAKAN DAPAT SAGUNYA"

Akhir kata dari diri ku, selamat berusaha memiki kehendak anda dan bersungguh-sungguhlah mulai saat ini. Tidak ada istilah terlambat, apa yang penting kesungguhan untuk memilki matlamat yang ditetapkan seharusnya diusahakan dengan penuh kesungguhan.                                                                             Sekian dahulu untuk kali ini.
Wasalam........................





Friday 27 April 2012

KEHENDAK DAN KESUNGGUHAN.....

"ALLAH MENGETAHUI APA YANG KITA INGINKAN SERTA PERLUKAN. BAHKAN, ALLAH DAPAT MEMBERIKANNYA TANPA HAD"

Bismillaahirrahmaanirrahiem...
Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi penyayang. Puji bagi Allah yang bukan kepalang berkasih sayang lagi pemurah terhadap hamba-hambanya, sehingga kepada kita sebagai ummat yang lupa dan kurang pengertiannya bahawa Allah itu pencipta segala sesuatu, diperintah mendoa, meminta kepadanya segala sesuatu yang dihajatkan olehnya, kemudian Allah berjanji mengabulkannya.
Firman Allah dalam al Qur'an surat al Mu'min ayat 60:
Ud' uunie astajib lakum.
Mintalah kepadaku, pasti aku mengabulkan permintaanmu.
Sabda Nabi s.a.w.
Addu' aa'u mukhkhul ibaadah.
Doa itu sebagai sungsum ibadah.

Rabbisyrahlie shadrie wa yassir lie amrie wahlul 'uqdatan minlisaanie yafqahuu qaulie.
Ya Tuhan! Lapangkanlah hatiku dan mudahkanlah urusanku, lancarlah lisanku agar mereka mengerti perkataanku.
"KUNCI KREATIVITI MERUPAKAN SEMANGAT JUANG YANG BERKOBAR-KOBAR HENDAK MENGHIMPUN ILMU BARU, PENGALAMAN BARU, WAWASAN BARU, SAHABAT BARU DAN SUASANA BARU. INI SEMUA MELIPATGANDAKAN  KEMAMPUAN MANUSIA BAGI MELAHIRKAN GAGASAN BARU YANG ORIGINAL DAN BERKESAN"

Asalammualaikum dan salam hormat,
Lama telah tidak menukil, kebelakangan ini bukan kepalang sibuknya dengan tugasan didalam dan diluar pejabat. Rindu tidak terkira untuk menukil titipan luahan rasa hati yang kian lama terpendam. Didoakan semoga warga pembaca sekalian dalam keadaan sihat sejahtera diwaktu membaca nukilan diri ku pada kali ini. Semoga  nukilan pada kali ini sedikit sebanyak dapat mengubati rasa rindu kalian terhadap nukilan ku yang tak seberapa ini.
"PERCAYALAH, TIDAK ADA ERTINYA KEKAYAAN HARTA YANG MELIMPAH APABILA HATI MISKIN DAN PAPA DARIPADA KEYAKINAN, KEBENARAN DAN KEBAIKAN"

Kebetulan diri ini berpeluang mengunjungi negara Hong Kong pada baru-baru ini atas urusan pekerjaan dan juga menghadiri beberapa siri seminar keusahawanan sepanjang lima hari berada disana. Apa yang diri ini ingin nukilkan adalah berkaitan kemajuan yang begitu ketara di Hong Kong. Pada diri ku ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki disana. Walaupun ini bukan kali pertama diri ini berpeluang untuk mengunjungi negara maju. Apa yang dapat diri ini katakan adalah Hong Kong pada hari ini tiga kali ganda lebih maju daripada Malaysia. Hong Kong hanyalah sebuah pulau yang kecil, namun mereka berjaya meletakkan negara mereka yang kecil itu pada tahap kemajuan yang begitu tinggi sekali. Baik dari sistem pengankutan awamnya sehinggalah kepada rekabentuk jalanraya dan banggunannya, tak kurang juga penggunaan ruangan bawah tanah bagi sistem pengankutan trainnya.


"ALLAH MENJADIKAN REZEKI SESUATU YANG UNIK DAN MEMPESONA. APABILA KITA TIDAK MEMAHAMI RAHSIANYA , PASTI KITA DIPERHAMBAKANNYA SETIAP HARI. SELAIN MENJADIKAN KITA SENGSARA DAN HINA, IA JUGA MENYITA SELURUH WAKTU HIDUP KITA"

Mengapa negara mereka begitu maju dan apakah yang menyebabkan negara mereka begitu maju? Apa yang diri ku perhatikan sepanjang lima hari berada disana adalah "kehendak". Ya! mereka benar-benar dan bersungguh-sungguh dengan kehendak maju dan terus memajukan taraf kehidupan. Pengakutan awam disana bergerak dengan pantas dan mudah untuk mendapatkan khidmatnya dimana-mana sahaja. Mereka sungguh efesyen dan sangat mementingkan masa, sehinggakan teksi mereka mengenakan bayaran mengikut masa bukan kilometer seperti di Malaysia. Jelas mereka sangat teliti dengan penggunaan masa dan ini menunjukkan pemandu teksi mereka mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana kadar yang dikenakan adalah mengikut masa. Apabila kita menaiki teksi mereka bererti kita membayar masa pemandu tersebut. Dengan demikian pemandu tersebut boleh merancang pendapatannya saban hari, lebih banyak masanya mengangkut penumpang, lagi lumayan pendapatannya. Di Hong Kong standard pada teksi mereka sama sahaja, hanya satu model sahaja iaitu Toyota digunakan sebagai teksi. Rata-rata kualiti teksi mereka hampir sama, yang bezanya adalah pemandunya, ada yang benar-benar baik dan ada juga yang mengambil kesempatan. Mengapa diri ku katakan begitu, kerana setiap hari diri ini berulang dari stesen Kawloon express ke Nathan Road tempat kami menginap, tambangnya berbeza-beza, walaupun jaraknya sama. Ini terjadi adalah kerana cara mereka menggunakan jalannya, jika mereka mengikut jalan yang dekat tambangnya sedikit murah, manakala jika mereka mengikut jalan yang jauh, tambangnya akan meningkat, ini kerana tambangnya mengikut masa. Sebagai pelancong diri ini tidak banyak dapat berbuat apa-apa, apa yang tercatat pada meter, itulah yang kami bayar pada setiap kali menggunakan khidmat teksi sewaktu berada disana. Maklumlah nak naik bus tak reti, walaupun begitu banyak bus dua tingkat lulu-lalang depan mata.
"SIKAP YANG KUAT DAN BAIK PERLU BERSATU. INI HANYA TERJADI APABILA DUA SIKAP, IAITU SIKAP YANG KUAT DAN BAIK BERSATU. CONTOHNYA, GABUNGAN ANTARA SIKAP TABAH, TEKUN, RENDAH HATI DAN GIGIH. BEGITU JUGA DENGAN PRESTASI GEMILANG YANG BERGABUNG DENGAN IKHLAS. DENGAN INI, BARULAH WUJUD INDIVIDU YANG TABAH, BERANI, GIGIH, RAJIN, JUJUR, RENDAH HATI, DAPAT DIPERCAYAI DAN SEBAGAINYA"

