Wednesday 23 November 2011

SEBUAH PERJALANAN YANG PANJANG NAMUN TETAP KU HARUNGI JUA....

    
"BIARKAN FIKIRAN BARU MENJADIKAN ANDA SEORANG BARU, BAHARUILAH DIRI DENGAN PEMBAHARUAN FIKIRAN"

          Melalui perjalanan kehidupan yang penuh dengan onak, ranjau dan duri adakalanya menyakitkan dan juga meletihkan. Sekiranya destinasi yang hendak dituju masih jauh, akan ada waktu-waktu sukar menjelma dan meletakkan suasana dalam keadaan tidak stabil dan mungkin tersasar dari arah tujuan, ada baiknya berhenti dan berihat seketika. Tidak ada yang mudah untuk dicapai dalam kehidupan ini, segalanya perlu melalui prosesnya sebelum sampai ke arah tujuan. Sememangnya apabila kita merancang sesuatu, kita mungkin teruja untuk melaksanakannya, kerana apabila kita benar-benar yakin dengan apa yang telah dirancangkan. Namun pada hakikatnya, apabila perlaksanaan serta tindakan mengambil tempat disitulah ujudnya suasana sebenar. Dari keadaan sebenar itu jugalah yang akan menguji kekuatan serta ketahanan diri serta mental seseorang dalam berusaha mencapai apa yang diimpikannya melalui bayangan serta perancangan yang telah dibuat sebelum proses tindakan mengambil tempat.

"CITA-CITA SEORANG PEMENANG ITU MUNGKIN TIDAK MELEBIHI ORANG YANG KALAH, TETAPI CITA-CITANYA ITU LEBIH PANJANG"

Adakalanya ramai yang berputus asa dalam menghadapi cabaran serta laluan rintangan yang sebenar, dalam menuju destinasi yang telah dirancangkan sebelumnya. Disinilah kita akan dapat mengukur sejauh mana sebenarnya kesungguhan diri kita apabila kita mengusahakan sesuatu perkara. Dalam dunia ini memang pelik, tetapi itulah hakikatnya, ramai yang inginkan sesuatu yang besar dalam kehidupan ini, namun apabila berusaha serta menghadapi kesukaran untuk melaluinya, berundur dan berhenti sering menjadi pilihan. Ada peribahasa lama mengatakan "apabila anda telah bertekad untuk mengali emas, janganlah sesekali anda berhenti mengali selagi anda belum menemuinya, kerana ianya mungkin telah hampir". 

"BEREHATLAH NAMUN JANGAN MENGAKU KALAH. SEDANGKAN MATAHARI TERBENAM SETIAP PETANG. TETAPI IANYA PASTI TERBIT SEMULA KEESOKAN PAGINYA. PADA WAKTU SUBUH, SETIAP ROH DILAHIRKAN SEMULA"

Apabila laluan yang hendak dituju nampak sukar dan mungkin anda sedikit keletihan. Maka berehatlah, tetapi jangan mengaku kalah. Dalam perjalanan hidup ini, sentiasalah berfikiran positif walau apapun matlamat anda. Hanya mereka yang optimis sahaja yang akan mencipta sejarah. Tidak ada tugu yang dibina untuk orang yang pesimis. Apapun yang dilakukan dalam kehidupan ini, diri kitalah yang bertanggungjawab keatas setiap perkara serta jalan yang kita pilih. Kehidupan kita hak kita, masa depan kita juga merupakan hak kita. Kitalah yang merancang serta membuat keputusan dengan pilihan yang kita tetapkan dan kita jugalah yang berusaha ke arah matlamat itu. Sekiranya kita tidak kuat dan tabah tentu kita akan berhenti separuh jalan serta berpatah balik pada keadaan yang lama. Namun sekiranya kita benar-benar yakin, kuat, tabah, sentiasa bersemangat juang yang kental serta berpegang teguh pada prinsip dan kesungguhan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan, percayalah bagaimana jauh, sukar  dan panjang pun perjalanan itu akhirnya akan tiba jua ke matlamat yang hendak dituju itu. Persoalannya cuma cepat atau lambat sahaja, apa yang penting fokus kepada usaha tersebut. Semangat manusia merupakan kuasa ghaib, hasil daripada roh yang kekal abadi, dinding granit dan halangan, boleh membuka jejak menuju sebarang matlamat. Keinginan yang bernyala-nyala merupakan pendorong serta perangsang yang paling hebat. Tindakan serta semangat juang yang tinggi, gigih serta tabah merupakan kunci kepada matlamat.

