Monday, 12 December 2011

KEKURANGAN DIRI MERUPAKAN SATU KEKUATAN......

"KEJAYAAN IALAH HASIL DARIPADA KEPERCAYAAN MEMINTA SEBERAPA BANYAK KERJA DAN BUKAN SEBERAPA SEDIKIT KERJA"

         Ketika dalam perjalanan pulang dari makan malam bersama seorang sahabat karib ku dari gerai mee bandung kegemaran ku pada malam ini, kami berbual beberapa perkara berkaitan kehidupan dan tiba-tiba terkeluar topik berkaitan kekuatan untuk mencapai impian dan bagaimana mereka yang berjaya boleh mencapai cita-citanya. Diri ini cuba menjelaskan kepada sahabat karib ku ini berdasarkan pengalaman dan pandangan ku. "Kekurangan diri merupakan kekuatan", Ya! itulah sebenarnya jika diteliti pada setiap diri kita. Kebenarannya jelas dari sudut pandangan ku, mengapa diri ku mengatakan sedemikian? Selain daripada pengalaman peribadi, diri ku sangat yakin, apabila seseorang itu mengetahui dan mengenalpasti akan kekurangan yang terdapat pada dirinya dan mendapat kesedaran untuk memperbaikinya, maka kekurangan inilah merupakan cabaran yang dapat membantu kita untuk terus hidup dengan lebih tabah lagi. Kelebihan yang ada pada diri sudah tentu perkara yang istimewa dimiliki manakala kekurangan pula merupakan cabaran untuk dibaiki. Contoh, mengapa ibubapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah? Tujuannya adalah untuk si anak belajar membaca, menulis, mengira dan sebagainya selaku persediaan apabila dewasa kelak. Jadi di sekolah anak-anak belajar dan memperbaiki kekurangan dengan ilmu dan pelajaran yang dipelajari. Bayangkan apa akan jadi jika anak-anak tidak dihantar ke sekolah. Apa akan jadi apabila anak itu dewasa kelak dengan tidak tahu membaca, menulis, mengira dan sebagainya? Sudah tentu kehidupan anak tersebut akan menjadi sukar, khususnya untuk mencari pekerjaan tanpa sebarang kelulusan. Oleh demikian kekurangan adalah cabaran sebenarnya.

"KECEMERLANGAN BUKAN TUAH, IANYA HASIL DARIPADA KERJA KERAS SERTA LATIHAN YANG BANYAK"

Kelebihan yang ada pada diri membuatkan diri mudah untuk melakukan serta mencapai apa yang diinginkan. Kelebihan yang ada pada diri juga boleh jadi satu kekuatan jika digunakan dengan sebaik mungkin, manakala jika tidak digunakan pada jalan yang betul ada kemungkinan kelebihan tersebut memusnahkan diri kita. Oleh yang demikian hargailah kelebihan diri yang dimiliki, manakala sentiasalah berusaha untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Mungkin ramai yang sedar akan setiap diri kita ini sudah pasti ada kekurangan dan kelebihan. Diri ku amat pasti tidak semua insan di dunia ini sempurna dalam semua perkara, baik dari segi fizikal, mental mahupun kehidupan. Tentu setiap insan yang mempunyai fikiran yang normal inginkan kejayaan dalam kehidupan ini. Bezanya setiap seseorang diantara kita ini adalah ilmu pengetahuannya. Hanya ilmu dan pengalaman yang akan membantu seseorang dalam pembanggunan kehidupan masing-masing. Setiap yang mempunyai fizikal dan akal fikiran yang sempurna seharusnya bersyukur, kerana tidak semua memilikinya. Bagi yang kurang pula, usah bersedih dan berduka kerana setiap kejadian yang menimpa diri itu tentu ada hikmahnya. Apa yang penting pada diri ku ialah semangat untuk mengenal pasti kekurangan dan kelemahan lalu berusaha untuk memperbaiki kekurangan dengan menjadikan kekurangan tersebut sebagai cabaran serta kekuatan untuk terus berusaha agar mampu dan boleh hidup seperti insan yang sempurna, walaupun terpaksa berusaha lebih sedikit daripada orang-orang yang sempurna fizikalnya.

"KERJA KERAS DAN LATIHAN MEMBUATKAN SESEORANG LEBIH BAIK DALAM APA SAHAJA YANG DIA LAKUKAN"

Kehidupan bukan hanya bersukaria dan keseronokan, ianya juga kesengsaraan dan kesedihan. Perkara yang tidak diduga berlaku dan terjadi. Adakalanya semua menjadi tunggang terbalik. Perkara yang buruk terjadi kepada individu yang baik. Beberapa perkara tidak dapat dikawal, seperti kecacatan anggota dan kecacatan keturunan. Kita tidak boleh memilih ibu bapa kita atau keadaan kehidupan kita dilahirkan. Oleh yang demikian sekiranya kehidupan diletakkan dalam sesuatu keadaan itu, tidak perlulah menyesal. Tetapi apakah yang perlu kita lakukan, menangis atau memulakan langkah? Itulah pilihan yang harus kita lakukan. Kehidupan  dan apa yang kita ingin miliki bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya kehidupan kita merupakan pilihan yang kita buat dan tentukan. Sekiranya kita hidup dalam kekesalan dengan kekurangan yang dimiliki maka tidak akan membangun serta perubahan yang boleh kita miliki. Sebaliknya sekiranya kita memilih untuk terus melangkah dan mengatur perancangan serta tindakan berusaha kearah kebaikan serta impian dan matlamat yang ditentukan hanya masa menjadi penentu bila kita akan mencapai dan mampu untuk memiliki apa yang diusaha serta bangunkan.

"DALAM DUNIA SEBENAR, KEJAYAAN DATANG KEPADA PELAKSANA, BUKAN PEMERHATI"

Kekurangan diri bukanlah suatu halangan di dunia ini untuk seseorang itu memburu impian dan cita-citanya, sebaliknya kekurangan diri jika di amati betul-betul ianya merupakan cabaran serta pendorong buat diri seseorang untuk memiliki kehidupan yang diimpikan. Rata-rata jika diri kita sempurna, adakalanya kita leka dengan kesempurnaan yang dimiliki, manakala jika kita kurang sempurna seharusnya kekurangan tersebut akan memberi kita kesedaran untuk berusaha lebih kuat agar tidak ketinggalan dan tidak terlalu bergantung dengan bantuan orang lain. Apa yang penting dalam kehidupan ini hendaklah memiliki cita-cita dan impian serta seterusnya menetapkan matlamat bagaimana dan bilakah ianya boleh dicapai. Seterusnya terus bergerak dan berjuang untuk mengusahakan apa yang ingin dicapai. Gunalah kelebihan yang ada sebaik mungkin manakala terus berusaha untuk memperbaiki kekurangan yang ada dengan gigih serta azam yang kuat. Tidak ada yang mustahil untuk dicapai dalam kehidupan ini, asal sahaja mestilah sesuai dengan keupayaan untuk mengusahakannya dan mestilah logik untuk dicapai. Dimana ada usaha pasti akan ada jalan untuk melaluinya, banyak kejayaan yang berjaya dibangunkan dalam dunia ini merupakan hasil daripada mereka yang optimis dengan apa yang diusahakan dan tidak mengenal erti kekalahan walaupun beberapa kali gagal namun dengan gigih dan tabah terus melakukan dan berusaha akhirnya mereka berjaya. Kejayaan tidak diukur dengan ketinggian pencapaian kita tetapi berapa kerap kita pulih dengan cepat apabila kita tersungkur jatuh. Kemampuan pulih dengan cepat inilah yang menentukan kejayaan.

"IDEA YANG PALING BAIK TIDAK AKAN BERJAYA MELAINKAN ANDA MENGUSAHAKAN IDEA TERSEBUT"

Semoga perkongsian nukilan diri ku pada kali ini dapat mengubat kerinduan pada warga pembaca halaman ini, diri ku agak kurang menukil kebelakangan ini, kerana diri ini agak kekangan waktu dengan tugasan dipejabat menuntut perhatian diri ku dengan lebih lagi semenjak akhir-akhir ini. Beginilah kehidupan seharian adakalanya kesibukan itu lebih sedikit dari biasa kerana tuntutan tanggungjawab.
Sekian dahulu buat kali ini.........Wassalam......

Wednesday, 23 November 2011

SEBUAH PERJALANAN YANG PANJANG NAMUN TETAP KU HARUNGI JUA....

    
"BIARKAN FIKIRAN BARU MENJADIKAN ANDA SEORANG BARU, BAHARUILAH DIRI DENGAN PEMBAHARUAN FIKIRAN"

          Melalui perjalanan kehidupan yang penuh dengan onak, ranjau dan duri adakalanya menyakitkan dan juga meletihkan. Sekiranya destinasi yang hendak dituju masih jauh, akan ada waktu-waktu sukar menjelma dan meletakkan suasana dalam keadaan tidak stabil dan mungkin tersasar dari arah tujuan, ada baiknya berhenti dan berihat seketika. Tidak ada yang mudah untuk dicapai dalam kehidupan ini, segalanya perlu melalui prosesnya sebelum sampai ke arah tujuan. Sememangnya apabila kita merancang sesuatu, kita mungkin teruja untuk melaksanakannya, kerana apabila kita benar-benar yakin dengan apa yang telah dirancangkan. Namun pada hakikatnya, apabila perlaksanaan serta tindakan mengambil tempat disitulah ujudnya suasana sebenar. Dari keadaan sebenar itu jugalah yang akan menguji kekuatan serta ketahanan diri serta mental seseorang dalam berusaha mencapai apa yang diimpikannya melalui bayangan serta perancangan yang telah dibuat sebelum proses tindakan mengambil tempat.