Apapun dalam tempoh lima hari disana, rata-rata dijalanraya begitu banyak kelihatan bus dua tingkat, teksi dan kereta-kereta mewah yang dipandu oleh orang awam. Amat sukar untuk melihat kenderaan biasa, rata-rata penduduk di Hong Kong yang berkereta memandu kenderaan mewah dan ini melambangkan kemampuan mereka amat tinggi. Namun demikian rumah mereka kecil-kecil kerana ruang tanah yang terhad. Rata-rata masyarakat Hong Kong mendiami flet, apartment dan kondominium. Jika di Malaysia kelihatan ramai yang mampu mendiami rumah teres, namun di Hong Kong perkara ini adalah yang mustahil kerana negara mereka kecil dan mereka perlu tinggal dikediaman yang tinggi-tinggi dan bersaiz terhad. Penduduk di Hong Kong banyak menggunakan kenderaan awam, seperti bus, train dan teksi untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Mereka juga kelihatan bersaiz kecil, ini kerana mereka banyak berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat. Budaya berjalan kaki begitu jelas kelihatan disana sini. Struktur banggunan mereka pula kebanyakkannya sebelah bawah dijadikan kedai, bank dan butik-butik mewah, manakala lapisan atas hotel-hotel biasa yang banyak terdapat disana sini, manakala tingkat yang lebih tinggi pula menjadi kediaman penghuni tempatan. Rata-rata masyarakatnya hidup dengan penuh displin dan sangat mementingkan kebersihan dan penggunaan masa. Adakalanya kelihatan mereka terkejar-kejar apabila berjalan pun banyak yang berjalan pada kadar yang laju-laju. Ini menunjukkan masyarakat maju seperti mereka ini sudah terdidik dengan disiplin dan sangat menghargai masa.
"MANUSIA DAPAT MENGUBAH DIRINYA MENUJU KEBAIKAN APABILA DIA MENGHIDUPKAN SIFAT BAIKNYA DAN MEMATIKAN SIFAT BURUKNYA. DENGAN ITU, KITA PERLU MEWUJUDKAN PERSEPSI DIRI YANG LEBIH BAIK DAN YAKIN KITA BOLEH BERJAYA"

Apa yang dapat diri ku simpulkan dari nukilan yang serba ringkas ini adalah. Majunya sesebuah negara itu adalah kerana bangsa dan masyarakatnya terlebih dahulu memajukan pemikiran mereka. Apabila masyarakat atau bangsa itu sangat berkehendak, komited dan bersungguh-sungguh berusaha ke arah perubahan dan seterusnya membina satu budaya yang maju serta berdaya saing. Secara tidak langsung generasi yang lahir seterusnya menjadi lebih baik dan maju. Namun sangat jelas kelihatan, cabaran untuk mengurus sebuah negara yang lebih kecil tampak lebih mudah berbanding mengurus sebuah negara yang bersaiz lebih besar. Apapun semuanya terletak pada bangsa dan masyarakat yang menghuni negara tersebut. Berkehendak adalah satu perkara, manakala berusaha dan bersungguh-sungguh pula merupakan satu lagi perkara. Jika mereka boleh, sesiapa sahaja tentu boleh. Seperti peribahasa orang dulu-dulu, tepuk dada tanya selera. Apa yang diri ku harapkan dari perkongsian nukilan ini, mudah-mudahan ada sedikit motivasi yang boleh dijadikan panduan, khusunya buat diri yang kerdil ini dan mudah-mudahan warga pembaca sekalian mendapat sedikit manfaat dari kisah ini.
Semoga ketemu lagi di lain waktu dengan nukilan-nukilan yang lain pula. InsyaAllah......
Wasalam............

Wednesday 7 March 2012

TEKAD, KEMAHUAN & FOKUS......

"ADA ORANG SERING BERANGAN INGIN MENDAKI GUNUNG. ADA ORANG TELAH MULAKAN PENDAKIAN. PUNCAK HANYA AKAN DITAWAN DENGAN TINDAKAN MEMULAINYA. SEDIKIT DEMI SEDIKIT TENTU AKHIRNYA AKAN SAMPAI KE PUNCAK. BERTINDAK ATAU TERUS BERANGAN ADALAH PILIHAN, BUKAN KEBETULAN ATAUPUN NASIB"

    Memiliki impian dalam kehidupan merupakan fitrah kepada setiap manusia yang menghuni bumi Allah SWT yang bertuah ini. Rata-rata setiap orang tentu ada impian dan sudah tentu berbeza-beza mengikut peringkat keperluan dan keupayaan masing-masing. Definasi kejayaan juga jika diajukan kepada seseorang tentu jawapannya berbeza-beza. Bagi yang bekerja dan bercita-cita tinggi melangkah naik dari satu peringkat ke satu peringkat merupakan suatu impian. Manakala bagi yang sedang belajar pula tentu melanjutkan pelajaran ke menara gading merupakan impian yang seterusnya. Bagi yang berniaga tentu mahu berjaya dengan perniagaannya keperingkat yang lebih baik. Bagi yang berminat dengan politik menjadi pemimpin peringkat atasan tentu menjadi impiannya dan berbagai lagi impian-impian yang lain mengikut keperluan masing-masing.
"INDIVIDU YANG MEMPUNYAI KEKUATAN AKAL, TENTU DAPAT MENGAWAL DIRINYA DENGAN LEBIH BAIK SERTA MAMPU MENJADI PEMIMPIN TERBAIK BAGI DIRI SENDIRI. AKTIVITI BERFIKIR SECARA POSITIF PERLU DISEMAI SERTA DIPUPUK DALAM DIRI SETIAP INDIVIDU SUPAYA SEGALA TINDAKAN YANG DIBUAT OLEH INDIVIDU ITU BUKAN HANYA BERKUALITI, MALAHAN DAPAT MENJIMATKAN TENAGA, HARTA BENDA SERTA MASA"

Memiliki impian merupakan suatu perkara, manakala mengusahakan impian merupakan titik tolak samada seseorang itu berjaya mencapainya atau pun tidak. Adakalanya ianya sekadar angan-angan yang tidak pernah tercapai. Mengapa terjadi sedemikian rupa pada sesetengah orang? Sudah tentu kerana impian tersebut tidak diusahakan. Mana mungkin mencapai impian sekiranya tiada usaha yang dilakukan. Bagi mereka yang mengusahakan impiannya, Tahniah dan Syabas diucapkan, kerana anda telah pun memulakan usaha, manakala bagi yang telah mencapai impiannya, bersyukurlah dengan pencapaian tersebut serta pertahankan dan terus menambah nilai kepada pencapaian tersebut agar ianya terus berkembang sehingga menjadi warisan yang "tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas". Kepada yang belum mengusahakan impian, anda masih belum terlewat sekiranya anda masih sihat dan mempunyai waktu untuk mengusahakannya. Waktu yang telah berlalu tidak mungkin akan kembali dan sebaiknya manfaatkanlah ruang waktu yang masih ada untuk berusaha menjadikan impian anda sebagai suatu realiti. Sesiapa sahaja boleh mencapai impiannya asal sahaja impian tersebut dalam kadar kemampuan serta kebolehannya untuk mencapai. Yang paling mustahak adalah kemahuan untuk berusaha kearah mencapainya harus ada, jika tiada usaha tiadalah hasilnya.
"LAKSANAKANLAH SEGALA SESUATU DENGAN KESUNGGUHAN, SIKAP BERHATI-HATI SERTA CERMAT, JANGAN ANGGAP REMEH KELALAIAN DAN JANGAN TERGESA-GESA KERANA SEMUA ITU AKAN MENJADI PUNCA KESILAPAN DAN KEGAGALAN. SELALULAH MENILAI SEMULA SETIAP PERINGKAT YANG DILAKUKAN. PERCAYALAH MERENUNG SEBENTAR UNTUK MENILAI SEMULA AKAN MEMBUATKAN HASILNYA LEBIH BERMUTU"

Setiap dari kita sebagai insan biasa tidak akan terlepas daripada memiliki kekurangan dan kelebihan. Jangan jadikan kekurangan sebagai alasan sebaliknya ambilah kekurangan yang ada pada diri sebagai cabaran sekiranya mahu mencapai impian. Kekurangan sekiranya dilihat sebagai cabaran boleh bertukar menjadi semangat juang untuk berusaha kearah mencapai impian. Manakala kelebihan yang ada pada diri pula merupakan aset utama untuk dikembangkan, kerana kelebihan pada diri jika dimanfaatkan dengan betul dan kena pada tempatnya tentu sangat membantu dalam prosese usaha membina impian. Memiliki impian lantas mengusahakannya dengan penuh kesungguhan sehingga mencapai apa yang di impikan adalah suatu perkara yang indah untuk dimiliki. Oleh demikian berusahalah dari sekarang dan jangan berlengah lagi. Amatlah sayang setiap detik waktu berlalu begitu sahaja, tambahan pula bagi mereka yang masih muda. Masa muda hanya sekali, oleh itu manfaatkan masa muda anda dengan sebaik mungkin. Mencapai impian dalam usia yang masih muda merupakan suatu kelebihan, manakala bagi mereka yang mencapainya dalam lewat usia juga tidak ada istilah terlewat. Apa yang mustahak anda telah berusaha dan berjaya mencapai impian anda, maka anda berhak untuk menikmati kejayaan anda itu.
" PERBEZAAN ANTARA BERJAYA DAN GAGAL KEBIASAANNYA DAPAT DIUKUR DARIPADA TUMPUAN ATAU FOKUS YANG DILAKSANAKAN OLEH INDIVIDU TERSEBUT. DALAM USAHA MEMPERTINGKATKAN POTENSI DIRI BERI TUMPUAN KEPADA SATU MATLAMAT YANG UTAMA"