"DALAM PERJALANAN HIDUP INI, SENTIASA BERFIKIRAN POSITIF WALAU APAPUN MATLAMAT ANDA. HANYA MEREKA YANG OPTIMIS SAHAJA YANG AKAN MENCIPTA SEJARAH. TIADA TUGU YANG DIBINA UNTUK ORANG YANG PESIMIS"

Sekian dahulu nukilan diri ku pada kali ini buat warga pembaca sekalian. Ilham dari karya nukilan pada kali ini hadir sewaktu perjalanan diri ku ke Johor tempohari. Semoga karya ini ada motivasinya buat diri ku serta warga pembaca sekalian agar kita sama-sama merasainya walaupun kecil. Sedikit perkongsian mudah-mudahan dapat memberi pengisian. Terima Kasih......Jumpa Lagi.......
Wassalam.......


Tuesday 15 November 2011

KECEMERLANGAN DALAM KEHIDUPAN MERUPAKAN HASIL DARI KESEDARAN UNTUK BERUSAHA.......

      
"KITA BERUPAYA MENGUBAH DIRI SENDIRI DENGAN MENGUBAH PEMIKIRAN, SIKAP SERTA AMALAN"

         Dalam melalui perjalanan kehidupan sehari-hari adakalanya kita akan bergaul dengan individu-individu tertentu ataupun berbagai cara dan karektornya. Ada ketika kita perlu berhadapan dengan individu ataupun golongan yang "tidak mahu memahami". Pernahkah anda menghadapi keadaan ini dalam soal pekerjaan, mahupun hubungan sosial? Mengapa ada ketika individu-individu sebegini hadir dalam kehidupan kita dan ianya menjadi cabaran untuk kita menghadapinya sekiranya ia berada disekitar kita? Tidak mahu memahami merupakan satu sikap ataupun boleh dikatakan tidak ambil peduli soal orang lain. Sikap sebegini sekiranya ia berada dalam kelompok pergaulan seharian kita memang meletihkan jika kita perlu berhadapan dan berurusan dengan individu sedemikian. Individu yang memiliki sikap tidak mahu memahami ini kebiasaanya adalah mereka yang sentiasa mengelak ataupun tidak mahu mengambil risiko langsung. Baik risiko yang kecil mahupun yang besar. Pemikiran mereka juga adalah sangat tertutup, dimana apabila kita berbicara dengan individu yang berperangai sebegini sangat degil dan tidak berkesan jika kita cuba untuk terus berurusan dengannya. Mengapa sikap sebegini ada pada mereka? Apa yang pasti apabila berhadapan dengan individu berperwatakan sedemikian rupa memang meletihkan. Ibarat mencurah air di daun keladi, tidak berkesan. Walaubagaimanapun dalam kehidupan ini, kita tidak akan boleh lari dari individu yang bersikap sedemikian rupa, ianya berada dimana-mana, kerana perkara ini merupakan sikap yang sememangnya ada pada individu-individu tertentu.

"CARA PALING BERKESAN DAN SEGERA UNTUK MENGUBAH PERIBADI ADALAH DENGAN MEMILIKI SATU MATLAMAT SERTA BERUSAHA KEARAHNYA"