"CITA-CITA SEORANG PEMENANG ITU MUNGKIN TIDAK MELEBIHI ORANG YANG KALAH, TETAPI CITA-CITANYA ITU LEBIH PANJANG"

Adakalanya ramai yang berputus asa dalam menghadapi cabaran serta laluan rintangan yang sebenar, dalam menuju destinasi yang telah dirancangkan sebelumnya. Disinilah kita akan dapat mengukur sejauh mana sebenarnya kesungguhan diri kita apabila kita mengusahakan sesuatu perkara. Dalam dunia ini memang pelik, tetapi itulah hakikatnya, ramai yang inginkan sesuatu yang besar dalam kehidupan ini, namun apabila berusaha serta menghadapi kesukaran untuk melaluinya, berundur dan berhenti sering menjadi pilihan. Ada peribahasa lama mengatakan "apabila anda telah bertekad untuk mengali emas, janganlah sesekali anda berhenti mengali selagi anda belum menemuinya, kerana ianya mungkin telah hampir". 

"BEREHATLAH NAMUN JANGAN MENGAKU KALAH. SEDANGKAN MATAHARI TERBENAM SETIAP PETANG. TETAPI IANYA PASTI TERBIT SEMULA KEESOKAN PAGINYA. PADA WAKTU SUBUH, SETIAP ROH DILAHIRKAN SEMULA"

Apabila laluan yang hendak dituju nampak sukar dan mungkin anda sedikit keletihan. Maka berehatlah, tetapi jangan mengaku kalah. Dalam perjalanan hidup ini, sentiasalah berfikiran positif walau apapun matlamat anda. Hanya mereka yang optimis sahaja yang akan mencipta sejarah. Tidak ada tugu yang dibina untuk orang yang pesimis. Apapun yang dilakukan dalam kehidupan ini, diri kitalah yang bertanggungjawab keatas setiap perkara serta jalan yang kita pilih. Kehidupan kita hak kita, masa depan kita juga merupakan hak kita. Kitalah yang merancang serta membuat keputusan dengan pilihan yang kita tetapkan dan kita jugalah yang berusaha ke arah matlamat itu. Sekiranya kita tidak kuat dan tabah tentu kita akan berhenti separuh jalan serta berpatah balik pada keadaan yang lama. Namun sekiranya kita benar-benar yakin, kuat, tabah, sentiasa bersemangat juang yang kental serta berpegang teguh pada prinsip dan kesungguhan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan, percayalah bagaimana jauh, sukar  dan panjang pun perjalanan itu akhirnya akan tiba jua ke matlamat yang hendak dituju itu. Persoalannya cuma cepat atau lambat sahaja, apa yang penting fokus kepada usaha tersebut. Semangat manusia merupakan kuasa ghaib, hasil daripada roh yang kekal abadi, dinding granit dan halangan, boleh membuka jejak menuju sebarang matlamat. Keinginan yang bernyala-nyala merupakan pendorong serta perangsang yang paling hebat. Tindakan serta semangat juang yang tinggi, gigih serta tabah merupakan kunci kepada matlamat.

"DALAM PERJALANAN HIDUP INI, SENTIASA BERFIKIRAN POSITIF WALAU APAPUN MATLAMAT ANDA. HANYA MEREKA YANG OPTIMIS SAHAJA YANG AKAN MENCIPTA SEJARAH. TIADA TUGU YANG DIBINA UNTUK ORANG YANG PESIMIS"

Sekian dahulu nukilan diri ku pada kali ini buat warga pembaca sekalian. Ilham dari karya nukilan pada kali ini hadir sewaktu perjalanan diri ku ke Johor tempohari. Semoga karya ini ada motivasinya buat diri ku serta warga pembaca sekalian agar kita sama-sama merasainya walaupun kecil. Sedikit perkongsian mudah-mudahan dapat memberi pengisian. Terima Kasih......Jumpa Lagi.......
Wassalam.......


Tuesday, 15 November 2011

KECEMERLANGAN DALAM KEHIDUPAN MERUPAKAN HASIL DARI KESEDARAN UNTUK BERUSAHA.......

      
"KITA BERUPAYA MENGUBAH DIRI SENDIRI DENGAN MENGUBAH PEMIKIRAN, SIKAP SERTA AMALAN"

         Dalam melalui perjalanan kehidupan sehari-hari adakalanya kita akan bergaul dengan individu-individu tertentu ataupun berbagai cara dan karektornya. Ada ketika kita perlu berhadapan dengan individu ataupun golongan yang "tidak mahu memahami". Pernahkah anda menghadapi keadaan ini dalam soal pekerjaan, mahupun hubungan sosial? Mengapa ada ketika individu-individu sebegini hadir dalam kehidupan kita dan ianya menjadi cabaran untuk kita menghadapinya sekiranya ia berada disekitar kita? Tidak mahu memahami merupakan satu sikap ataupun boleh dikatakan tidak ambil peduli soal orang lain. Sikap sebegini sekiranya ia berada dalam kelompok pergaulan seharian kita memang meletihkan jika kita perlu berhadapan dan berurusan dengan individu sedemikian. Individu yang memiliki sikap tidak mahu memahami ini kebiasaanya adalah mereka yang sentiasa mengelak ataupun tidak mahu mengambil risiko langsung. Baik risiko yang kecil mahupun yang besar. Pemikiran mereka juga adalah sangat tertutup, dimana apabila kita berbicara dengan individu yang berperangai sebegini sangat degil dan tidak berkesan jika kita cuba untuk terus berurusan dengannya. Mengapa sikap sebegini ada pada mereka? Apa yang pasti apabila berhadapan dengan individu berperwatakan sedemikian rupa memang meletihkan. Ibarat mencurah air di daun keladi, tidak berkesan. Walaubagaimanapun dalam kehidupan ini, kita tidak akan boleh lari dari individu yang bersikap sedemikian rupa, ianya berada dimana-mana, kerana perkara ini merupakan sikap yang sememangnya ada pada individu-individu tertentu.

"CARA PALING BERKESAN DAN SEGERA UNTUK MENGUBAH PERIBADI ADALAH DENGAN MEMILIKI SATU MATLAMAT SERTA BERUSAHA KEARAHNYA"

Bagi diri ku, pada suatu ketika dahulu apabila terpaksa berhadapan dengan individu yang bersikap sedemikian rupa memang berbagai rasa perasaan ini pada suatu waktu dahulu. Namun pengalaman mengajar erti dewasa dan diri ku dapat menerima hakikat, memang ada segelintir individu berpendirian sedemikian rupa dan diri ku pasti mereka ini ada sebab-sebab tertentu berkeadaan sedemikian rupa. Maka adalah lebih baik kita mengambil pendekatan untuk memahami mereka terlebih dahulu sekiranya kita mahu golongan ini untuk memahami kita, apabila dipertemukaan atau mungkin berhadapan dan perlu berurusan dengan individu yang tidak mahu memahami ini. Apabila diperhatikan dan diamati betul-betul mengapa perkara ini terjadi, apa yang dapat dilihat individu berperwatakan sebegini sudah biasa dengan tabiat sedemikian sehingga terbentuknya sebuah sikap kepada diri mereka. Rata-rata yang berperwatakan sebigini adalah golongan yang akan mengelak ataupun tidak mahu mengambil risiko dan juga terlalu berhati-hati dan lebih bersifat realistik. Realistik yang dimaksudkan adalah hanya akan bersetuju apabila telah terbukti ataupun dibuktikan dengan sokongan fakta-fakta. Bagi golongan ini bayangan ataupun imiginasi adalah sesuatu yang mustahil dan lebih baik diam daripada menyokong.

"CUBA PERHATIKAN HARI INI KERANA IA MERUPAKAN SATU KEHIDUPAN DARIPADA KESELURUHAN KEHIDUPAN ITU SENDIRI"

Di dalam kehidupan ini terdapat tiga kategori manusia, golongan yang ketiga merupakan individu yang gemar memerhati, dimana saban hari sering memerhati kejadian-kejadian yang berlaku dalam lingkungan hidup mereka. Manakala golongan yang kedua pula merupakan individu yang gemar bertanya apa yang berlaku dalam lingkungan kehidupan seharian mereka. Dan golongan individu yang pertama pula merupakan golongan yang melakukan dan sentiasa mencuba dan berusaha untuk melakukan sesuatu yang lebih baik saban hari. Walaupun ada kalanya tidak berjaya, namun golongan ini tetap gigih dan tabah melakukan apa yang mereka fikir dan yakin untuk dilakukan. Dan apabila diperhatikan saban tahun dan waktu golongan individu yang pertama ini, tahap kehidupan mereka meningkat, tidak kira samaada peningkatan itu kecil atau besar, yang jelas golongan ini meningkat dan terus meningkat. Mengapa ini terjadi? Ianya terjadi kerana tabiat melakukan telah terbentuk kedalam diri mereka sehingga perkara melakukan telah menjadi sikap dan amalan mereka saban hari. Apa yang pasti melakukan, akan menghasilkan keputusan, samaada gagal atau berjaya. Jika gagal sudah tentu pengalaman dapat diperolehi dan melalui pengalaman kegagalan ini, jika dilakukan semula tentu lebih cerah peluang untuk berjaya kerana pengalaman telah diperolehi sebelumnya. Berbanding dengan melihat dan bertanya sahaja tanpa mahu melakukan, sudah tentu tiada apa yang akan diperolehi serta masa akan terus berlalu dan tidak akan kembali lagi setiap masa yang telah berlalu. Nah! selepas ini jangan berlengah lagi, sekiranya ada keinginan untuk melakukan sesuatu yang baik, adalah sebaiknya bertindak segera kerana lagi cepat anda bertindak maka lebih cepatlah diri anda berpeluang mendapat hasilnya.