Pada hari Ahad yang lalu, diri ku telah menghadiri majlis kenduri perkahwinan anak kepada seorang kenalan lama ku. Di majlis tersebut diri ku telah berpeluang bertemu dengan beberapa kenalan lama, kelihatan ada antara kenalan ku yang telah lama tidak bertemu semakin dipanjat usia. Berpeluang sesekali bertemu dengan kawan-kawan lama tentu ada sahaja perkara yang boleh dibualkan. Berbagai-bagai isu dan topik kedengaran dalam pertemuan pada kali ini dan entah bila pula akan dapat bertemu kembali kerana masing-masing dengan komitmen masing-masing. Namun peluang sesekali sebegini bagi diri ku tidak harus dilepaskan dan walaupun seketika dapat juga mengubat rindu bertemu dengan kawan-kawan lama. Ada salah seorang kawan ku ini asyik berbual tentang perniagaan yang beliau usahakan secara kecil-kecilan dan dalam perbualan bersama beliau, ada beliau menyatakan impiannya kepada ku iaitu katanya, "tiga tahun lagi aku akan buka sebuah restoran", begitulah ayatnya yang beliau sebutkan pada ku yang menjadi impiannya kini dan telah meletakkan sasaran daripada berniaga digerai mahu melangkah maju untuk mengusahakan perniagaan dalam bentuk sebuah restoran yang lebih besar dan selesa. Tahniah kepada kawan ku ini kerana mempunyai sebuah impian yang murni untuk terus maju dalam perniagaan dan kehidupan pada masa akan datang.
"KEJAYAAN ATAU KEGAGALAN KITA BERGANTUNG PADA KERJA KITA. UNTUK BERADA DI KEMUNCAK JADILAH YANG TERBAIK DI BAWAH TERLEBIH DAHULU"

Apa yang boleh diri ku kongsikan serba sedikit ketika berbual-bual dengan beliau pada ketika itu adalah berkenaan dengan topik, "Tekad, Kemahuan dan Fokus". Untuk mencapai impian seperti kes kawan ku ini tiga perkara ini amat penting dan perlu ada dalam berusaha. Sekiranya anda benar-benar telah bertekad dengan impian anda, bersungguh-sungguhlah dalam berusaha, kerana kesungguhan itu sangat perlu. Tanpa kesungguhan impian yang murni ini tidak mungkin akan tercapai. Kemahuan pula sangat memainkan peranan, tanpa kemahuan yang jitu anda tidak akan mungkin menjana disiplin dalam berusaha. Oleh yang demikian kemahuan mestilah sentiasa dibajai dengan elemen-elemen yang positif untuk terus mara dalam mengushakan impian anda itu. Fokus pula merupakan tunjang utama kepada kejayaan mencapai impian anda. Sekiranya dalam satu-satu masa anda mempunyai beberapa perkara untuk diberi perhatian, aturlah keutamaan anda dengan bijak. Dalam mengushakan impian, berikan tumpuan dan fokus kepada keutamaan, korbankan perkara-perkara yang kurang penting kerana tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Fahamilah apa yang anda mahukan dalam hidup anda dan sentiasalah kemaskinikan pengetahuan anda dalam usaha membina impian anda. "Anda fokus tentu anda akan faham, anda faham tentu anda akan kemas". Faham dan kemas dalam mengusahakan impian anda merupakan satu tanggungjawab dan sekiranya tanggungjawab telah mengambil tempat, akhirnya anda akan menjadi seorang yang berdisiplin. Hanya mereka yang benar-benar berdisiplin sahaja biasanya akan mencapai impian yang diusahakan. Jarang sekali orang yang tidak berdisiplin boleh berjaya. Disiplin merupakan kunci utama dalam mengusahakan impian, baik impian itu kecil mahupun besar. Apa bezanya pelajar cemerlang dengan pelajar biasa? Cuba perhatikan, tentu disiplin merupakan kunci utama diatas kecemerlangan tersebut. Anda mahu mencapai impian anda, berusahalah menjadi seorang yang berdisplin. Mungkin perit atau sakit untuk membiasakan diri agar mempunyai disiplin yang tinggi, namun sekiranya diamalkan dan sudah menjadi perkara biasa, akhirnya ia akan membentuk tabiat dan seterusnya akan mempermudahkan anda untuk mencapai impian anda dalam berusaha.
"KITA HIDUP HANYA SEKALI. TETAPI JIKA KITA HIDUP DENGAN SEBAIK-BAIKNYA, SEKALI TELAH MENCUKUPI"

Akhirkata dari ku buat kali ini, selamat berusaha memburu impian anda. Sesungguhnya dalam kehidupan ini tidak ada istilah terlewat selagi anda mahu berusaha dan benar-benar mengusahakan impian anda. Anda buat anda dapat, anda tidak buat masa akan terus berlalu. Ada peribahasa lama mengatakan., "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Selamat maju jaya dan selamat berusaha. Semoga nukilan ku pada kali ini dapat memberi sedikit panduan dan pedoman buat diri ku serta warga pembaca yang dapat merasakan manfaatnya.
Sekian.........Wasalam.................

Saturday 25 February 2012

"CENDOL BAKAR!!!".............

"ADA ORANG SERING BERANGAN INGIN MENDAKI GUNUNG. ADA ORANG TELAH MULAKAN PENDAKIAN. PUNCAK HANYA AKAN DI TAWAN DENGAN TINDAKAN MEMULAINYA. SEDIKIT DEMI SEDIKIT TENTU AKHIRNYA AKAN SAMPAI KE PUNCAK. BERTINDAK ATAU TERUS BERANGAN ADALAH PILIHAN, BUKAN KEBETULAN ATAUPUN NASIB"

     Menelusuri lebuhraya GUTHRIE dari arah Shah Alam dan seterusnya melalui lebuhraya LATAR yang masih baru ke arah Kuala Selangor, kini perjalanan menjadi semakin cepat dan mudah bagi sesiapa yang mempunyai urusan di Kuala Selangor, kini tidak perlu lagi melalui jalan lama sekiranya mahu menjimatkan masa serta memandu dengan lebih selesa. Jika dahulu memandu ke Kuala Selangor dari arah Shah Alam mengambil masa lebih kurang Satu jam setengah perjalanan, namun kini dengan adanya jaringan lebuhraya Guthrie dan LATAR perjalanan hanya mengambil masa sekitar empat puluh lima minit atau tiga puluh minit sahaja. Begitulah pesatnya pembanggunan, sebagai pengguna kita boleh memilih, jalan lama tiada bayaran tol dan mengambil lebih masa pemanduan, manakala lebuhraya pula dikenakan bayaran tol tetapi dapat menjimatkan masa kepada mereka yang mementingkan penjimatan masa atas urusan perniagaan dan sebagainya.
"PERBUATAN YANG DILAKSANAKAN DENGAN IKHLAS SERTA TANPA PAKSAAN LEBIH MEMBERI KESAN DARIPADA DILAKSANAKAN ATAS KEMAHUAN ORANG LAIN. INDIVIDU YANG BERJAYA MERUPAKAN INDIVIDU YANG BERUBAH KERANA KESEDARAN DIRI SENDIRI DAN BUKANNYA BERUBAH SEBAB TAKUTKAN ORANG LAIN"