Bagi diri ku, pada suatu ketika dahulu apabila terpaksa berhadapan dengan individu yang bersikap sedemikian rupa memang berbagai rasa perasaan ini pada suatu waktu dahulu. Namun pengalaman mengajar erti dewasa dan diri ku dapat menerima hakikat, memang ada segelintir individu berpendirian sedemikian rupa dan diri ku pasti mereka ini ada sebab-sebab tertentu berkeadaan sedemikian rupa. Maka adalah lebih baik kita mengambil pendekatan untuk memahami mereka terlebih dahulu sekiranya kita mahu golongan ini untuk memahami kita, apabila dipertemukaan atau mungkin berhadapan dan perlu berurusan dengan individu yang tidak mahu memahami ini. Apabila diperhatikan dan diamati betul-betul mengapa perkara ini terjadi, apa yang dapat dilihat individu berperwatakan sebegini sudah biasa dengan tabiat sedemikian sehingga terbentuknya sebuah sikap kepada diri mereka. Rata-rata yang berperwatakan sebigini adalah golongan yang akan mengelak ataupun tidak mahu mengambil risiko dan juga terlalu berhati-hati dan lebih bersifat realistik. Realistik yang dimaksudkan adalah hanya akan bersetuju apabila telah terbukti ataupun dibuktikan dengan sokongan fakta-fakta. Bagi golongan ini bayangan ataupun imiginasi adalah sesuatu yang mustahil dan lebih baik diam daripada menyokong.

"CUBA PERHATIKAN HARI INI KERANA IA MERUPAKAN SATU KEHIDUPAN DARIPADA KESELURUHAN KEHIDUPAN ITU SENDIRI"

Di dalam kehidupan ini terdapat tiga kategori manusia, golongan yang ketiga merupakan individu yang gemar memerhati, dimana saban hari sering memerhati kejadian-kejadian yang berlaku dalam lingkungan hidup mereka. Manakala golongan yang kedua pula merupakan individu yang gemar bertanya apa yang berlaku dalam lingkungan kehidupan seharian mereka. Dan golongan individu yang pertama pula merupakan golongan yang melakukan dan sentiasa mencuba dan berusaha untuk melakukan sesuatu yang lebih baik saban hari. Walaupun ada kalanya tidak berjaya, namun golongan ini tetap gigih dan tabah melakukan apa yang mereka fikir dan yakin untuk dilakukan. Dan apabila diperhatikan saban tahun dan waktu golongan individu yang pertama ini, tahap kehidupan mereka meningkat, tidak kira samaada peningkatan itu kecil atau besar, yang jelas golongan ini meningkat dan terus meningkat. Mengapa ini terjadi? Ianya terjadi kerana tabiat melakukan telah terbentuk kedalam diri mereka sehingga perkara melakukan telah menjadi sikap dan amalan mereka saban hari. Apa yang pasti melakukan, akan menghasilkan keputusan, samaada gagal atau berjaya. Jika gagal sudah tentu pengalaman dapat diperolehi dan melalui pengalaman kegagalan ini, jika dilakukan semula tentu lebih cerah peluang untuk berjaya kerana pengalaman telah diperolehi sebelumnya. Berbanding dengan melihat dan bertanya sahaja tanpa mahu melakukan, sudah tentu tiada apa yang akan diperolehi serta masa akan terus berlalu dan tidak akan kembali lagi setiap masa yang telah berlalu. Nah! selepas ini jangan berlengah lagi, sekiranya ada keinginan untuk melakukan sesuatu yang baik, adalah sebaiknya bertindak segera kerana lagi cepat anda bertindak maka lebih cepatlah diri anda berpeluang mendapat hasilnya.

"SANGAT MUDAH UNTUK MENJADI CERIA DIKALA KEHIDUPAN BERJALAN DENGAN LANCAR, NAMUN SESEORANG ITU AKAN LEBIH DIKAGUMI DI MASA DERITA DAN DIWAKTU ITU DIA MASIH MAMPU MENGUKIR SENYUMAN"

Corak pemikiran kita lama-kelamaan akan menjadi kebiasaan. Kita membentuk tabiat dan seterusnya tabiat membentuk sikap kita. Sebelum anda menyedari bahawa anda memiliki tabiat, sebenarnya ia telah terbentuk dalam diri anda. Kita perlu membentuk tabiat berfikir sewajarnya. Seseorang pernah berkata, pemikiran kita membentuk perbuatan, perbuatan pula membentuk tabiat, seterusnya tabiat akan membentuk sikap, dan akhirnya sikap akan membentuk takdir kita. Alasan mengapa mereka tidak berubah ialah kerana enggan menerima tanggungjawab. Selain dari itu, manusia lebih seronok meneruskan tabiat yang telah menjadi kebiasaannya. Dimana mereka ini mungkin kurang keinginan untuk berubah, kurangnya disiplin untuk berubah, kurangnya kepercayaan bahawa mereka boleh berubah dan kurangnya kesedaran bahawa perlunya mereka berubah.