"SANGAT MUDAH UNTUK MENJADI CERIA DIKALA KEHIDUPAN BERJALAN DENGAN LANCAR, NAMUN SESEORANG ITU AKAN LEBIH DIKAGUMI DI MASA DERITA DAN DIWAKTU ITU DIA MASIH MAMPU MENGUKIR SENYUMAN"

Corak pemikiran kita lama-kelamaan akan menjadi kebiasaan. Kita membentuk tabiat dan seterusnya tabiat membentuk sikap kita. Sebelum anda menyedari bahawa anda memiliki tabiat, sebenarnya ia telah terbentuk dalam diri anda. Kita perlu membentuk tabiat berfikir sewajarnya. Seseorang pernah berkata, pemikiran kita membentuk perbuatan, perbuatan pula membentuk tabiat, seterusnya tabiat akan membentuk sikap, dan akhirnya sikap akan membentuk takdir kita. Alasan mengapa mereka tidak berubah ialah kerana enggan menerima tanggungjawab. Selain dari itu, manusia lebih seronok meneruskan tabiat yang telah menjadi kebiasaannya. Dimana mereka ini mungkin kurang keinginan untuk berubah, kurangnya disiplin untuk berubah, kurangnya kepercayaan bahawa mereka boleh berubah dan kurangnya kesedaran bahawa perlunya mereka berubah.

"APABILA BERTEMU DENGAN KENALAN BARU, USAHAKAN AGAR ANDA TINGGALKANNYA SEBAGAI KAWAN"

Selagi ada waktu, ada keinginan dan ada daya usaha, maka masih belum terlewat untuk berubah. Tidak mengenal usia mahupun berapa lama tabiat itu telah kita amalkan, perkara ini boleh diatasi dengan kesedaran serta menggunakan teknik yang boleh mengubah kelakuan kita. Kita mungkin pernah mendengar bahawa anda tidak akan dapat mengajar beruk tua muslihat baru. Kita manusia, bukannya beruk. Kita juga tidak dapat mengelak dari muslihat. Kita boleh menolak kelakuan yang boleh membinasakan diri serta belajar perlakuan yang positif. Rahsia insan-insan yang berjaya adalah mereka membentuk tabiat melakukan sesuatu yang tidak suka dilakukan oleh orang-orang yang gagal. Walaupun insan-insan yang berjaya mendapati agak susah untuk melakukannya, namun mereka ini tetap melaksanakannya. Sebagai contoh orang-orang yang gagal  tidak minat mengamalkan disiplin, bekerja keras dan juga melakukan komitment. Insan-insan yang berjaya juga tidak suka disiplin serta bekerja kuat. Seorang pemain bola sepak negara juga tidak suka dan tidak mahukan disiplin untuk bangun dan berlatih setiap hari, namun mereka tetap melakukannya. Mereka melakukannya secara tetap kerana telah membentuk tabiat melakukan sesuatu perkara yang tidak suka dilakukan oleh orang-orang gagal. "Kecemerlangan dalam kehidupan merupakan hasil dari kesedaran untuk berusaha", serta dilakukan berulangkali sehingga ianya menjadi satu tabiat. Dengan azam serta tekad yang tinggi dan kesungguhan, tiada yang mustahil untuk dilakukan. Manusia perlu membuat latihan yang secukupnya untuk membina tabiat sehingga terbentuknya sikap yang positif. Sikap yang positif pasti akan membentuk kecemerlangan dalam kehidupan....

"SESEORANG ITU TIDAK AKAN LEBIH KAYA TANPA SAHABAT, SENTIASA BERUSAHA MENCARI SAHABAT BARU NAMUN JANGAN SEKALI MELUPAKAN PADA YANG LAMA, BARU ITU IBARAT PERAK, MANAKALA YANG LAMA ITU UMPAMA EMAS"

Semoga apa yang di nukilkan pada kali ini mendapat manfaat buat warga pembaca sekalian, serta mudah-mudahan kita sama-sama mendapat motivasinya dari karya yang ringkas dan tak seberapa ini. Insya Allah di lain waktu jika berkelapangan diri ku akan terus menukil lagi buat warga pembaca yang di sayangi sekalian.
Sekian dahulu......Wassalam.......

Thursday, 10 November 2011

MENANGGUH DAN MENCIPTA ALASAN UNTUK MELAKUKAN SESUATU......

  

        Hari ini diriku gagahkan juga untuk menukil walaupun agak sibuk sedikit kebelakangan ini. Agak lama juga diriku tidak menukilkan sesuatu buat warga pembaca ruangan ini khususnya. Begitulah kehidupan, adakalanya masa begitu mencengkam apabila banyak perkara yang perlu dilakukan dalam sehari. Setiap orang memiliki masa yang sama iaitu 24 jam sehari, tidak kira apa juga latarbelakang kita semua insan dimukabumi ini memiliki waktu yang sama. Bagaimana setiap dari kita memanfaatkan setiap masa yang ada?, bergantung kepada diri sendiri, kerana diri sendiri yang membentuk halatuju sendiri. Ada dikalangan manusia bekerja seolah-olah tidak cukup 24 jam sehari, bukan kepalang sibuknya. Kehidupan hari ini dalam sebuah negara yang membangun dan mengejar kemajuan kelihatan budaya juga ikut berubah. Kepantasan waktu pasti dirasakan oleh kebanyakan orang, apatah lagi dikalangan mereka yang sangat sibuk. Masyarakat bandar khususnya sangat kekurangan waktu, apa tidaknya jika saban hari pagi dan petang asyik sangkut dalam trafik jem dijalanraya sewaktu pergi dan pulang dari bekerja khususnya. Senario ini memang jelas bagi masyarakat di lembah klang khususnya. Turun awal pagi dan pulang lewat petang. Inilah kehidupan yang perlu dihadapi oleh masyarakat sebuah negara yang moden dan membangun seperti Malaysia hari ini.


Apa yang diriku ingin nukilkan pada hari ini merupakan sebuah kisah berkenaan "Menangguh dan mencipta alasan untuk melakukan sesuatu". Mencipta sesuatu perkara baru yang boleh memberi manfaat merupakan perkara yang sukar untuk dilakukan, namun mencipta alasan merupakan satu perkara yang sangat mudah untuk dilakukan, kerana ianya sekadar mengunakan logik akal untuk menciptanya. Perkara ini sebenarnya sangat merbahaya jika ianya menjadi amalan diri, kerana ianya boleh menyebabkan seseorang itu hilang peluang dan juga berkemungkinan hilang kepercayaan, khususnya dikalangan peniaga, akan berlakunya hilang kepercayaan dari pihak pelanggan khususnya. Mengapa tabiat ini sering berlaku pada sesetengah orang atau mungkin kebanyakan orang?. Cuba kita perhatikan bagaimana kehidupan orang-orang yang berjaya. Pasti jika kita perhatikan golongan orang-orang yang berjaya ini sangat teliti dengan pengurusan masa dan juga sentiasa mempunyai sasaran apabila mengusahakan sesuatu perkara. Mereka sering membawa pen bersama, kelihatan dengan dairy atau organizer, buku tulis serta peralatan canggih seperti galaxy tab sebagai alat bantu untuk mereka mencatit dan menguruskan masa dengan teliti. Saban hari golongan ini begitu tertib dan sangat berdisiplin menggunakan setiap waktu yang bakal dilalui. Maka tidak hairanlah jika mereka ini sangat berjaya, masa begitu penting serta sangat teliti menggunakannya. Benarlah ada peribahasa mengatakan, "wang boleh membeli jam namun tidak boleh membeli masa", masa yang berlalu tidak dapat dikembalikan lagi. Maka jika kita ingin berjaya kita juga harus bijak mengurus setiap masa yang bakal tiba, agar tidak menyesal dikemudian hari.


Ramai orang suka menangguh daripada memulakan persiapan seawal mungkin. Mereka akan menunda-nunda  kerja dan tugas sehingga hampir ke saat-saat terakhir. Apabila rasa tertekan mereka akan mula melakukan kerja dan tugas secara intensif, berjaga hingga lewat malam atau bangun awal pagi, tidak berehat langsung dan memaksa diri menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun dalam masa yang singkat. Pada ketika ini berbagai masalah dihadapi seperti tekanan, bimbang, risau, takut dan sebagainya menghantui mereka. Semasa ke pejabat kerap juga berlaku situasi terlupa apa yang hendak dibawa dan diingat. Sebab utama ialah kerana kurang rehat dan kurang tidur maka otak tidak cukup untuk berfungsi sepenuhnya. Justeru, bersiap-sedialah daripada awal. Jangan bertangguh lagi. Jangan jadi juara bertangguh sebaliknya lakukan sekarang juga! Bertindak sekarang dan lakukan sekarang juga merupakan perkara yang sangat menguntungkan.


"BERTANGGUH MERUPAKAN SATU TABIAT YANG BURUK, KERJA BERTANGGUH TIDAK AKAN MENJADI"

Kebanyakan dari sikap kita lahir dari kebiasaan. Ia hadir secara sendirinya tanpa kita berfikir. Sikap kita secara keseluruhannya menjadikan tabiat kita. Jika seseorang memiliki tabiat yang positif, maka dia dikatakan mempunyai sikap yang positif. Manakala orang yang mempunyai tabiat yang negatif akan bersikap negatif. Pengaruh tabiat lebih kuat dari logik dan pemikiran. Tabiat mula wujud dalam diri, walaupun terlalu lemah untuk dirasai dan akhirnya menjadi terlalu kuat untuk ditinggalkan. Tabiat berkembang seiring dengan kegagalan atau keazaman. Tentu ada diantara kita masih ingat, semasa zaman kanak-kanak ibu bapa sering memberitahu kita, "anda seharusnya membentuk tabiat yang baik kerana tabiat yang baik akan membentuk sikap pada masa hadapan".