Apa yang diri ku ingin nukilkan pada kali ini bukanlah mengenai kehebatan lebuhraya yang terdapat di negara Malaysia ini, tetapi terdapat sebuah keunikan cerita dalam perjalanan diri ku ke Kuala Selangor pada baru-baru ini dengan tujuan untuk pergi memancing di Pantai Remis. Dua minggu yang lalu diri ku ke Kuala Selangor melalui lebuhraya Guthrie dari arah Shah Alam dan seterusnya masuk ke lebuhraya LATAR sehinggalah ke plaza tol Exit IJOK dan kembali melalui sedikit jalan lama untuk ke Kuala Selangor. Tidak berapa jauh dari Plaza Tol IJOK iaitu exit tol yang terakhir menuju ke Kuala Selangor, meneruskan perjalanan melalui jalan lama tiba-tiba!!!, terpandang akan diri ku sebuah gerai yang unik, dikelilingi dengan begitu banyak bendera dan bunting serta baner berwarna warni. Kelihatan dari jauh disebelah kanan jalan deretan kereta berhenti, pada awalnya diri ku sangkakan ada majlis kenduri kahwin, namun apabila diri ku semakin menghampiri gerai tersebut dengan jelas terdapat tulisan yang berbunyi "CENDOL BAKAR", pelik tetapi benar. Diri ku merasa teruja untuk singgah di gerai tersebut untuk melihat sendiri apakah keunikan "CENDOL BAKAR" ini.  Maka diri ku membuat keputusan untuk singgah sebentar ke gerai tersebut kerana tarikan yang begitu menarik perhatian. Agak sukar juga untuk meletakkan kenderaan kerana agak banyak dan ramai pemandu yang singgah di gerai tersebut, mungkin kerana tarikan serta berminat untuk mengetahui apakah keunikan yang dimaksudkan dengan "CENDOL BAKAR" digerai ini sama seperti diri ku juga.
"SESEORANG ADA BERKATA; SEMUA KEMAHIRAN ADALAH SUKAR SEBELUM MEREKA SENANG. UNTUK MENJADI MAHIR DALAM SESUATU KITA PERLU MENJADI HAMBANYA TERLEBIH DAHULU"

Bagi diri ku inilah pertama kali berpeluang untuk melihat sendiri pembuatan dan menikmati "CENDOL BAKAR", seumur hidupku sememangnya belum pernah lagi menikmati "CENDOL BAKAR". Setelah tiba di gerai tersebut diri ku terpaksa beratur panjang kerana sistem layan diri sahaja yang terdapat di gerai ini. Anak mata ku memerhatikan keadaan sekeliling gerai tersebut, sementara di fikiranku tertanya-tanya, dimana dan bagaimanakah rupanya "CENDOL BAKAR" ini?, yang begitu unik sekali seperti yang diiklankan di sekeliling gerainya itu. Namun begitu diri ku tidak juga dapat melihat apa yang bermain-main dalam fikiranku yang begitu berminat sekali untuk mengetahuinya, apakah yang dimaksudkan oleh pengusaha gerai tersebut. Digerai tersebut terpampang jelas menu cendol yang dijual disitu. Ada lebih kurang lapan jenis pilihan cendol yang dijual dan terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih cendol mana yang diinginkan sebagai pesanan di gerai tersebut. Akhirnya setelah beratur agak lama tibalah giliran ku untuk membuat pesanan. Diri ku membuat pesanan "CENDOL BAKAR VIP" yang berharga RM2 semangkuk. Maka proses membuat cendol yang ku pesan dijalankan, namun demikian tiada apa yang terbakar. Sewaktu diri ku sedang menjamu selere dengan "CENDOL BAKAR" ini, sempat diri ku perhatikan sekeliling gerai tersebut. Terdapat juga papan tanda yang jelas tertulis, warga emas dan orang kurang upaya boleh menikmati "CENDOL BAKAR" secara percuma di situ dengan syarat menunjukkan kad kenal diri dari JKM sewaktu membuat pesanan. Juga dengan jelas tertulis lagi di papan tanda disitu semua hasil jualan pada hari Jumaat di sedekahkan pada sebuah masjid. Sungguh mulia hati si pengusaha gerai "CENDOL BAKAR" ini, selain dari rasa cendolnya yang enak dan keunikan cara beliau mempromosikan produk beliau.
"JIKA INGIN BERJAYA PEKAKKAN TELINGA DAN BUAT TIDAK TAHU TERHADAP KRITIKAN YANG TIDAK MEMBINA. TEGUHKAN PRINSIP DAN GANDAKAN USAHA. TENTU KITA JUGA AKAN MENJADI SESEORANG SATU HARI NANTI. ANCAMAN LUAR SELALUNYA MEMBUATKAN KITA SEMAKIN KUAT, NAMUN JANGAN BIARKAN BISIKAN HATI YANG NEGATIF TERUS MELUMPUHKAN SEGALA USAHA DAN IMPIAN YANG DI CITA-CITAKAN"

Apa yang diri ku ingin kongsikan dari moral kisah pengusaha "CENDOL BAKAR" ini adalah, cara beliau berfikir dan berjaya menarik perhatian orang ramai untuk singgah sebentar di gerai beliau. Beliau sebenarnya berniaga dengan produk yang juga terdapat di merata tempat, namun beliau berfikir berbeza daripada biasa. Nama yang dimiliki oleh beliau menjadi aset utama dan tuah kepada kejayaan beliau. Ada orang berkata, ada apa pada nama? Namun pada sang pengusaha "CENDOL BAKAR" ini, telah berjaya membuktikan yang nama beliau telah mengangkat dan mengubah diri beliau daripada seorang biasa kepada seorang yang luar biasa. Mengapa diriku katakan begitu? Dari segi logik akal mana ada orang jual "CENDOL BAKAR", kalau ikan bakar adalah atau kerang bakar. Apa yang di jual oleh pengusaha hanyalah minuman cendol yang boleh kita jumpa dimana-mana dan sering terdapat di pingir-pingir jalan. Pengusaha "CENDOL BAKAR" ini sangat bijak menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan itu untuk berhenti dan singgah di gerai beliau dengan hanya menambahkan perkataan "BAKAR" di belakang cendol untuk mengiklankan gerai beliau. Begitulah uniknya seorang insan yang bernama "BAKAR". Nama beliau telah mengubah hidup beliau, hanya dengan menjual cendol tetapi begitu berjaya sekali dan dalam seminggu terdapat satu hari di mana semua hasil jualan di sedekahkan ke masjid. Tahniah! dan Syabas! di ucapkan kepada En.Bakar selaku pengasas kepada gerai "CENDOL BAKAR" ini.
"ORANG YANG TAHU APA YANG DI CITA-CITAKANNYA AKAN MEMULAKAN LANGKAH KE ARAH DESTINASI YANG DITUJU. HALANGAN SEPANJANG PERJALANAN DIANGGAP PEMANGKIN MENUJU CITA-CITA KERANA DIA PERCAYA KEPADA DIRINYA SENDIRI. SEKALI DIA TELAH BERJAYA, RAMAI ORANG AKAN MENCONTOHINYA"

Adakalanya kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari pengalaman atau memiliki modal yang besar untuk mengusahakan sebuah perniagaan sendiri. Tuhan telah mengurniakan akal untuk berfikir dan seterusnya bertindak mengusahakan apa yang difikirkan itu. Pemikiran yang kreatif dan unik seperti En.Bakar pengusaha gerai "CENDOL BAKAR" ini harus di contohi oleh sesiapa yang tercari-cari dan bagaimana, di mana serta apa cara yang boleh untuk bermula berniaga. Seperti En.Bakar, beliau mendirikan sebuah gerai di tepi jalan utama, tanah kampung dan tentu tidak memakan kos yang tinggi, manakala produk jualan beliau pula adalah cendol yang tidak memerlukan modal yang tinggi untuk memulakan perniagaan begini. Kesibukan dan kepesatan perniagaan beliau jelas terbukti apabila di gerai tersebut terdapat beberapa orang pekerja yang lengkap beruniform bertungkus-lumus melayan pelanggan yang tidak putus-putus. Manakala pada hari jumaat, semua hasil jualan di sedekahkan pula pada sebuah masjid. Bukan sahaja mendapat keuntungan dunia malahan keuntungan ganjaran akhirat juga turut dimiliki sang pengusaha. Inilah yang di katakan kebijaksanaan berfikir serta mengunakan segala kelebihan diri yang dikurniakan, termasuk memanfaatkan nama sendiri sebagai Jenama kepada perniagaan beliau, walaupun kecil namun sangat berhasil.
"DALAM PENGALAMAN SAYA MEMBANTU ORANG LAIN MEMBUAT KEPUTUSAN, SAYA TELAH PERHATIKAN BAHAWA BANYAK ORANG BERHENTI MENUMPUKAN PERHATIAN PADA MATLAMAT SEBAIK SAHAJA MEREKA MENEMUI HALANGAN. TUMPUKAN PERHATIAN PADA MATLAMAT, BUKAN HALANGAN. HABISKAN TENAGA EMOSI UNTUK BERGERAK KE ARAH MATLAMAT"