"APABILA BERTEMU DENGAN KENALAN BARU, USAHAKAN AGAR ANDA TINGGALKANNYA SEBAGAI KAWAN"

Selagi ada waktu, ada keinginan dan ada daya usaha, maka masih belum terlewat untuk berubah. Tidak mengenal usia mahupun berapa lama tabiat itu telah kita amalkan, perkara ini boleh diatasi dengan kesedaran serta menggunakan teknik yang boleh mengubah kelakuan kita. Kita mungkin pernah mendengar bahawa anda tidak akan dapat mengajar beruk tua muslihat baru. Kita manusia, bukannya beruk. Kita juga tidak dapat mengelak dari muslihat. Kita boleh menolak kelakuan yang boleh membinasakan diri serta belajar perlakuan yang positif. Rahsia insan-insan yang berjaya adalah mereka membentuk tabiat melakukan sesuatu yang tidak suka dilakukan oleh orang-orang yang gagal. Walaupun insan-insan yang berjaya mendapati agak susah untuk melakukannya, namun mereka ini tetap melaksanakannya. Sebagai contoh orang-orang yang gagal  tidak minat mengamalkan disiplin, bekerja keras dan juga melakukan komitment. Insan-insan yang berjaya juga tidak suka disiplin serta bekerja kuat. Seorang pemain bola sepak negara juga tidak suka dan tidak mahukan disiplin untuk bangun dan berlatih setiap hari, namun mereka tetap melakukannya. Mereka melakukannya secara tetap kerana telah membentuk tabiat melakukan sesuatu perkara yang tidak suka dilakukan oleh orang-orang gagal. "Kecemerlangan dalam kehidupan merupakan hasil dari kesedaran untuk berusaha", serta dilakukan berulangkali sehingga ianya menjadi satu tabiat. Dengan azam serta tekad yang tinggi dan kesungguhan, tiada yang mustahil untuk dilakukan. Manusia perlu membuat latihan yang secukupnya untuk membina tabiat sehingga terbentuknya sikap yang positif. Sikap yang positif pasti akan membentuk kecemerlangan dalam kehidupan....

"SESEORANG ITU TIDAK AKAN LEBIH KAYA TANPA SAHABAT, SENTIASA BERUSAHA MENCARI SAHABAT BARU NAMUN JANGAN SEKALI MELUPAKAN PADA YANG LAMA, BARU ITU IBARAT PERAK, MANAKALA YANG LAMA ITU UMPAMA EMAS"

Semoga apa yang di nukilkan pada kali ini mendapat manfaat buat warga pembaca sekalian, serta mudah-mudahan kita sama-sama mendapat motivasinya dari karya yang ringkas dan tak seberapa ini. Insya Allah di lain waktu jika berkelapangan diri ku akan terus menukil lagi buat warga pembaca yang di sayangi sekalian.
Sekian dahulu......Wassalam.......

Thursday 10 November 2011

MENANGGUH DAN MENCIPTA ALASAN UNTUK MELAKUKAN SESUATU......

  

