Thursday, 27 October 2011

PERHUBUNGAN BERLANDASKAN KEPERCAYAAN MEMBENTUK KESEJAHTERAAN......


                Sesekali berpeluang bertemu dengan teman-teman lama, yang pernah berkhidmat dibawah satu bumbung, tentu peluang sebegini tidak boleh dilepaskan. Buat diri ku saat begini tidak akan berulang lagi dan sekiranya ia berulang sekalipun tentu suasananya akan berbeza. Oleh yang demikian diri ku melapangkan juga masa untuk menghadiri majlis tersebut pada malam ini setelah mendapat jemputan seminggu yang lalu dari teman lama ku yang menjadi pembantu penganjur kepada majlis malam ini, yang dinamakan "Re-union Dinner ExAlcom", iaitu merupakan majlis makan malam dan pertemuan teman-teman yang pernah sama-sama berkhidmat di satu tempat yang sama pada suatu masa dahulu. Sungguh lama tidak berjumpa, sesekali berjumpa dalam satu majlis makan malam sebegini amat menyentuh hati dan perasaan. Begitulah kita sesama manusia, bila dekat rasa sayang, rasa nak marah, rasa itu, rasa ini dan bermacam-macam rasa. Namun apabila tidak bertemu sekian lama ada ketikanya, fikiran teringat kisah silam dan hati tertanya-tanya, apakah agaknya khabar si anu sekarang ya, sihatkah atau bertambah berjayakah, dimanakah agaknya dia sekarang dan apakah agaknya pekerjaan yang dilakukan? Setiap orang tentu pernah merasakan perasaan sebeginikan?, inilah yang dinamakan insan, mempunyai akal, hati dan perasaan. Memang tidak dapat dinafikan majlis sebegini seharusnya diadakan sekali sekala supaya yang jauh dapat didekatkan, yang dekat dapat dirapatkan dan bertanya khabar diantara satu sama lain. Walaupun majlisnya agak ringkas dan masa yang diperuntukkan tidak panjang dan tidak berkesempatan untuk berbual dengan semua orang yang hadir, namun hati berasa puas apabila melihatkan suasana riang gembira dan jelas terpancar senyuman di wajah masing-masing tanda bersyukur dapat melihat dan bertemu semula diantara satu sama lain.



Pada malam yang bertuah ini diri ku tidak melepaskan peluang bertanya khabar kepada teman-teman lama yang berkesempatan diri ku berbual dalam keadaan yang ringkas dan padat. Ternyata semua yang hadir memberikan reaksi yang sangat positif, walaupun pada ketika kami pernah berkhidmat bersama dahulu dari bahagian yang berbeza. Tiap dari kami melalui pengalaman yang berbeza-beza dalam perhubungan pada ketika itu. Biasalah dalam melakukan pekerjaan ada boss dan ada orang bawahan, tentu suasananya berbeza mengikut peringkat masing-masing. Namun kini ada yang masih terus berkhidmat dalam bidang yang sama dan ramai juga yang telah menukar kerjaya serta tidak kurang juga ada yang telah bersara. Dalam perbualan pada hari yang berbahagia ini, terdapat berbagai cerita. Antaranya ada yang telah meninggal dunia, ada yang semakin berjaya, ada yang dah jadi tauke, ada yang semakin hebat dan ada juga yang semakin mundur. Resam dunia nasib tiap orang itu berbeza-beza mengikut daya usaha dan rezeki masing-masing. Riuh-rendah suasana pada majlis makan malam pada hari ini, maklum sahajalah masing-masing dengan perjalanan hidup masing-masing dan kesibukan masing-masing. Mana mungkin untuk bertemu kerana kini haluan masing-masing telah berbeza. Jika dahulu ketika berkhidmat bersama sudah tentu sering bertemu kerana tempat mencari rezeki sebumbung juga merupakan rumah kedua kepada kami semua warga pekerja yang berkhidmat dalam satu syarikat yang sama. Hubungan tentu kuat dan mesra kerana saban hari sering bertemu. Maka apabila sekian lama tidak bertemu tentu suasana begitu hangat kerana masing-masing berminat untuk mengetahui perkembangan masing-masing. Beginilah resam hidup didunia, manusia saling memerlukan diantara satu sama lain, jika tidak saban hari tentu ada waktu dan ketika keperluan itu akan tetap ada.



"PADA SETIAP JIWA YANG HIDUP ITU MEMPUNYAI FITRAH KEJADIAN HATI YANG SAMA. SEMUA JIWA HIDUP YANG NAMANYA MANUSIA ITU MEMPUNYAI PERASAAN SAYANG WALAUPUN ADA KETIKA LAHIRNYA BENCI"