Diri ku amat berharap semoga nukilan pada kali ini sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada warga pembaca. Semoga cerita ini dan motivasinya boleh memberi insan lain cetusan semangat untuk terus menjana ilham-ilham baru yang kreatif lantaran ilham tersebut boleh mengubah masa depan seseorang daripada biasa kepada luar biasa. Sebelum mengakihiri nukilan ku pada kali ini, ingin diri ku memetik kata-kata seseorang; Bukti usaha tetap perlu dilakukan kerana hidup bukan satu perhitungan bagi menentukan siapa kalah atau menang. Hidup juga bukan satu perjudian hanya sekadar menunggu dan menanti apa pula yang akan terjadi. Sebaliknya hidup adalah satu perjuangan. Anda boleh mengalah tapi anda tidak boleh menyerah kalah. Semoga ketemu lagi di lain waktu dan sama-samalah kita manfaatkan motivasi yang ada melalui kisah "CENDOL BAKAR" ini.
Sekian........Wasalam......

Sunday 29 January 2012

NASI KUKUS AYAM PAKA........

"PERJALANAN UNTUK MENJADI YANG TERBAIK BUKAN MUDAH. IANYA PENUH DENGAN RINTANGAN. IANYA MUNGKIN DEKAT BILA IA KELIHATAN SANGAT JAUH. OLEH ITU KEKAL PADA PERJUANGAN BILA ANDA DIPUKUL HEBAT. APABILA KEADAAN KELIHATAN SEMAKIN BURUK PADA MASA ITULAH ANDA TIDAK SEHARUSNYA BERHENTI"

Assalammualaikum dan salam sejahtera,
Sempena cuti panjang tahun baru cina baru-baru ini, diri ku berkesempatan berkunjung ke Kuala Terengganu untuk bercuti serta berehat seketika sambil menyaksikan keindahan lokasi-lokasi menarik di Terengganu. Diri ku melalui perjalanan yang panjang pada hari berangkat. Seawal pagi hari minggu yang lepas diri ku memecut kenderaan yang di pandu melewati highway karak dan seterusnya masuk ke lebuhraya pantai timur sehinggalah ke exit cherating Kuantan, dan seterusnya melalui jalan perseketuan melewati pantai peranginan cherating di Kuantan. Meneruskan perjalanan melalui Kemaman Terengganu sehinggalah tiba ke destinasi yang di tuju agak lewat petang iaitu Batu Rakit, Kuala Terengganu. Memang agak panjang perjalanan pada hari tersebut, namun diri ku berasa puas apabila selamat tiba ke destinasi walaupun agak lewat petang. Setelah urusan mendaftar masuk ke tempat menginap dimana diri ku terlebih dahulu telah membuat booking pada dua minggu sebelum, diri ku berehat seketika dibilik untuk merehatkan badan seketika. Pada sebelah malam diri ku ke pusat bandar Kuala Terengganu untuk makan malam sambil melewati laluan di sebuah jambatan di mana jelas kelihatan keindahan Masjid Terapung di atas air, cantik sekali Masjid tersebut diwaktu malam.
"SETIAP KISAH KEJAYAAN TERDAPAT KISAH KEGAGALAN YANG SANGAT BESAR. KERJA KERAS SUATU PERMULAAN DAN PENAMATNYA DENGAN SENDIRINYA. LEBIH KERAS SESEORANG BEKERJA, LEBIH BAIK DIA RASAKAN, LEBIH KUAT DIA BEKERJA. IDEA YANG PALING BAIK TIDAK AKAN BERJAYA MELAINKAN ANDA MENGUSAHAKAN IDEA TERSEBUT. BAKAT YANG HANDAL TANPA KEAZAMAN DAN KERJA KERAS ADALAH SIA-SIA"

Apa yang diri ku ingin kongsikan pada warga pembaca sekalian pada kali ini adalah berkenaan sebuah Restoran yang terletak di Pekan Paka dalam daerah Dungun Terengganu. Jika hendak diceritakan kisah keindahan serta keunikan yang terdapat di negeri Terengganu ini begitu banyak sekali sebenarnya. Pada kali ini diri ku tidak bercadang untuk menukil berkenaan kesemua pengalaman ku sewaktu melawat Terengganu. Apa yang ingin diri ku kongsikan dengan warga pembaca pada kali ini adalah lebih fokus kepada keunikan sebuah restoran yang menyajikan sejenis makanan yang lazat dan enak sewaktu diri ku melewati pekan paka dalam daerah Dungun Terengganu. Dungun juga merupakan tempat atau lokasi pemprosesan minyak Petronas yang terbesar di negeri Terengganu. Di kiri dan kanan jalan jelas kelihatan pusat pemprosesan minyak Petronas yang begitu luas dan sangat besar, pemandangan juga begitu indah sekali sewaktu melewati kawasan pemprosesan minyak Pertronas ini yang terletak di Dungun Terengganu. Setelah melewati kawasan pemprosesan minyak Petronas ini tidak berapa jauh dari situ terletaknya sebuah pekan kecil iaitu pekan paka dan di situlah terletaknya restoran yang diri ku maksudkan iaitu "Restoran Nasi Kukus Ayam Paka", yang di buka 24jam setiap hari.
"RESTORAN NASI KUKUS PAKA, LOT 225, NO. 25, TINGKAT BAWAH, JALAN BESAR PUSAT NIAGA PAKA, KAMPUNG CACAR, 23100 PAKA, DUNGUN, TERENGGANU"

Sebenarnya tiada sesiapa pun, baik kenalan atau rakan-rakan yang mencadangkan pada diri ku berkenaan keenakan makanan yang terdapat di restoran ini. Segalanya terjadi secara kebetulan kerana pada waktu diri ku melewati kawasan Dungun dan asyik dengan pemandangan di sepanjang perjalanan sehinggalah melewati kawasan pemprosesan minyak Petronas, jam ditangan sudah menunjukkan satu tengahari, maka perut pun terasa lapar. Lantas diri ku memerhati di kiri kanan jalan akan kedai-kedai makan yang sesuai untuk diri ku singgah makan tengahari. Tiba-tiba anak mata ku terlihat dengan jelas disebelah kanan jalan sebuah restoran yang agak menarik signboardnya serta nampak suasananya yang meriah kerana kelibat manusia yang agak ramai sedang makan disitu. Hati ku rasa terpanggil untuk mencuba makanan disitu atas sebab signboardnya yang jelas tertulis "Restoran Nasi Kukus Ayam Paka", lantas diri ku memperlahankan kenderaan dan mencari tempat untuk berhenti. Setelah dapat meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai disebelah kiri jalan, diri ku berjalan kaki sedikit untuk melintas kerana restorannya terletak disebelah kanan jalan iaitu arah pulang ke Kuala Lumpur.
"KECEMERLANGAN BUKAN TUAH, IANYA HASIL DARIPADA KERJA KERAS DAN LATIHAN YANG BANYAK. KERJA KERAS DAN LATIHAN MEMBUATKAN SESEORANG LEBIH BAIK DALAM APA SAHAJA DIA LAKUKAN"