        Hari ini diriku gagahkan juga untuk menukil walaupun agak sibuk sedikit kebelakangan ini. Agak lama juga diriku tidak menukilkan sesuatu buat warga pembaca ruangan ini khususnya. Begitulah kehidupan, adakalanya masa begitu mencengkam apabila banyak perkara yang perlu dilakukan dalam sehari. Setiap orang memiliki masa yang sama iaitu 24 jam sehari, tidak kira apa juga latarbelakang kita semua insan dimukabumi ini memiliki waktu yang sama. Bagaimana setiap dari kita memanfaatkan setiap masa yang ada?, bergantung kepada diri sendiri, kerana diri sendiri yang membentuk halatuju sendiri. Ada dikalangan manusia bekerja seolah-olah tidak cukup 24 jam sehari, bukan kepalang sibuknya. Kehidupan hari ini dalam sebuah negara yang membangun dan mengejar kemajuan kelihatan budaya juga ikut berubah. Kepantasan waktu pasti dirasakan oleh kebanyakan orang, apatah lagi dikalangan mereka yang sangat sibuk. Masyarakat bandar khususnya sangat kekurangan waktu, apa tidaknya jika saban hari pagi dan petang asyik sangkut dalam trafik jem dijalanraya sewaktu pergi dan pulang dari bekerja khususnya. Senario ini memang jelas bagi masyarakat di lembah klang khususnya. Turun awal pagi dan pulang lewat petang. Inilah kehidupan yang perlu dihadapi oleh masyarakat sebuah negara yang moden dan membangun seperti Malaysia hari ini.


Apa yang diriku ingin nukilkan pada hari ini merupakan sebuah kisah berkenaan "Menangguh dan mencipta alasan untuk melakukan sesuatu". Mencipta sesuatu perkara baru yang boleh memberi manfaat merupakan perkara yang sukar untuk dilakukan, namun mencipta alasan merupakan satu perkara yang sangat mudah untuk dilakukan, kerana ianya sekadar mengunakan logik akal untuk menciptanya. Perkara ini sebenarnya sangat merbahaya jika ianya menjadi amalan diri, kerana ianya boleh menyebabkan seseorang itu hilang peluang dan juga berkemungkinan hilang kepercayaan, khususnya dikalangan peniaga, akan berlakunya hilang kepercayaan dari pihak pelanggan khususnya. Mengapa tabiat ini sering berlaku pada sesetengah orang atau mungkin kebanyakan orang?. Cuba kita perhatikan bagaimana kehidupan orang-orang yang berjaya. Pasti jika kita perhatikan golongan orang-orang yang berjaya ini sangat teliti dengan pengurusan masa dan juga sentiasa mempunyai sasaran apabila mengusahakan sesuatu perkara. Mereka sering membawa pen bersama, kelihatan dengan dairy atau organizer, buku tulis serta peralatan canggih seperti galaxy tab sebagai alat bantu untuk mereka mencatit dan menguruskan masa dengan teliti. Saban hari golongan ini begitu tertib dan sangat berdisiplin menggunakan setiap waktu yang bakal dilalui. Maka tidak hairanlah jika mereka ini sangat berjaya, masa begitu penting serta sangat teliti menggunakannya. Benarlah ada peribahasa mengatakan, "wang boleh membeli jam namun tidak boleh membeli masa", masa yang berlalu tidak dapat dikembalikan lagi. Maka jika kita ingin berjaya kita juga harus bijak mengurus setiap masa yang bakal tiba, agar tidak menyesal dikemudian hari.


Ramai orang suka menangguh daripada memulakan persiapan seawal mungkin. Mereka akan menunda-nunda  kerja dan tugas sehingga hampir ke saat-saat terakhir. Apabila rasa tertekan mereka akan mula melakukan kerja dan tugas secara intensif, berjaga hingga lewat malam atau bangun awal pagi, tidak berehat langsung dan memaksa diri menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun dalam masa yang singkat. Pada ketika ini berbagai masalah dihadapi seperti tekanan, bimbang, risau, takut dan sebagainya menghantui mereka. Semasa ke pejabat kerap juga berlaku situasi terlupa apa yang hendak dibawa dan diingat. Sebab utama ialah kerana kurang rehat dan kurang tidur maka otak tidak cukup untuk berfungsi sepenuhnya. Justeru, bersiap-sedialah daripada awal. Jangan bertangguh lagi. Jangan jadi juara bertangguh sebaliknya lakukan sekarang juga! Bertindak sekarang dan lakukan sekarang juga merupakan perkara yang sangat menguntungkan.