Apa juga yang kita sering lakukan secara berulangkali akan berubah menjadi tabiat. Kita belajar membina tabiat dengan amalan. Dengan memiliki keberanian, kita belajar menjadi berani. Dengan mengamalkan kejujuran dan keadilan, kita mempelajari dan membentuk keperibadian mulia. Dengan mengamalkan keperibadian ini, kita akan menjadi mahir kerana ianya telah menjadi kebiasaan kita. Begitu juga jika kita mengamalkan keperibadian yang negatif seperti ketidakjujuran, sikap tidak adil, suka mencuri tulang ataupun tidak berdisplin, keperibadian itulah yang akan menjadi tabiat kita. Perangai merupakan tabiat, itulah corak kelakuan kita. Ia mempengaruhi pemikiran, perlakuan serta tindakan kita.


Apa yang diri ku sering perhatikan dalam perjalanan kehidupan ini boleh disimpulkan begini; Sekiranya seseorang itu mempunyai sikap yang positif pada kebiasaanya insan-insan sebegini hatinya lembut, budinya baik, kelihatan kuat dan gagah, memiliki tahap kecerdasan serta kesihatan yang baik, suka menolong orang dan mempunyai kehidupan yang berjaya. Manakala insan-insan yang mempunyai sikap yang negatif pula kelihatan mudah ditimpa penyakit, kurang bermaya, tidak rajin dan malas berfikir, banyak mengharap serta suka mengharapkan bantuan dari orang lain walaupun adakalanya mereka sebenarnya mampu berusaha, kehidupan individu-individu yang negatif ini juga sering kelihatan hambar dan tidak menarik. Apapun yang kita lakukan, kehidupan kita adalah pilihan kita, sekiranya kita memilih untuk menjadi positif maka kita akan mendapat kehidupan yang positif dan begitulah sebaliknya, sekiranya kita memilih kehidupan yang negatif kita lah yang akan melaluinya juga. Setiap kita memiliki masa yang sama serta tinggal dibumi yang sama, apa yang membezakan setiap dari kita merupakan cara dan usaha yang kita lakukan mengikut keupayaan dan pilihan kita sendiri.


Kebanyakan dari sikap kita terhasil dari kelaziman dan ianya merupakan tabiat. Jika kita berhajat melakukan sesuatu dengan baik, ianya akan datang secara automatik. Jika kita terpaksa berfikir untuk melakukan sesuatu   yang betul kita tentu tidak akan dapat melakukannya dengan baik. Ini bermaksud kita perlu sering melakukannya serta membentuknya menjadi tabiat kita. Ketika diri ku menuntut ilmu seni mempertahankan diri disuatu masa dahulu, diri ku perhatikan walaupun seseorang penuntut telah mendapat tali pinggang hitam, mereka masih berlatih teknik menumbuk, menahan, kemahiran-kemahiran asas, kerana jika mereka perlu menggunakan kemahiran-kemahiran ini, ianya harus datang secara semulajadi.


"TABIAT YANG BAIK SUSAH DIPUPUK NAMUN SENANG UNTUK DITERIMA, MANAKALA TABIAT YANG BURUK PULA SENANG DIPUPUK AKAN TETAPI SUKAR UNTUK DIJADIKAN AMALAN KEHIDUPAN"

Perubahan terjadi setiap masa. Oleh sebab itu, kita perlu berubah secara berterusan, bukan hanya sekali-sekala sahaja. Apabila kita melakukan sesuatu perubahan, maka hal lain juga turut berubah dan begitulah seterusnya. Tidak semua orang mampu melihat perubahan. Ramai daripada kita hanya berupaya melihat realiti tetapi tidak melihat pada masa hadapan. Salah satunya adalah perubahan selalu membawa manusia ke arah kemajuan. Sungguhpun biasanya ini adalah benar, tetapi manusia sering lupa, perjalanannya susah dan menyakitkan. Apabila dunia terus berubah tetapi pendidikannya masih berada pada takuk lama, ia membawa akibat buruk pada kemajuan sebuah bangsa dan negara. Itulah sebabnya perubahan perlu berlaku dalam semua bidang agar selari dengan kemajuan zaman. Yakinlah, bahawa setiap kali kita melangkah menuju zon yang mencabar, maka setiap kali itu jugalah ketakutan-ketakutan baru akan menjelma. Tidak mengapa, terimalah ketakutan-ketakutan baru yang dilingkungan zon yang mencabar daripada terus menghadapi ketakutan-ketakutan lama dalam zon yang selesa. Apalah ertinya menjadi seumpama jaguh kampung yang hanya mampu menang dalam gelanggang sendiri dan menghadapi lawan yang sama, dibandingkan dengan jaguh sebenar yang menghadapi pelbagai lawan di pelbagai gelanggang. Tegasnya, terimalah ketakutan sebagai harga untuk setiap peningkatan yang dibuat.


"IMPIAN SEHARUSNYA BESAR UNTUK MENAKLUKI RASA TAKUT. SEKIRANYA KITA ADA KEINGINAN TETAPI KEINGINAN ITU TIDAK CUKUP KUAT UNTUK MEMADAMKAN RASA TAKUT, ITU SEBENARNYA BUKAN KEINGINAN. ITU MERUPAKAN HANYA SEKADAR ANGAN-ANGAN"

Impian yang menyala-nyala akan memadamkan ketakutan dalam diri kita. Impian mesti besar untuk menakluki rasa takut. Sekiranya kita ada keinginan tetapi keinginan itu tidak cukup kuat untuk memadamkan rasa takut, itu sebenarnya bukan keinginan. Itu hanya angan-angan. Sebaiknya, tukarkanlah rasa takut itu untuk menjadikannya satu keinginan yang menyala-nyala. Ketakutan untuk gagal menjadi keinginan untuk berjaya. Ketakutan menjadi miskin, mendorong keinginan menjadi kaya. Ketakutan menghadapi mati, membuatkan kita berhati-hati dalam menjalani perjalanan kehidupan. Impian umpama layang-layang, manakala rasa takut pula ibarat angin. Layang-layang hanya terbang sekiranya dilayangkan melawan angin bukannya mengikut angin. Oleh demikian sekiranya ada rasa takut dalam hidup, itu sebenarnya adalah baik, kerana ketakutan itulah yang akan menyalakan impian kita.  Orang-orang yang berjaya merupakan mereka yang sentiasa mengawal tindakan-tindakan dirinya dalam hidup ini, bukannya orang lain yang cuba mengawal tindakan-tindakan mereka. Selalu ingatkan diri kita bahawa kejayaan bukan bergantung kepada apa yang berlaku ke atas kita, tetapi apa yang kita lakukan terhadap perkara yang telah berlaku itu, dengan upaya daripada apa yang kita lakukan dalam diri kita.

Sampai disini dahulu nukilan diri ku buat kali ini, moga sedikit sebanyak perkongsian dalam nukilan pada kali ini dapat memberi manfaat kepada warga pembaca di ruangan ini. Sama-sama kita renungkan, yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang kurang itu pula dari diri ku insan yang kerdil ini. Sekadar berkongsi dengan niat mudah-mudahan boleh mendatangkan manfaat kepada yang merasakannya. Insya Allah........Sekian dahulu.........
Wasallam..........

Saturday, 29 October 2011

MEE REBUS RAMLI BAIK PUNYA........

          

         Ipoh merupakan tempat dimana diriku dilahirkan dan merupakan kampung halaman ku. Ramai saudara mara ku yang menetap di Ipoh dan ini secara tidak langsung memudahkan diri ku apabila setiap kali diri ini berpeluang untuk pulang ke Ipoh. Ipoh kini merupakan sebuah bandaraya yang pesat membangun, kelihatan disana-sini deretan rumah kedai baru dan banggunan-banggunan pejabat baru, sedang giat dibangunkan serta pembanggunan perumahan baru juga begitu. Kini hartanah di Ipoh juga begitu ketara dari segi peningkatan harganya. Masyarakat di Ipoh juga persis seperti masyarakat bandar Kuala Lumpur. Mereka semua juga hidup didalam arus pembanggunan dan turut menerima hakikat peningkatan kos sara hidup seperti masyarakat di bandaraya Kuala Lumpur. Namun demikian di Ipoh masih jelas kelihatan budaya dan suasana kampung tetap ujud kerana hanya di kawasan bandar sahaja yang pesat membangun, manakala di kawasan kampung tradisi dan budaya itu masih kekal. Cuma agak kurang kelihatan kelibat orang muda, kerana anak-anak muda hari ini lebih senang merantau dan bekerja di bandar-bandar utama di malaysia.


Kali ini diri ku pulang ke kampung halaman atas urusan peribadi bersama pihak Felcra Kawasan Kampung Jasa, Sungai Siput Perak. Masa yang diri ku peruntukkan sangat pendek kerana kesibukan tugas. Namun diri ku sampai pada malam sebelum dan sempat menjenguk dua keluarga ibu saudara ku di Tasek dan sebelum pulang juga berkesempatan untuk singgah sebentar dirumah bapa saudara ku di Chemor. Setelah selesai segala urusan dengan pihak Felcra pada hari ini, jam di tangan ku telah menunjukkan 3.30 petang sewaktu kaki ku melangkah keluar dari rumah bapa saudara ku. Diri ku telah mengambil keputusan untuk singgah sebentar di Tasek, iaitu dimana terletaknya sebuah restoran yang cukup terkenal bagi masyarakat di Ipoh khususnya, kerana keenakan "Mee Rebus"nya, iaitu "Restoran Mee Rebus Ramli". Sememangnya restoran ini sangat popular dan menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan juga penggemar setia "Mee Rebus Ramli" yang sememangnya enak ini. Tak kurang juga ramai pengunjung dari luar yang telah mengetahui keenakan "Mee Rebus Ramli" ini akan singgah sebentar sekiranya mereka melewati jalan Tasek di Ipoh ini. Bagi diri ku pula sememangnya menjadi kemestian untuk singgah dan makan "Mee Rebus Ramli" ini pada setiap kali pulang ke Ipoh, sekiranya  tidak mempunyai kekangan masa. Alhamdullilah kepulangan ku pada kali ini, diri ku berkesempatan untuk singgah sebentar bagi menikmati "Mee Rebus Ramli" yang semestinya menjadi kegemaran ku.