Setibanya diri ku di restoran tersebut, terus diri ku membuat tinjauan ke arah dispenser dimana terletaknya tempat penyediaan makanan. Sungguh unik, hanya satu menu makanan berat yang terdapat di restoran tersebut iaitu seperti yang tertulis di singboardnya, "Nasi Kukus Ayam Paka". Ya, inilah keunikan restoran ini yang dibuka 24 jam setiap hari hanya dengan satu menu makanan berat namun mendapat sambutan yang hangat daripada para pelanggan yang mungkin datang dari jauh serta penduduk tempatan. Kelihatan juga satu rombongan bas ekspress tidak pasti dari mana juga beramai-ramai mencuba makanan di restoran ini. Restoran ini terletak di bahagian sudut yang agak luas namun di luar kedai di tambah lagi dua buah Kanopi 20 x 20 kerana di dalam kedai nampak gayanya tidak mampu menampung tempat duduk mungkin kerana restoran ini sangat popular di sini. Setelah dapat tempat duduk, diri ku memesan makanan tersebut iaitu "Nasi Kukus Ayam Paka", satu-satunya menu makanan berat yang terdapat di restoran ini bersama segelas teh ais minuman kegemaran ku. Tidak berapa lama kemudian pesanan yang ku minta pun tiba. Agak unik, makan disitu namun dihidangkan dalam bunkusan kertas minyak yang dibungkus rapi seolah-olah untuk dibawa pergi. Rupa-rupanya inilah konsep hidangan mereka, setiap pesanan akan dibungkus rapi seperti makan nasi bungkus. Apalagi dengan perasaan ingin tahu diri ku membuka bungkusan dan menjamah makanan tersebut. Nasi kukus beralas daun pisang dengan sepotong ayam goreng berempah serta dua potong timun bersama sedikit sambal dan kuah kari pekat yang siap di campur dalam bungkusan kertas minyak tersebut cukup untuk memecahkan air liur sebelum menjamahnya. Apabila diri ku mula menjamahnya, hati kecil ku berkata dan rasa syukur kerana berpeluang untuk singgah menjamu selera makan tengahari ku di restoran ini. Apa yang diriku boleh katakan pada warga pembaca sekalian keenakan "Nasi Kukus Ayam Paka" memang hebat, sehebat nama restorannya. Tidak sia-sia singgah menjamu selera di restoran ini, jika anda berpeluang untuk berkunjung ke Dungun Terengganu, diri ku syorkan singgah dan rasalah sendiri keenakkan rasanya. Harganya cuma RM8.50 untuk seorang makan iaitu sebungkus, memang berbaloi anda membayarnya, pasti tidak menyesal. Untuk pengetahuan warga pembaca sekalian pada perjalanan pulang diri ku juga singgah sekali lagi untuk menjamu selera di restoran ini, kerana entah bila diri ku berpeluang untuk berkunjung lagi, tetapi apa yang pasti jika umur panjang dan berpeluang untuk ke Terengganu lagi pasti diri ku tidak akan melepaskan peluang untuk singgah di restoran ini lagi.
"KEJAYAAN DALAM KEHIDUPAN TIDAK DITENTUKAN DENGAN BAGAIMANA KITA MELAKUKANNYA BERBANDING DENGAN INDIVIDU LAIN, TETAPI DENGAN BAGAIMANA KITA MELAKUKANNYA BERBANDING DENGAN APA YANG KITA MAMPU LAKUKAN. INDIVIDU YANG BERJAYA BERSAING MENENTANG DIRI MEREKA SENDIRI. MEREKA MENGATASI REKOD MEREKA SENDIRI DAN SENTIASA TERUS MEMPERBAIKINYA"

Begitulah serba sedikit perkongsian diri ku dengan warga pembaca sekalian pada kali ini. Mudah-mudahan kepada pengusaha restoran tersebut terus mendapat limpahan rezeki hasil daripada keenakan resepi yang disajikan beliau direstorannya kepada para pelanggan yang mengunjungi. Apalah agaknya rahsia keenakan resepi beliau?, jika warga pembaca sekalian ingin mengetahuinya, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke restoran ini jika ke Terengganu melewati bandar Dungun, singgahlah di pekan paka ini untuk mencubanya sendiri. Bagi diri ku "Nasi Kukus Ayam Paka", memang best di daerah Dungun Terengganu. Tahniah!!! kepada pengusaha restoran dan diri ku mengucapkan selamat maju jaya kepada pengusaha restoran ini. Warga pembaca sekalian, ingat Dungun, ingat pekan paka dan ingatlah disitu terdapatnya "Restoran Nasi Kukus Ayam Paka". Selamat mencuba kepada yang bercadang untuk mencubanya sendiri kelak.
"SELALU FIKIRKAN DARI SEGI MEMBERI TAMBAHAN NILAI SAMA ADA UNTUK PELANGGAN, RAKAN, PASANGAN ANDA, IBU BAPA ATAU ANAK-ANAK. BILA SAHAJA ANDA MELAKUKAN SESUATU, TANYAKAN DIRI ANDA, BAGAIMANA BOLEH SAYA MENAMBAH NILAI KEPADA APA YANG SAYA LAKUKAN? ATAU BAGAIMANA BOLEH SAYA MEMBERI TAMBAHAN NILAI KEPADA YANG LAIN?"

Sekian dahulu nukilan diri ku pada kali ini. Mudah-mudahan perkongsian pengalaman ini, sedikit sebanyak dapat memberi maklumat kepada warga pembaca sekalian, lebih-lebih lagi pada yang gemar jalan-jalan cari makan. Wasalam..................

Wednesday 25 January 2012

KEINGINAN.....

"HANYA MANUSIA SATU-SATUNYA CIPTAAN TUHAN YANG BOLEH MERUBAH SERTA MEMBENTUK NASIBNYA SENDIRI"

Assalammualaikum dan salam sejahtera...
Rasanya masih belum terlewat untuk mengucapkan, "Selamat Tahun Baru 2012" untuk warga pembaca sekalian. Diri ku agak sibuk kebelakangan ini dek kerana pada tahun ini diri ini telah diberikan cabaran baru dari sudut pekerjaan yang diusahakan. Rasa rindu kerana agak lama tidak berpeluang untuk menukil diruangan ini, diri ku juga pasti, tentu ada dikalangan warga pembaca dan khususnya pengikut setia yang tertanya-tanya, juga tertunggu-tunggu karya nukilan ku yang terbaru. Sebagai insan biasa pekerjaan harus diberikan keutamaan, kerana menjadi tanggungjawab diri ini para pelanggan harus diberikan keutamaan dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik, kerana ianya merupakan sumber rezeki utama diri ini. Namun sebagai blogger sambilan berhenti menukil tidak sekali, diri ku akan terus menukil walaupun hanya sedikit waktu yang dapat diluangkan. Cabaran diri ini, harus bijak membahagikan masa, kerana menukil merupakan minat yang sedia ada didalam diri ini semenjak sekian lama. Diri ku mendokan kesejahteraan buat warga pembaca sekalian, dan moga-moga nukilan ku pada kali ini, sedikit sebanyak dapat mengubat rindu kalian pada karya nukilan diri ku, serta mudah-mudahan juga nukilan pada kali ini, sedikit sebanyak dapat memberi sedikit input, inspirasi dan maklumat buat warga pembaca sekalian.
"KITA BOLEH MERUBAH DAN MEMBENTUK DIRI KITA DENGAN MERUBAH PEMIKIRAN, SIKAP DAN AMALAN"

"KEINGINAN", begitulah tajuk nukilan diri ku pada kali ini. Keinginan merupakan satu perkara yang subjektif serta sangat luas jika dikupas dan dibincangkan. Tiap orang tentu mempunyai keinginan, serta berbeza-beza mengikut citarasa diri masing-masing. Bagi diri ku cukup sekadar memetik beberapa pandangan serta pendapat berdasarkan pengalaman diri serta pengamatan, selari dari kejadian hari ke hari yang dilalui sehingga ke saat ini. Tiap dari kita semenjak kecil lagi, apabila sudah mula mengerti tentang kehidupan sememangnya telah mempunyai berbagai-bagai bentuk keinginan. Sewaktu kecil, ibubapalah yang banyak berkorban memenuhi keinginan anak-anaknya. Namun apabila telah dewasa dan tamat dari pengajian, dan telah mula berkerja serta berdikari dalam melalui perjalanan kehidupan ini, diri sendirilah yang bertanggungjawab untuk memenuhi keinginan diri.
"PEMBANGUNAN DAN PEMBENTUKAN DIRI HANYA DATANG APABILA KITA MELAKUKAN SESUATU ATAU DIMANA KITA BERUSAHA MELAKUKAN SESUATU YANG SUSAH ATAU BARU"