Perhubungan sesama manusia sangat perlu walau bagaimana hebat pun seseorang itu di dunia ini, kerana setiap perkara yang mahu dilakukan peranan seseorang pasti akan ada. Tiap manusia sering melengkapi diantara satu sesama yang lain dalam banyak perkara. Bayangkan sekiranya ada waktu dan ketika apabila diri anda mengendalikan sesuatu majlis, jika kita tidak mempunyai kawan, tentu majlis akan menjadi suram. Sebab itu kita sering melihat bagi sesiapa yang hidupnya mempunyai ramai kenalan, apabila dirinya mengadakan sesuatu majlis tentu meriah dan riuh-rendah kerana kehadiran tetamu yang ramai. Hidup berkawan ibarat "aur dengan tebing, tentu tidak dapat dipisahkan", begitu juga hidup bermasyarakat, ianya sangat dituntut dalam kehidupan seseorang. Inilah realiti kehidupan, pertemuan sebegini merupakan keinginan untuk terus berjumpa dia antara satu sama lain, atas dasar rasa kasih dan sayang sesama insan ini terus ujud dan utuh. Di malam yang bertuah ini kelihatan ramai yang turut membawa kamera bersama-sama dan tidak melepaskan peluang mengambil gambar sebagai kenang-kenangan terkini dan termasuk diri ku juga sudah pasti melakukan perkara yang sama, kerana sudah menjadi kebiasaan akan membawa kamera kesayangan ku ini kemana sahaja diri ku pergi. Sesekali berpeluang bertemu dengan kawan-kawan lama pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk merakam gambar kenang-kenangan sebagai koleksi peribadi yang terkini. Jelas kelihatan masing-masing telah meningkat usia, jika dahulu rambutnya hitam kini telah ramai yang menjadi putih rambutnya. Jika dahulu tidak berkedut kini ramai yang telah berkedut. Jika dahulu muda dan berusia pertengahan, namun kini ramai yang telah meniti arus usia. Walauapapun, matlamat pada malam ini tercapai dan jelas kelihatan diwajah masing-masing terpancar tanda kepuasan dapat bertemu semula setelah sekian lama terpisah walaupun cuma seketika. Kelihatan ada diantara hadirin yang bertukar-tukar kad nama, mendapatkan nombor talipon di antara satu sama lain dan termasuk diri ku juga berbuat demikian dengan beberapa rakan yang telah lama terputus hubungan.



"MANUSIA TIDAK BOLEH HIDUP BERSENDIRIAN. SETIAP MANUSIA MEMERLUKAN TEMAN BAGI MENJALANI KEHIDUPAN SEHARIAN. ISLAM JUGA MENGGALAKKAN UMATNYA BERSAHABAT DAN BERGAUL MELALUI CARA YANG PALING BAIK"

Akhirnya majlis makan malam pada hari ini sampai ke waktu kemuncak, kelihatan seorang demi seorang meminta diri untuk pulang, kerana masing-masing ada tugasan lain mengikut perjalanan kehidupan masing-masing. Kami bersalaman antara satu sama lain tanda perpisahan dan entah bila akan bertemu kembali, namun kepuasan tercapai jua walaupun hanya seketika dan pasti pertemuan secara individu akan menyusul mengikut keperluan masing-masing kerana kebanyakan dari kami telah bertukar-tukar nombor talipan pada malam ini. Di akhir majlis kami sempat merakam gambar beramai-ramai sebagai satu kenangan abadi untuk dikenang sepanjang hayat kerana malam ini merupakan satu detik sejarah yang pasti akan dikenang oleh setiap yang hadir. Pertemuan yang ringkas dan seketika tetapi mempunyai pengertian yang begitu bermakna kepada setiap yang hadir pada malam ini. Yang lama telah terputus hubungan, titik pertemuan pada malam ini telah menyambungkannya kembali. Begitulah kisah diri ku pada malam ini, malam yang bersejarah dan penuh makna untuk terus dikenang sepanjang hayat. Bukan senang untuk bertemu dengan kebanyakan kenalan lama yang telah lama tidak bertemu, namun malam yang berbahagia ini sedikit sebanyak telah mengubat kerinduan serta membuka lembaran baru dengan tersambungnya kembali hubungan yang kian lama telah terputus. Macamana ramai pun kenalan baru yang hadir dalam kehidupan ini, kenalan dan rakan-rakan lama akan tetap terus dikenang kerana setiap detik dan waktu dalam perjalanan kehidupan, ia mempunyai sejarahnya yang tersendiri untuk terus dikenang.

"PERHUBUNGAN BERLANDASKAN KEPERCAYAAN MEMBENTUK KESEJAHTERAAN"


"JADILAH SEPERTI MATAHARI, CAHAYANYA DAPAT DIRASAKAN DAN DINIKMATI OLEH SEMUA ORANG TAK KIRA DIMANA KITA BERADA"

Manusia dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian, Allah SWT telah menjadikan kita dengan sebaik-baik rupa, ketinggian, ukuran, sifat serta bentuk. Baik bentuk muka, pancaindera serta susunan anggota tubuh badan dan sebagainya. Yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain merupakan pada akalnya. Jadi kita sebagai manusia harus sentiasa menghargai dan memelihara akal yang dikurniakan untuk ke arah kebaikan. Insya Allah...
Sekian buat kali ini perkongsian nukilan diri ku, semoga penceritaan pada kali ini sedikit sebanyak mendatangkan manfaat kepada warga pembaca sekelian........Wasallam.........

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...