Apakah yang membuatkan "Mee Rebus Ramli" ini begitu terkenal?, khususnya bagi masyarakat tempatan di sekitar Ipoh. Bagi diri ku yang sudah sekian lama menjadi pelanggan setia mengunjungi restoran ini, tidak lain dan tidak bukan adalah keunikan dan keenakan rasanya. "Mee Rebus Ramli" ini sememangnya enak dan memiliki keunikan rasanya yang tersendiri. Sukar untuk diri ku gambarkan bagaimanakah rasanya yang ku maksudkan itu. Tapi apa yang pasti bagi penggemar "Mee Rebus" khususnya, sekiranya berpeluang atau ada mengunjungi Ipoh di suatu masa kelak, anda patut singgah ke restoran ini dan mencuba sendiri keenakan "Mee Rebus Ramli" ini, diri ku pasti anda tidak akan kecewa. Harga untuk semangkuk "Mee Rebus Ramli" ini adalah RM3.90, agak berpatutan dengan konsep dan servis yang disediakan oleh restoran ini. Sebuah restoran yang kemas dan bersih, manakala pekerja di restoran ini lengkap beruniform. Di restoran ini juga turut menyediakan menu lain seperti nasi ayam dan western food bagi memberi keselesaan pelanggan yang ingin turut menikmati hidangan lain. Pelbagai jenis minuman, dari yang panas sehingga sejuk turut disediakan. Namun demikian daripada pemerhatian diri ku, kebanyakan pengunjung yang datang kesini "Mee Rebus Ramli" merupakan pilihan utama. Sudah semestinya menu utama yang menjadi daya tarikan di restoran ini adalah pilihan utama kepada kebanyakan pelanggan yang mengunjungi restoran ini.


Dimanakah lokasi restoran "Mee Rebus Ramli" ini? Sekiranya anda memandu di lebuhraya utara selatan, gunakan exit plaza tol ke arah Ipoh. Keluar dari plaza tol Ipoh, sampai di lampu isyarat pertama belok ke kanan dan pandu terus sehingga ke akhir jalan utama Tasek, anda akan sampai di sebuah persimpangan tiga yang berlampu isyarat. Belok ke kanan menghala ke jalan Kuala Kangsar, selepas anda belok ke kanan, perlahankan kenderaan, anda akan bertemu dengan satu lampu isyarat lagi. Selepas lampu isyarat berikut belok ke kanan, anda akan melihat deretan rumah kedai dua tingkat, tentu anda akan nampak jelas signboard "Restoran Mee Rebus Ramli", ianya bersebelahan dengan petronas, kfc dan pizza, terletak dalam kawasan Tasek, Ipoh Perak. Untuk memudahkan pencarian kepada warga pembaca yang ingin mencuba, alamatnya seperti berikut;
Terdapat juga dua cawangan yang terletak dikawasan lain di Ipoh.

RESTORAN MEE REBUS RAMLI
No. 767, Taman Tasek Jaya,
Jalan Kuala Kangsar,
31400 Ipoh, Perak.
Tel: 05-547 2026

Cawangan;
No. 28, Jalan Raja Ekram,
30450 Ipoh, Perak.
Tel: 05-243 7203

Cawangan;
No. 116A, Persiaran Perpaduan Utara 1,
Taman Bercham Raya, 31150 Ulu Kinta,
Ipoh, Perak.


Diri ku berharap dengan perkongsian lengkap ini, warga pembaca yang ingin mencubanya sendiri bolehlah berbuat demikian sekiranya berpeluang berkunjung ke Ipoh kelak. Nak tahu benar atau tidak seperti apa yang diri ku ceritakan, cuba sendiri dan nilaikan. Belum cuba belum tahu, "Mee Rebus Ramli", baik punya. Beginilah kehidupan kita selaku rakyat malaysia, sungguh bertuah hidup didalam sebuah negara yang aman dan sejahtera. Bebas bergerak kesana kemari, juga mempunyai pelbagai jenis makanan yang enak-enak, terdapat dimerata tempat dalam negara ini. Tiap-tiap negeri pasti ada mempunyai daya tarikan yang tersendiri,  baik dari jenis-jenis makanan, adat resam dan juga budaya. Jika hendak diceritakan tentang negeri Perak ini sebenarnya ada banyak lagi perkara-perkara yang menarik. Namun untuk kali ini diri ku fokus kepada penceritaan ini sahaja, demi membantu warga pembaca mendapatkan sedikit maklumat, khususnya berkaitan "Mee Rebus Ramli" ini. Mudah-mudahan dengan nukilan ini dapat juga rakan-rakan yang lain berpeluang menikmatinya jika berpeluang untuk berkunjung ke Ipoh kelak.


Daripada pengamatan diri ku, perkara yang menarik perhatian diri ku terhadap pengusaha perniagaan ini, sehingga begitu berjaya dan terkenal hanya kerana resepinya yang enak dan berkesan. Dengan memiliki resepi yang baik, disertakan dengan tindakan serta usaha yang gigih untuk terus membangunkan perniagaan, kini "Mee Rebus Ramli" boleh berbangga dengan kejayaan yang dimiliki. Telah memiliki tiga buah rangkaian restoran dan sekali gus meletakkan namanya dalam senarai pengusaha restoran yang berjaya di Ipoh khususnya. Begitulah hebatnya pengusaha ini, dengan "Mee Rebus" telah meletakkan diri dan keluarga beliau dalam satu standard yang hebat sebagai usahawan berjaya. Tahniah & Syabas kepada pengusaha dan keluarga ini. Restoran "Mee Rebus Ramli" sebuah perusahaan keluarga melayu yang begitu terkenal di Ipoh semenjak sekian lama. Ianya sebuah perniagaan yang telah diusahakan oleh dua generasi mengikut penceritaan saudara mara ku yang tinggal di Ipoh. Begitulah kekuatan sebuah perniagaan, hanya dengan resepi istimewa ini, telah berjaya mengangkat nama perniagaan ini sehingga menjadi satu nama yang terus meniti dibibir masyarakat malaysia pada hari ini, "Mee Rebus Ramli" baik punya. Bertuah sungguh nama "Ramli" ini, jika di Kuala Lumpur "Burger Ramli" siapa yang tidak kenal, hampir satu malaysia mengenalinya. Di Ipoh pula "Mee Rebus Ramli", begitulah uniknya nama "Ramli" ini, kalau seniman pula tidak lapuk ditelan zaman, Allahyarham Tan Sri "P.Ramli". Memang hebat nama ini bukan? Kata orang apa ada pada nama? Namun demikian adakalanya nama ini juga mampu membawa tuah pada seseorang, selain dari bakat serta daya usaha yang ada pada diri mereka.


"USAHAWAN MERUPAKAN INDIVIDU YANG MEMOBILASIKAN MODAL, MENGGUNA PAKAI SUMBER ASLI, MENGUJUDKAN PELUANG PASARAN SERTA MENJALANKAN PERNIAGAAN. IA MENGGABUNGKAN SIFAT MANUSIA YANG MAHU MAJU, BERKETERAMPILAN, MEMPUNYAI BAKAT SERTA KEBOLEHAN LUAR BIASA, SERTA MEMILIKI DORONGAN UNTUK MENTERJEMAHKAN SUMBER DAN PELUANG KEPADA AKTIVITI YANG MEMBAWA KEPADA KEUNTUNGAN."

                            "MEE REBUS RAMLI......BAIK PUNYA........"

Moga nukilan buat kali ini dapat memberi panduan kepada warga pembaca membuat carian sekiranya berminat untuk mencuba, serta memberi sumber inspirasi kepada sesiapa yang mempunyai resipi istimewa untuk berusaha memajukan resepi kalian, siapa tahu suatu hari nanti ada warga pembaca pula mengikuti jejak usahawan "Mee Rebus" ini. Siapa sangka dengan "Mee Rebus" pun mampu meraih kekayaan kerana berjaya menawan hati pelanggan untuk datang semula serta setiap yang merasakan keenakannya telah membuat iklan percuma kepada perusahaan ini, lantas meletakkan insan ini sebagai usahawan yang popular dan berjaya. Selamat mencuba dan salam sayang dari ku kepada warga pembaca sekalian, serta terima kasih kepada pembaca setia ruangan blog ku ini. Sekian untuk kali ini.
Wasallam...........


Thursday, 27 October 2011

PERHUBUNGAN BERLANDASKAN KEPERCAYAAN MEMBENTUK KESEJAHTERAAN......