"BERTANGGUH MERUPAKAN SATU TABIAT YANG BURUK, KERJA BERTANGGUH TIDAK AKAN MENJADI"

Kebanyakan dari sikap kita lahir dari kebiasaan. Ia hadir secara sendirinya tanpa kita berfikir. Sikap kita secara keseluruhannya menjadikan tabiat kita. Jika seseorang memiliki tabiat yang positif, maka dia dikatakan mempunyai sikap yang positif. Manakala orang yang mempunyai tabiat yang negatif akan bersikap negatif. Pengaruh tabiat lebih kuat dari logik dan pemikiran. Tabiat mula wujud dalam diri, walaupun terlalu lemah untuk dirasai dan akhirnya menjadi terlalu kuat untuk ditinggalkan. Tabiat berkembang seiring dengan kegagalan atau keazaman. Tentu ada diantara kita masih ingat, semasa zaman kanak-kanak ibu bapa sering memberitahu kita, "anda seharusnya membentuk tabiat yang baik kerana tabiat yang baik akan membentuk sikap pada masa hadapan".



Apa juga yang kita sering lakukan secara berulangkali akan berubah menjadi tabiat. Kita belajar membina tabiat dengan amalan. Dengan memiliki keberanian, kita belajar menjadi berani. Dengan mengamalkan kejujuran dan keadilan, kita mempelajari dan membentuk keperibadian mulia. Dengan mengamalkan keperibadian ini, kita akan menjadi mahir kerana ianya telah menjadi kebiasaan kita. Begitu juga jika kita mengamalkan keperibadian yang negatif seperti ketidakjujuran, sikap tidak adil, suka mencuri tulang ataupun tidak berdisplin, keperibadian itulah yang akan menjadi tabiat kita. Perangai merupakan tabiat, itulah corak kelakuan kita. Ia mempengaruhi pemikiran, perlakuan serta tindakan kita.


Apa yang diri ku sering perhatikan dalam perjalanan kehidupan ini boleh disimpulkan begini; Sekiranya seseorang itu mempunyai sikap yang positif pada kebiasaanya insan-insan sebegini hatinya lembut, budinya baik, kelihatan kuat dan gagah, memiliki tahap kecerdasan serta kesihatan yang baik, suka menolong orang dan mempunyai kehidupan yang berjaya. Manakala insan-insan yang mempunyai sikap yang negatif pula kelihatan mudah ditimpa penyakit, kurang bermaya, tidak rajin dan malas berfikir, banyak mengharap serta suka mengharapkan bantuan dari orang lain walaupun adakalanya mereka sebenarnya mampu berusaha, kehidupan individu-individu yang negatif ini juga sering kelihatan hambar dan tidak menarik. Apapun yang kita lakukan, kehidupan kita adalah pilihan kita, sekiranya kita memilih untuk menjadi positif maka kita akan mendapat kehidupan yang positif dan begitulah sebaliknya, sekiranya kita memilih kehidupan yang negatif kita lah yang akan melaluinya juga. Setiap kita memiliki masa yang sama serta tinggal dibumi yang sama, apa yang membezakan setiap dari kita merupakan cara dan usaha yang kita lakukan mengikut keupayaan dan pilihan kita sendiri.


Kebanyakan dari sikap kita terhasil dari kelaziman dan ianya merupakan tabiat. Jika kita berhajat melakukan sesuatu dengan baik, ianya akan datang secara automatik. Jika kita terpaksa berfikir untuk melakukan sesuatu   yang betul kita tentu tidak akan dapat melakukannya dengan baik. Ini bermaksud kita perlu sering melakukannya serta membentuknya menjadi tabiat kita. Ketika diri ku menuntut ilmu seni mempertahankan diri disuatu masa dahulu, diri ku perhatikan walaupun seseorang penuntut telah mendapat tali pinggang hitam, mereka masih berlatih teknik menumbuk, menahan, kemahiran-kemahiran asas, kerana jika mereka perlu menggunakan kemahiran-kemahiran ini, ianya harus datang secara semulajadi.