Keinginan diri jika tidak dikawal ianya boleh menjadi negatif dan merosak kehidupan pada hari-hari mendatang. Manakala keinginan yang mampu dikawal dengan baik serta dipenuhi dalam kadar keupayaan serta kemampuan boleh menjadi positif dari aspek pembangunan diri pada hari-hari yang dilalui serta mendatang. Mengapa diri ku katakan begini? Keinginan berkait rapat dengan nafsu, nafsu pula jika tidak dikawal dengan baik ianya boleh merosak diri serta kehidupan. Oleh yang demikian berusahalah sebaik mungkin untuk mengawalnya agar ianya menjadi positif. Ada seorang teman pernah bertanyakan pada diriku, katanya, bagaimanakah caranya untuk mengawal keinginan diri ini yang ada kalanya sangat sukar dikawal. Tiap bulan sebelum sampai hari gaji pada hujung bulan, saya sering kehabisan wang serta tiada budget lagi, dan yang paling sukar terpaksa meminjam dari kawan lain untuk menampung perbelanjaan pada hari-hari berikutnya sebelum menerima gaji semula, ujarnya kepada diri ku. Begitulah kehidupannya saban hari, saban bulan, malahan telah bertahun-tahun lamanya. Kesian diri ku mendengarnya, namun pada pandangan ku, dengan meminjam berterusan masalah tidak juga selesai dan lambat laun kawan yang sudi memberi pinjaman juga akan berkurangan kerana tiap orang ada masalah masing-masing.
"RAMAI ORANG LEBIH GEMAR MEMBACA DARIPADA BERFIKIR, KERANA IANYA LEBIH MUDAH"

Apa yang dapat diriku katakan pada beliau adalah memberi sedikit kata-kata nasihat serta ransangan dan juga turut mendoakan beliau supaya cepat keluar dari kemelut demikian. Segalanya berpunca dari sikap keinginan serta nafsu keinginan yang sukar dikawal. Tiap bulan dapat gaji bayar hutang dan sering tidak cukup, pendek kata wang gaji hanya transit di akaun sahaja, dapat dilihat seketika serta seterusnya hilang kerana terpaksa menjelaskan tunggakan-tunggakan hutang yang entah bila akan selesainya. Bagi diri ku, kita seharusnya hidup didalam pendapatan sendiri dan jangan sekali-kali berani untuk hidup diluar pendapatan sendiri, kerana kelak kita sendiri yang akan menanggung padahnya. Hari ini dalam dunia yang serba pantas kita banyak dikaburi oleh barangan yang ada ketikanya tidak mustahak pada kita, namun nafsu yang sukar dikawal membuatkan kita membelinya juga. Sehingga sanggup menyalah gunakan kredit kard serta berbagai cara pinjaman kredit yang lain asal sahaja keinginan diri dapat dipenuhi. Apa perlunya kita berhabis, jika sebenarnya kita menyiksa diri. Belajarlah untuk hidup dalam pendapatan sendiri dan berusahalah untuk melawan nafsu dengan budaya ikut-ikutan yang hanya akan menyiksa diri. Berjimat cermatlah, kerana orang yang bijak sentiasa berusaha untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% pendapatan bulanannya setiap bulan. Dan orang yang berjimat cermat juga mempunyai keinginan, namun golongan ini, hanya akan memenuhi keinginan mereka apabila sampai pada waktunya dan terlebih dahulu berusaha menyediakan budget serta bijak merancang juga mengawal keinginan mereka. Bersabar itu lebih baik, kerana orang yang bersabar serta sentiasa gigih dalam berusaha, biasanya mendapat apa yang mereka inginkan, cumanya sedikit lambat. Apa salahnya sedikit lambat daripada hidup menanggung hutang yang seolah-olah tiada penghujungnya.
"HENDAK MENYEGERAKAN PEMBANGUNAN DAN PEMBENTUKAN DIRI? BUANG YANG REMEH. LUANGKAN MASA DAN USAHA KEPADA PERKARA PENTING SAHAJA"

Dalam soal keinginan diri ini, tiada siapa yang dapat menghalang dan mengawal diri kita. Namun demikian diri kita, kitalah yang bertanggungjawab keatas setiap tindakan yang kita lakukan. Ada baiknya apabila ujudnya sesuatu keinginan pada diri, buat perancangan terlebih dahulu. Rancanglah dengan bijak, bagaimana serta bila untuk memilikinya serta buatlah kajian samaada kita benar-benar memerlukan apa yang kita inginkan itu atau sekadar untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk. Apalah gunanya nampak bergaya, namun pada hakikatnya hidup terseksa dan menyiksa diri. Kebiasannya mereka yang mempunyai hutang lebih dari kemampuan untuk membayar balik kehidupannya kurang tenteram dan sering tertekan. Tak kurang juga prestasi kerja menurun dan motivasi diri tidak konsisten. Perkara ini juga boleh mengundang bahaya kepada mereka yang berkerjaya, kerana apabila prestasi kerja anda menurun berkemungkinan majikan anda tidak menketogerikan anda sebagai pekerja yang boleh diharap. Bagaimana mungkin anda menyelesaikan masalah dengan baik dalam pekerjaan harian anda, sedangkan masalah diri anda sendiri tidak pernah selesai. Fikir-fikirkan, kebanyakan masalah yang datang dalam kehidupan kita adalah ciptaan kita sendiri dan kita sendirilah yang bertanggungjawab menyelesaikannya. Kita mulakan dan kita jugalah yang sepatutnya sudahkan. Ini juga mungkin menjadi penyebab mengapa kita lama berkhidmat dengan syarikat tempat kita bekerja, namun kita kekal disitu. "Hidup tanpa masalah, ibarat kehidupan yang telah mati, hidup memerlukan masalah untuk membuat kehidupan kita menjadi bermakna serta bererti". Namun kehidupan seseorang yang mempunyai masalah terlampau banyak serta berlebih-lebihan, mungkin mengundang padah pada diri. Sebab itu kita lihat banyak orang terjebak dengan perkara yang salah kerana mereka tidak dapat menyelesaikan masalah mereka dan sangat malang pula, jika terlibat dengan gejala yang negetif seperti terjebak dengan pengambilan dadah dan sebagainya, yang kononnya dapat menyelesaikan masalah seketika, padahal masalah tidak selesai dan menjejaskan kesihatan diri pula. Pelbagai jenis penyakit juga mudah hinggap kepada golongan sebegini. Bagi yang menghadapinya, berusahalah untuk pulih dan keluar dari kemelut itu, rujuklah pada yang pakar jika perlu. Jangan malu untuk bertanya dan berusaha jika anda ingin berubah, kerana tiap masalah ada penyelesaiannya, apa yang penting berusaha dengan bersungguh-sungguh, jangan hangat-hangat tahi ayam. Bagi yang tidak terlibat dengan permasalahan sebegini syukur alhamdullilah dan berusahalah untuk terus maju dan berjaya dengan keinginan yang positif. Keinginan yang positif membawa kepada kejayaan dan kesejahteraan, dan manakala keinginan yang negatif membawa mudarat serta padah kepada yang gagal mengawalnya.
"HIDUP TANPA MASALAH, IBARAT KEHIDUPAN YANG TELAH MATI, HIDUP MEMERLUKAN MASALAH UNTUK MEMBUAT KEHIDUPAN KITA MENJADI BERMAKNA SERTA BERERTI"

 Moga-moga nukilan pada kali ini sedikit sebanyak dapat memberi sedikit maklumat serta inspirasi kepada yang dapat merasakannya. Diri ini memohon ampun dan maaf kerana tidak berniat untuk meyakiti sesiapa, nukilan ini hanya sekadar berkongsi rasa hati, serta berkongsi pengalaman hasil daripada banyak pergaulan dan pengalaman  dalam perjalanan hidup ini.
Sekian untuk kali ini. Wassalam..........

Monday 12 December 2011

KEKURANGAN DIRI MERUPAKAN SATU KEKUATAN......