                Sesekali berpeluang bertemu dengan teman-teman lama, yang pernah berkhidmat dibawah satu bumbung, tentu peluang sebegini tidak boleh dilepaskan. Buat diri ku saat begini tidak akan berulang lagi dan sekiranya ia berulang sekalipun tentu suasananya akan berbeza. Oleh yang demikian diri ku melapangkan juga masa untuk menghadiri majlis tersebut pada malam ini setelah mendapat jemputan seminggu yang lalu dari teman lama ku yang menjadi pembantu penganjur kepada majlis malam ini, yang dinamakan "Re-union Dinner ExAlcom", iaitu merupakan majlis makan malam dan pertemuan teman-teman yang pernah sama-sama berkhidmat di satu tempat yang sama pada suatu masa dahulu. Sungguh lama tidak berjumpa, sesekali berjumpa dalam satu majlis makan malam sebegini amat menyentuh hati dan perasaan. Begitulah kita sesama manusia, bila dekat rasa sayang, rasa nak marah, rasa itu, rasa ini dan bermacam-macam rasa. Namun apabila tidak bertemu sekian lama ada ketikanya, fikiran teringat kisah silam dan hati tertanya-tanya, apakah agaknya khabar si anu sekarang ya, sihatkah atau bertambah berjayakah, dimanakah agaknya dia sekarang dan apakah agaknya pekerjaan yang dilakukan? Setiap orang tentu pernah merasakan perasaan sebeginikan?, inilah yang dinamakan insan, mempunyai akal, hati dan perasaan. Memang tidak dapat dinafikan majlis sebegini seharusnya diadakan sekali sekala supaya yang jauh dapat didekatkan, yang dekat dapat dirapatkan dan bertanya khabar diantara satu sama lain. Walaupun majlisnya agak ringkas dan masa yang diperuntukkan tidak panjang dan tidak berkesempatan untuk berbual dengan semua orang yang hadir, namun hati berasa puas apabila melihatkan suasana riang gembira dan jelas terpancar senyuman di wajah masing-masing tanda bersyukur dapat melihat dan bertemu semula diantara satu sama lain.



Pada malam yang bertuah ini diri ku tidak melepaskan peluang bertanya khabar kepada teman-teman lama yang berkesempatan diri ku berbual dalam keadaan yang ringkas dan padat. Ternyata semua yang hadir memberikan reaksi yang sangat positif, walaupun pada ketika kami pernah berkhidmat bersama dahulu dari bahagian yang berbeza. Tiap dari kami melalui pengalaman yang berbeza-beza dalam perhubungan pada ketika itu. Biasalah dalam melakukan pekerjaan ada boss dan ada orang bawahan, tentu suasananya berbeza mengikut peringkat masing-masing. Namun kini ada yang masih terus berkhidmat dalam bidang yang sama dan ramai juga yang telah menukar kerjaya serta tidak kurang juga ada yang telah bersara. Dalam perbualan pada hari yang berbahagia ini, terdapat berbagai cerita. Antaranya ada yang telah meninggal dunia, ada yang semakin berjaya, ada yang dah jadi tauke, ada yang semakin hebat dan ada juga yang semakin mundur. Resam dunia nasib tiap orang itu berbeza-beza mengikut daya usaha dan rezeki masing-masing. Riuh-rendah suasana pada majlis makan malam pada hari ini, maklum sahajalah masing-masing dengan perjalanan hidup masing-masing dan kesibukan masing-masing. Mana mungkin untuk bertemu kerana kini haluan masing-masing telah berbeza. Jika dahulu ketika berkhidmat bersama sudah tentu sering bertemu kerana tempat mencari rezeki sebumbung juga merupakan rumah kedua kepada kami semua warga pekerja yang berkhidmat dalam satu syarikat yang sama. Hubungan tentu kuat dan mesra kerana saban hari sering bertemu. Maka apabila sekian lama tidak bertemu tentu suasana begitu hangat kerana masing-masing berminat untuk mengetahui perkembangan masing-masing. Beginilah resam hidup didunia, manusia saling memerlukan diantara satu sama lain, jika tidak saban hari tentu ada waktu dan ketika keperluan itu akan tetap ada.



"PADA SETIAP JIWA YANG HIDUP ITU MEMPUNYAI FITRAH KEJADIAN HATI YANG SAMA. SEMUA JIWA HIDUP YANG NAMANYA MANUSIA ITU MEMPUNYAI PERASAAN SAYANG WALAUPUN ADA KETIKA LAHIRNYA BENCI"

Perhubungan sesama manusia sangat perlu walau bagaimana hebat pun seseorang itu di dunia ini, kerana setiap perkara yang mahu dilakukan peranan seseorang pasti akan ada. Tiap manusia sering melengkapi diantara satu sesama yang lain dalam banyak perkara. Bayangkan sekiranya ada waktu dan ketika apabila diri anda mengendalikan sesuatu majlis, jika kita tidak mempunyai kawan, tentu majlis akan menjadi suram. Sebab itu kita sering melihat bagi sesiapa yang hidupnya mempunyai ramai kenalan, apabila dirinya mengadakan sesuatu majlis tentu meriah dan riuh-rendah kerana kehadiran tetamu yang ramai. Hidup berkawan ibarat "aur dengan tebing, tentu tidak dapat dipisahkan", begitu juga hidup bermasyarakat, ianya sangat dituntut dalam kehidupan seseorang. Inilah realiti kehidupan, pertemuan sebegini merupakan keinginan untuk terus berjumpa dia antara satu sama lain, atas dasar rasa kasih dan sayang sesama insan ini terus ujud dan utuh. Di malam yang bertuah ini kelihatan ramai yang turut membawa kamera bersama-sama dan tidak melepaskan peluang mengambil gambar sebagai kenang-kenangan terkini dan termasuk diri ku juga sudah pasti melakukan perkara yang sama, kerana sudah menjadi kebiasaan akan membawa kamera kesayangan ku ini kemana sahaja diri ku pergi. Sesekali berpeluang bertemu dengan kawan-kawan lama pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk merakam gambar kenang-kenangan sebagai koleksi peribadi yang terkini. Jelas kelihatan masing-masing telah meningkat usia, jika dahulu rambutnya hitam kini telah ramai yang menjadi putih rambutnya. Jika dahulu tidak berkedut kini ramai yang telah berkedut. Jika dahulu muda dan berusia pertengahan, namun kini ramai yang telah meniti arus usia. Walauapapun, matlamat pada malam ini tercapai dan jelas kelihatan diwajah masing-masing terpancar tanda kepuasan dapat bertemu semula setelah sekian lama terpisah walaupun cuma seketika. Kelihatan ada diantara hadirin yang bertukar-tukar kad nama, mendapatkan nombor talipon di antara satu sama lain dan termasuk diri ku juga berbuat demikian dengan beberapa rakan yang telah lama terputus hubungan.



"MANUSIA TIDAK BOLEH HIDUP BERSENDIRIAN. SETIAP MANUSIA MEMERLUKAN TEMAN BAGI MENJALANI KEHIDUPAN SEHARIAN. ISLAM JUGA MENGGALAKKAN UMATNYA BERSAHABAT DAN BERGAUL MELALUI CARA YANG PALING BAIK"

Akhirnya majlis makan malam pada hari ini sampai ke waktu kemuncak, kelihatan seorang demi seorang meminta diri untuk pulang, kerana masing-masing ada tugasan lain mengikut perjalanan kehidupan masing-masing. Kami bersalaman antara satu sama lain tanda perpisahan dan entah bila akan bertemu kembali, namun kepuasan tercapai jua walaupun hanya seketika dan pasti pertemuan secara individu akan menyusul mengikut keperluan masing-masing kerana kebanyakan dari kami telah bertukar-tukar nombor talipan pada malam ini. Di akhir majlis kami sempat merakam gambar beramai-ramai sebagai satu kenangan abadi untuk dikenang sepanjang hayat kerana malam ini merupakan satu detik sejarah yang pasti akan dikenang oleh setiap yang hadir. Pertemuan yang ringkas dan seketika tetapi mempunyai pengertian yang begitu bermakna kepada setiap yang hadir pada malam ini. Yang lama telah terputus hubungan, titik pertemuan pada malam ini telah menyambungkannya kembali. Begitulah kisah diri ku pada malam ini, malam yang bersejarah dan penuh makna untuk terus dikenang sepanjang hayat. Bukan senang untuk bertemu dengan kebanyakan kenalan lama yang telah lama tidak bertemu, namun malam yang berbahagia ini sedikit sebanyak telah mengubat kerinduan serta membuka lembaran baru dengan tersambungnya kembali hubungan yang kian lama telah terputus. Macamana ramai pun kenalan baru yang hadir dalam kehidupan ini, kenalan dan rakan-rakan lama akan tetap terus dikenang kerana setiap detik dan waktu dalam perjalanan kehidupan, ia mempunyai sejarahnya yang tersendiri untuk terus dikenang.

"PERHUBUNGAN BERLANDASKAN KEPERCAYAAN MEMBENTUK KESEJAHTERAAN"


"JADILAH SEPERTI MATAHARI, CAHAYANYA DAPAT DIRASAKAN DAN DINIKMATI OLEH SEMUA ORANG TAK KIRA DIMANA KITA BERADA"

Manusia dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian, Allah SWT telah menjadikan kita dengan sebaik-baik rupa, ketinggian, ukuran, sifat serta bentuk. Baik bentuk muka, pancaindera serta susunan anggota tubuh badan dan sebagainya. Yang membezakan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain merupakan pada akalnya. Jadi kita sebagai manusia harus sentiasa menghargai dan memelihara akal yang dikurniakan untuk ke arah kebaikan. Insya Allah...
Sekian buat kali ini perkongsian nukilan diri ku, semoga penceritaan pada kali ini sedikit sebanyak mendatangkan manfaat kepada warga pembaca sekelian........Wasallam.........

Tuesday, 25 October 2011

MEE KARI HAINAN YANG MENAWAN HATI ......