"TABIAT YANG BAIK SUSAH DIPUPUK NAMUN SENANG UNTUK DITERIMA, MANAKALA TABIAT YANG BURUK PULA SENANG DIPUPUK AKAN TETAPI SUKAR UNTUK DIJADIKAN AMALAN KEHIDUPAN"

Perubahan terjadi setiap masa. Oleh sebab itu, kita perlu berubah secara berterusan, bukan hanya sekali-sekala sahaja. Apabila kita melakukan sesuatu perubahan, maka hal lain juga turut berubah dan begitulah seterusnya. Tidak semua orang mampu melihat perubahan. Ramai daripada kita hanya berupaya melihat realiti tetapi tidak melihat pada masa hadapan. Salah satunya adalah perubahan selalu membawa manusia ke arah kemajuan. Sungguhpun biasanya ini adalah benar, tetapi manusia sering lupa, perjalanannya susah dan menyakitkan. Apabila dunia terus berubah tetapi pendidikannya masih berada pada takuk lama, ia membawa akibat buruk pada kemajuan sebuah bangsa dan negara. Itulah sebabnya perubahan perlu berlaku dalam semua bidang agar selari dengan kemajuan zaman. Yakinlah, bahawa setiap kali kita melangkah menuju zon yang mencabar, maka setiap kali itu jugalah ketakutan-ketakutan baru akan menjelma. Tidak mengapa, terimalah ketakutan-ketakutan baru yang dilingkungan zon yang mencabar daripada terus menghadapi ketakutan-ketakutan lama dalam zon yang selesa. Apalah ertinya menjadi seumpama jaguh kampung yang hanya mampu menang dalam gelanggang sendiri dan menghadapi lawan yang sama, dibandingkan dengan jaguh sebenar yang menghadapi pelbagai lawan di pelbagai gelanggang. Tegasnya, terimalah ketakutan sebagai harga untuk setiap peningkatan yang dibuat.


"IMPIAN SEHARUSNYA BESAR UNTUK MENAKLUKI RASA TAKUT. SEKIRANYA KITA ADA KEINGINAN TETAPI KEINGINAN ITU TIDAK CUKUP KUAT UNTUK MEMADAMKAN RASA TAKUT, ITU SEBENARNYA BUKAN KEINGINAN. ITU MERUPAKAN HANYA SEKADAR ANGAN-ANGAN"

Impian yang menyala-nyala akan memadamkan ketakutan dalam diri kita. Impian mesti besar untuk menakluki rasa takut. Sekiranya kita ada keinginan tetapi keinginan itu tidak cukup kuat untuk memadamkan rasa takut, itu sebenarnya bukan keinginan. Itu hanya angan-angan. Sebaiknya, tukarkanlah rasa takut itu untuk menjadikannya satu keinginan yang menyala-nyala. Ketakutan untuk gagal menjadi keinginan untuk berjaya. Ketakutan menjadi miskin, mendorong keinginan menjadi kaya. Ketakutan menghadapi mati, membuatkan kita berhati-hati dalam menjalani perjalanan kehidupan. Impian umpama layang-layang, manakala rasa takut pula ibarat angin. Layang-layang hanya terbang sekiranya dilayangkan melawan angin bukannya mengikut angin. Oleh demikian sekiranya ada rasa takut dalam hidup, itu sebenarnya adalah baik, kerana ketakutan itulah yang akan menyalakan impian kita.  Orang-orang yang berjaya merupakan mereka yang sentiasa mengawal tindakan-tindakan dirinya dalam hidup ini, bukannya orang lain yang cuba mengawal tindakan-tindakan mereka. Selalu ingatkan diri kita bahawa kejayaan bukan bergantung kepada apa yang berlaku ke atas kita, tetapi apa yang kita lakukan terhadap perkara yang telah berlaku itu, dengan upaya daripada apa yang kita lakukan dalam diri kita.

Sampai disini dahulu nukilan diri ku buat kali ini, moga sedikit sebanyak perkongsian dalam nukilan pada kali ini dapat memberi manfaat kepada warga pembaca di ruangan ini. Sama-sama kita renungkan, yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang kurang itu pula dari diri ku insan yang kerdil ini. Sekadar berkongsi dengan niat mudah-mudahan boleh mendatangkan manfaat kepada yang merasakannya. Insya Allah........Sekian dahulu.........
Wasallam..........
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...