"KEJAYAAN IALAH HASIL DARIPADA KEPERCAYAAN MEMINTA SEBERAPA BANYAK KERJA DAN BUKAN SEBERAPA SEDIKIT KERJA"

         Ketika dalam perjalanan pulang dari makan malam bersama seorang sahabat karib ku dari gerai mee bandung kegemaran ku pada malam ini, kami berbual beberapa perkara berkaitan kehidupan dan tiba-tiba terkeluar topik berkaitan kekuatan untuk mencapai impian dan bagaimana mereka yang berjaya boleh mencapai cita-citanya. Diri ini cuba menjelaskan kepada sahabat karib ku ini berdasarkan pengalaman dan pandangan ku. "Kekurangan diri merupakan kekuatan", Ya! itulah sebenarnya jika diteliti pada setiap diri kita. Kebenarannya jelas dari sudut pandangan ku, mengapa diri ku mengatakan sedemikian? Selain daripada pengalaman peribadi, diri ku sangat yakin, apabila seseorang itu mengetahui dan mengenalpasti akan kekurangan yang terdapat pada dirinya dan mendapat kesedaran untuk memperbaikinya, maka kekurangan inilah merupakan cabaran yang dapat membantu kita untuk terus hidup dengan lebih tabah lagi. Kelebihan yang ada pada diri sudah tentu perkara yang istimewa dimiliki manakala kekurangan pula merupakan cabaran untuk dibaiki. Contoh, mengapa ibubapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah? Tujuannya adalah untuk si anak belajar membaca, menulis, mengira dan sebagainya selaku persediaan apabila dewasa kelak. Jadi di sekolah anak-anak belajar dan memperbaiki kekurangan dengan ilmu dan pelajaran yang dipelajari. Bayangkan apa akan jadi jika anak-anak tidak dihantar ke sekolah. Apa akan jadi apabila anak itu dewasa kelak dengan tidak tahu membaca, menulis, mengira dan sebagainya? Sudah tentu kehidupan anak tersebut akan menjadi sukar, khususnya untuk mencari pekerjaan tanpa sebarang kelulusan. Oleh demikian kekurangan adalah cabaran sebenarnya.

"KECEMERLANGAN BUKAN TUAH, IANYA HASIL DARIPADA KERJA KERAS SERTA LATIHAN YANG BANYAK"

Kelebihan yang ada pada diri membuatkan diri mudah untuk melakukan serta mencapai apa yang diinginkan. Kelebihan yang ada pada diri juga boleh jadi satu kekuatan jika digunakan dengan sebaik mungkin, manakala jika tidak digunakan pada jalan yang betul ada kemungkinan kelebihan tersebut memusnahkan diri kita. Oleh yang demikian hargailah kelebihan diri yang dimiliki, manakala sentiasalah berusaha untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Mungkin ramai yang sedar akan setiap diri kita ini sudah pasti ada kekurangan dan kelebihan. Diri ku amat pasti tidak semua insan di dunia ini sempurna dalam semua perkara, baik dari segi fizikal, mental mahupun kehidupan. Tentu setiap insan yang mempunyai fikiran yang normal inginkan kejayaan dalam kehidupan ini. Bezanya setiap seseorang diantara kita ini adalah ilmu pengetahuannya. Hanya ilmu dan pengalaman yang akan membantu seseorang dalam pembanggunan kehidupan masing-masing. Setiap yang mempunyai fizikal dan akal fikiran yang sempurna seharusnya bersyukur, kerana tidak semua memilikinya. Bagi yang kurang pula, usah bersedih dan berduka kerana setiap kejadian yang menimpa diri itu tentu ada hikmahnya. Apa yang penting pada diri ku ialah semangat untuk mengenal pasti kekurangan dan kelemahan lalu berusaha untuk memperbaiki kekurangan dengan menjadikan kekurangan tersebut sebagai cabaran serta kekuatan untuk terus berusaha agar mampu dan boleh hidup seperti insan yang sempurna, walaupun terpaksa berusaha lebih sedikit daripada orang-orang yang sempurna fizikalnya.

"KERJA KERAS DAN LATIHAN MEMBUATKAN SESEORANG LEBIH BAIK DALAM APA SAHAJA YANG DIA LAKUKAN"

Kehidupan bukan hanya bersukaria dan keseronokan, ianya juga kesengsaraan dan kesedihan. Perkara yang tidak diduga berlaku dan terjadi. Adakalanya semua menjadi tunggang terbalik. Perkara yang buruk terjadi kepada individu yang baik. Beberapa perkara tidak dapat dikawal, seperti kecacatan anggota dan kecacatan keturunan. Kita tidak boleh memilih ibu bapa kita atau keadaan kehidupan kita dilahirkan. Oleh yang demikian sekiranya kehidupan diletakkan dalam sesuatu keadaan itu, tidak perlulah menyesal. Tetapi apakah yang perlu kita lakukan, menangis atau memulakan langkah? Itulah pilihan yang harus kita lakukan. Kehidupan  dan apa yang kita ingin miliki bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya kehidupan kita merupakan pilihan yang kita buat dan tentukan. Sekiranya kita hidup dalam kekesalan dengan kekurangan yang dimiliki maka tidak akan membangun serta perubahan yang boleh kita miliki. Sebaliknya sekiranya kita memilih untuk terus melangkah dan mengatur perancangan serta tindakan berusaha kearah kebaikan serta impian dan matlamat yang ditentukan hanya masa menjadi penentu bila kita akan mencapai dan mampu untuk memiliki apa yang diusaha serta bangunkan.

"DALAM DUNIA SEBENAR, KEJAYAAN DATANG KEPADA PELAKSANA, BUKAN PEMERHATI"

Kekurangan diri bukanlah suatu halangan di dunia ini untuk seseorang itu memburu impian dan cita-citanya, sebaliknya kekurangan diri jika di amati betul-betul ianya merupakan cabaran serta pendorong buat diri seseorang untuk memiliki kehidupan yang diimpikan. Rata-rata jika diri kita sempurna, adakalanya kita leka dengan kesempurnaan yang dimiliki, manakala jika kita kurang sempurna seharusnya kekurangan tersebut akan memberi kita kesedaran untuk berusaha lebih kuat agar tidak ketinggalan dan tidak terlalu bergantung dengan bantuan orang lain. Apa yang penting dalam kehidupan ini hendaklah memiliki cita-cita dan impian serta seterusnya menetapkan matlamat bagaimana dan bilakah ianya boleh dicapai. Seterusnya terus bergerak dan berjuang untuk mengusahakan apa yang ingin dicapai. Gunalah kelebihan yang ada sebaik mungkin manakala terus berusaha untuk memperbaiki kekurangan yang ada dengan gigih serta azam yang kuat. Tidak ada yang mustahil untuk dicapai dalam kehidupan ini, asal sahaja mestilah sesuai dengan keupayaan untuk mengusahakannya dan mestilah logik untuk dicapai. Dimana ada usaha pasti akan ada jalan untuk melaluinya, banyak kejayaan yang berjaya dibangunkan dalam dunia ini merupakan hasil daripada mereka yang optimis dengan apa yang diusahakan dan tidak mengenal erti kekalahan walaupun beberapa kali gagal namun dengan gigih dan tabah terus melakukan dan berusaha akhirnya mereka berjaya. Kejayaan tidak diukur dengan ketinggian pencapaian kita tetapi berapa kerap kita pulih dengan cepat apabila kita tersungkur jatuh. Kemampuan pulih dengan cepat inilah yang menentukan kejayaan.

"IDEA YANG PALING BAIK TIDAK AKAN BERJAYA MELAINKAN ANDA MENGUSAHAKAN IDEA TERSEBUT"

Semoga perkongsian nukilan diri ku pada kali ini dapat mengubat kerinduan pada warga pembaca halaman ini, diri ku agak kurang menukil kebelakangan ini, kerana diri ini agak kekangan waktu dengan tugasan dipejabat menuntut perhatian diri ku dengan lebih lagi semenjak akhir-akhir ini. Beginilah kehidupan seharian adakalanya kesibukan itu lebih sedikit dari biasa kerana tuntutan tanggungjawab.
Sekian dahulu buat kali ini.........Wassalam......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...