            Diri ku rasa terpanggil sekali lagi untuk terus menukilkan cerita-cerita yang berkaitan makanan dan lokasi-lokasi menarik untuk dikunjungi dalam perihal makanan. Perasaan untuk terus berkongsi pengetahuan dalam perkara berkaitan makanan ini diteruskan atas dasar respon positif yang ku terima melalui nukilan diri ku yang lalu, iaitu bertajuk "Mee Bandung Terbaik di Petaling Jaya". Diri ku sungguh tidak menyangka penceritaan sedemikian rupa begitu mendapat sambutan dari warga pembaca, lantaran itu telah menghasilkan semangat baru kepada diri ku untuk terus berkongsi pengetahuan melalui pengalaman sendiri mahupun yang diperkenalkan oleh kawan-kawan yang lain dalam perkara berkaitan makanan ini. Mudah-mudahan dengan karya-karya sebegini sedikit sebanyak dapat membantu warga pembaca mendapat lebih maklumat dan memudahkan pencarian makanan yang bermutu mengikut kadar kemampuan masing-masing. Makanan merupakan perkara asas utama dalam kehidupan seharian manusia, oleh sebab itu dalam soal makan pasti ramai yang tercari-cari makanan yang sedap dan sesuai dengan harga, agar rasa berbaloi sekiranya terpaksa berbelanja lebih untuk perkara ini. Adakalanya tentu kita pernah rasa kecewa selepas kita mencuba makanan di suatu tempat akan tetapi rasanya tidak setimpal dengan apa yang kita bayar. Pada hari ini, jika di bandar rata-rata memang sukar untuk mendapat makanan yang enak pada kadar harga yang murah. Perkara ini terjadi adalah disebabkan pembanggunan serta sektor makanan mempunyai permintaan yang tinggi. Jadi tidak hairanlah ada di antara para peniaga meletakkan harga yang tinggi kerana permintaannya yang terus meningkat. Pada diri ku, sekiranya harga yang ditawarkan sedikit tinggi, akan tetapi berbaloi dengan apa yang dibayar tidak mengapa, kerana akan terasa berpuas hati. Namun untuk membayar makanan pada harga yang tinggi tidak mungkin selalu pada diri ku, sesekali tidak mengapalah. Bagi yang berkemampuan mungkin tidak menjadi halangan untuk selalu mengunjungi restoran-restoran mewah. Apapun diri kita, kita yang lebih memahami keupayaan dan kemampuan kita. Untuk hidup kita perlu makan dan untuk makan tidak semestinya mahal, kita yang membuat pilihan dan keputusan atas dasar kemampuan diri.



Hari ini diri ku ingin berkongsi satu lagi lokasi yang agak menarik untuk di kunjungi, kepada warga pembaca halaman blog ku ini. Pada hari ini di negara malaysia, telah menjadi satu trend kepada warga masyarakat bandar mengunjungi Coffee House atau Cafe yang lengkap dengan wi-fi serta menyediakan ruangan yang nyaman dan selesa, tak kurang juga ada ruangan yang berhawa dingin di sesetengah cafe sebegini. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini di bandar-bandar besar di malaysia ini, bukan sahaja amat popular dengan "Restoran Mamak 24 jam" di sana-sini, cafe-cafe yang menawarkan keselesaan dengan harga ekonomi juga begitu banyak terdapat di sana-sini. Bak kata pepatah dua kategori restoran ini tumbuh "bagai cendawan lepas hujan" di bandar-bandar besar apatah lagi di lembah klang ini. Masing-masing mempunyai identiti perniagaan yang berbeza, jika di Restoran Mamak lebih terkenal dengan Skrin TV yang besar-besar, dan sering menjadi tumpuan pengunjung berkumpul, apatah lagi jika ada rancangan bola, kita dapat melihat gelagat muda-mudi berkumpul dengan rakan-rakan mereka, sambil makan dan minum turut berkumpul untuk menyaksikan perlawanan bolasepak khususnya di Restoran-restoran Mamak saban malam. Jika di cafe-cafe pula kita boleh melihat ramai muda-mudi atau golongan-golongan peniaga suka mengunjunginya kerana terdapatnya wi-fi percuma disediakan dikebanyakan cafe-cafe yang moden ini. Begitulah perbezaan dua identiti ini selain dari pelbagai jenis makanan yang disediakan oleh perniagaan masing-masing.



Hari ini tentu ramai di antara kita biasa dengar atau ternampak dan tak kurang juga yang pernah mengunjunginya. Cafe yang diri ku maksudkan adalah "Old Town White Coffee". Cafe ini dikendalikan secara sistem perniagaan francise, oleh kerana itu amat mudah untuk kita melihat cafe ini di merata tempat khususnya di lembah klang ini. Ianya sebuah perniagaan seperti KFC dan Mcdonalds, giat dan pesat berkembang, jika ada lokasi baru dan sesuai tentu ada usahawan baru atau lama yang berkemampuan merebut peluang untuk membuka cafe tersebut. "Old Town White Coffee House" merupakan satu jenama restoran yang berkonsepkan cafe moden cukup terkenal kini di malaysia, saban hari meniti di mulut masyarakat bandar khususnya. Cafe ini menyediakan berbagai pilihan makanan dan minuman yang disahkan halal oleh badan agama yang berwajib di malaysia ini. Logo halal tertera dengan jelas di setiap rangkaian cafe ini. Dengan ini pelanggan muslim tidak akan berasa was-was untuk menjamu selera di cafe ini. Terdapat berbagai menu pilihan dari set sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan juga untuk makan malam. Kebanyakan menu makanannya berkonsepkan western dan makanan cina hainan. Jenis minuman pula terdapat dalam banyak pilihan dari panas hingga ke minuman sejuk. Di cafe ini minuman yang paling istimewa adalah "White Coffee" di atas jenamanya sendiri, iaitu "Old Town". Namun awas! kepada yang sukar untuk tidur, diri ku ingin menasihatkan jangan di minum pada waktu malam, kerana ramuan kopinya yang agak keras akan membuat mata sukar untuk dilelapkan jika di minum pada waktu malam.



Kali ini apa yang diri ku ingin kongsikan dengan warga pembaca ruangan blog ku ini merupakan sejenis makanan yang telah menjadi pilihan utama diri ku pada setiap kali berpeluang mengunjungi cafe ini. Makanan yang diri ku maksudkan adalah "Mee Kari Hainan" yang begitu menawan hati ku semenjak kali pertama diri ku mencubanya hingga ke saat ini, dan di sebabkan "Mee Kari Hainan" inilah yang telah membuatkan diri ku ini terpanggil untuk kembali semula ke cafe ini, apabila diri ku berasa teringgin untuk makan mee kari. Apakah yang menariknya tentang "Mee Kari Hainan" ini? Bagi diri ku ini, sebagai seorang penggemar mee, ianya berbeza dari mee kari yang biasa ku makan di tempat lain. "Mee Kari Hainan" yang terdapat di cafe ini mempunyai keenakannya yang tersendiri, rasa kuahnya yang cukup lemak dan tidak begitu pedas serta di tambah dengan perencah-perencah tambahan yang turut dimasukkan bersama ke dalam mee ini, membuatkan diri ku untuk terus setia melanggan "Mee Kari Hainan" ini. Kini boleh dikatakan hampir setiap kali diri ku berpeluang mengunjungi cafe ini, "Mee Kari Hainan" inilah menu yang menjadi pilihan utama diri ku. Harga untuk sepinggan "Mee Kari Hainan" ini adalah RM7.90. Harganya boleh dianggap berpatutan dengan perkhidmatan serta keselesaan yang disediakan di cafe ini. Untuk seorang makan di sini, sepinggan "Mee Kari Hainan" bersama secawan minuman, anggaran perbelanjaan sekali makan untuk seorang, lebih kurang  linkungan RM10 ke RM12 bergantung pada jenis minuman yang dipilih. Di cafe ini wi-fi percuma turut disediakan untuk keselesaan pelanggan yang mengunjungi cafe ini. Sekiranya warga pembaca yang belum pernah mencuba atau ingin merasakannya sendiri, diri ku pasti kalian tidak akan merasa kecewa apabila berpeluang untuk mencubanya sendiri kelak. Selamat mencuba "Mee Kari Hainan" terbaik di "Old Town White Coffee House".



"SETIAP PERNIAGAAN DIMULAKAN MELALUI PELUANG YANG DIKENALPASTI, LALU DIAMBIL KESEMPATAN UNTUK DIMAJUKAN. KEWUJUDAN PELUANG PERNIAGAAN ADALAH UNTUK MENAWARKAN PERKHIDMATAN ATAU BARANGAN DALAM PASARAN TERTENTU, BERGANTUNG KEPADA PERUBAHAN SERTA ARAH ALIRAN DALAM FAKTOR-FAKTOR PERSEKITARAN. PELUANG DALAM PASARAN MERUPAKAN, APABILA MASIH TERDAPAT RUANG SERTA KESEMPATAN UNTUK MENAWARKAN PERKHIDMATAN ATAU BARANGAN YANG MAMPU MEMENUHI KEHENDAK SERTA CITARASA PELANGGAN".



Sampai disini dahulu nukilan diri ku pada kali ini, mudah-mudahan perkongsian dan penceritaan buat kali ini dapat membantu sedikit sebanyak bagi penggemar mee kari mahupun kepada mereka yang tercari-cari makanan yang enak serta berbaloi apabila membuat bayaran selepas menjamu selera. Selamat mencuba kepada yang teringgin untuk merasa keenakannya sendiri serta selamat menambah pengetahuan kepada yang mendapat manfaat hasil daripada nukilan karya ini. SEKIAN........
WASALLAM..............



Monday, 24 October 2011

EKONOMI MERUPAKAN KUASA, PENGARUH TIDAK SEMESTINYA BERKUASA.....


          Dari sudut sejarah beratus tahun dahulu seni mempertahankan diri adalah perkara yang sangat penting kepada seseorang atau kumpulan yang berkuasa. Rata-rata pada zaman dahulu ilmu yang sering dituntut dan di ajar merupakan seni mempertahankan diri. Boleh dikatakan semua bangsa dan kaum mempunyai cara dan ilmu masing-masing dari sudut mempertahankan diri. Pendek kata pada zaman dahulu sehingga kini ilmu seni mempertahankan diri masih diperlukan dan ada orang-orang tertentu masih terus memperjuangkan perkara berkaitan seni mempertahankan diri ini. Cumanya di zaman serba moden ini, cara dan pendekatannya sahaja yang berbeza. Kalau di zaman dahulu kala seni mempertahankan diri diguna pakai dan di praktikan dalam kehidupan seharian untuk menentang musuh dan mempertahankan diri dari pihak lawan. Tapi di zaman ini seni mempertahankan diri lebih bersifat untuk pengetahuan agar boleh dan mampu melindungi diri jika berlaku perkara yang tidak diingini, seperti rompakan atau gangguan. Pada hari ini seni mempertahankan diri lebih di praktikkan sebagai seni yang perlu dipertahankan dan juga menjadi suatu acara sukan untuk pertandingan dan di pertandingkan sehingga ke peringkat antarabangsa. Ianya lebih bersifat seni yang perlu di pertahankan dan seni sukan. Di peringkat sekolah-sekolah kita boleh lihat seni mempertahankan diri termasuk dalam subjek kokorikulam tambahan, ianya bukan wajib dan kesannya ramai pelajar ataupun murid pada hari ini tidak terlibat dengan aktiviti seni mempertahankan diri ini, kerana ianya sebagai pilihan. Hanya para ibubapa yang sedar akan nilai dan betapa pentingnya ilmu ini, yang akan berusaha memastikan anak-anak mereka memiliki kemahiran ini. Hidup di zaman moden dan dalam sebuah negara yang aman perkara ini telah menjadi perkara pilihan dan bukan kemestian lagi. Hari ini ilmu akademik adalah keutamaan kerana kebijaksanaan intelek dan komunikasi adalah keperluan. Maka dalam soal seni mempertahankan diri ini bukan keutamaan lagi, berbanding pada zaman lampau.



Jika dikaji dan direnung dari sudut sejarah setiap bangsa memiliki kekuatan seni mempertahankan diri masing-masing. Nabi Muhammad SAW dan para sahabat juga hebat dalam permainan pedang. Laksamana Hang Tuah dan sahabatnya cukup terkenal dengan ilmu persilatan dalam sejarah kesultanan Melaka pada suatu masa dahulu. Bangsa Cina di zaman dinasty sangat terkenal dengan kung fu dan sebagainya yang berkaitan dengan seni mempertahankan diri, baik dari sudut fizikal, batin dan juga peralatan serta kelengkapan perangnya. Perkara ini sering dapat kita tonton dalam filem-filem aksi Cina. Bangsa Cina juga memiliki nama-nama besar dalam perkara seni mempertahankan diri ini seperti, Bruce Lee, Jet Lee, Jackie Chan dan sebagainya.


Pada suatu waktu di zaman dahulu kala, bangsa Cina merupakan suatu bangsa yang terkenal dengan
peperangan. Kehidupan bangsa Cina pada waktu itu sangat susah dan sukar, kebanyakan mereka hanya golongan petani dan kehidupan yang dilalui sangat susah dan sukar. Mengapa ini terjadi? Ini kerana pada waktu itu maharaja-maharaja Cina sangat mementingkan kuasa. Mereka banyak menghabiskan masa dengan berperang dan berbunuhan di antara satu sama lain, kerana perebutan hak memerintah dan kuasa. Perkara ini berlarutan dalam jangka waktu yang panjang. Sebab itu filem-filem Cina ada banyak yang mengisahkan cerita-cerita peperangan di zaman dinasty. Tentu ramai di antara kita biasa atau pernah menyaksikan filem-filem Cina yang berkisar tentang peperangan bukan? Itulah apa yang terjadi pada suatu masa dahulu kepada bangsa ini. Tetapi perkara berkaitan peperangan, berbunuhan dan perebutan kuasa untuk menakluki wilayah-wilayah tertentu oleh bangsa Cina ini semuanya kini telah menjadi sejarah. Semua ini berlaku disebabkan sampai kepada suatu ketika, ada pemerintah yang mengajak bangsa ini untuk melakukan "Perubahan". Mereka telah penat untuk hidup dalam kemiskinan dan pertumpahan darah bertahun-tahun lamanya, dan jika perkara ini diteruskan kemajuan tidak dapat dibentuk dan rakyat akan terus di himpit kemiskinan dan ketakutan. Maka pada saat itu bangsa Cina telah bangkit dan melakukan perubahan, maka ramai antara mereka telah keluar sebagai para petani miskin, meninggalkan kampung halaman mereka untuk berhijrah ke tempat-tempat lain termasuk ke negara-negara lain. Sebab itu kalau di perhatikan bangsa Cina ini merupakan suatu bangsa yang akan terdapat di kebanyakan negara di dalam dunia, kerana mereka ini dari zaman dahulu kala lagi telah merantau dan berhijrah di seluruh pelusuk dunia. Rata-rata bangsa Cina ini merupakan golongan pedagang. Mereka mempunyai bakat untuk hidup berdikari di kebanyakan tempat mereka tinggal di dunia ini. Mereka ini sangat cenderung dengan aktiviti perniagaan, kerana sudah terdidik dan terbiasa dari zaman dahulu kala lagi.


Di negara kita Malaysia ini sebelum merdeka, menurut sejarah "Yap Ah Loy", satu nama besar berbangsa Cina telah datang ke Kuala Lumpur pada waktu itu dan membuka lombong bijih timah sebagai aktiviti perdagangan keluarga beliau. Dan hari ini siapa tak kenal Kuala Lumpur, hampir satu dunia tahu Kuala Lumpur merupakan pusat bandar utama Malaysia. Mungkin ada di antara kita yang lupa atau tidak tahu bagaimana Kuala Lumpur mendapat namanyakan? Ya! ini sejarah dan ianya kekal sebagai sejarah yang tidak boleh diubah. Apa yang cuba diri ku nukilkan di sini adalah, kita sebagai bangsa melayu juga mempunyai sejarah tersendiri dan ramai hari ini bangsa-bangsa melayu ini juga datangnya dari keturunan pahlawan. Sebab itu kita boleh lihat terdapat ramai tokoh-tokoh pemimpin di malaysia ini yang hebat dan tersohor sehingga berjaya mengankat martabat bangsa melayu, dan pada hari ini bangsa melayu telah menjadi suatu bangsa yang terlalu bijak dan pandai, oleh kerana kepesatan arus pembanggunan perdana dan arus kemodenan. Institusi-intitusi pengajian tinggi pada hari ini rata-rata, anak melayu memenuhinya untuk terus menuntut ilmu akademik. Seni mempertahankan diri juga terdapat ramai tokoh-tokoh hebat yang terus utuh memperjuangkannya seperti   Tan Sri Omardin Mauju, pengasas kepada "Seni Silat Lincah Malaysia". Jika di kaji dari sudut sejarah mengapa bangsa Cina begitu hebat dengan ekonomi dan perniagaan sehingga kini? Jika di China pada hari ini mereka telah berjaya menjadi sebuah negara gergasi dalam bidang industri. Kuasa-kuasa besar dunia juga merasakan begitu hebat persaingan yang telah di cipta oleh bangsa Cina ini, khususnya dari sudut ekonomi dan perniagaan. Mereka juga berjaya menarik pelabur-pelabur luar dan tak kurang juga dari malaysia untuk melabur disana dengan menawarkan tenaga kerja yang murah dan di sebabkan itu mereka berjaya bersaing di pasaran dunia dengan menawarkan harga yang rendah pada kebanyakan barangan keluaran mereka pada hari ini. Negara Cina juga merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat yang paling ramai di dunia pada masa kini. Apakah kehebatan bangsa ini? Apa yang pasti bangsa ini telah lama menghentikan peperangan dan sebaliknya mereka menumpukan pada kuasa ekonomi dan dengan kuasa ekonomi mereka menjadi suatu bangsa yang begitu berjaya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.


"EKONOMI MERUPAKAN KUASA, PENGARUH TIDAK SEMESTINYA BERKUASA"

Pada hari ini kita melihat di dalam negara kita malaysia begitu jelas, bangsa Cina merupakan bangsa yang begitu hebat dari segi ekonomi dan perniagaan, mereka ini telah terdidik oleh nenek moyang mereka untuk berdikari dan berniaga. Faktor ekonomi menjadi tunjang utama kepada bangsa mereka. Jika kita perhatikan di malaysia ini kebanyakan unit-unit kedai, banggunan pejabat dan apa juga perniagaan rata-rata majoriti di miliki bangsa cina. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur ini apatah lagi. Dari kedai pakaian sehinggalah apa jua perniagaan berskala sederhana dan besar di miliki oleh mereka. Bagaimana mereka boleh begitu mampu untuk menakluki setiap ruang banggunan kedai yang dibanggunkan ini? Ini menunjukkan bangsa ini mempunyai satu kaedah ataupun cara untuk saling membantu sesama mereka. Persatuan mereka sangat kuat memperjuangkan ekonomi bangsa mereka. Persatuan mereka sangat cenderong dan mendokong diantara satu sama lain dalam perihal ekonomi. Jika tidak mana mungkin mereka mampu berkuasa dengan begitu cepat, kukuh dan terus berkembang. Kerana mereka sangat faham apa itu kuasa! "Ekonomi merupakan kuasa" dan mereka sangat sedar dengan perkara ini, dan terus berusaha untuk meningkatkannya lagi secara berterusan.



'KUASA DAPAT DIGUNAKAN UNTUK KEBAIKAN SOSIAL ATAUPUN DIGUNAKAN BAGI TUJUAN KEBURUKAN SEPERTI MENINGGIKAN KEDUDUKAN PERIBADI"

Melayu adalah suatu bangsa dan agamanya adalah Islam. Kewujudan bangsa melayu itu merupakan suatu fitrah. Al-Quran memberikan asas bahawa manusia itu dijadikan berbangsa-bangsa (surah al-hujurat ayat 13). Bangsa melayu merupakan salah satu bangsa yang wujud di dunia. Islam adalah ajaran dan agama yang datang dari Allah SWT. Al-Quran di turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada manusia, supaya manusia mendapat petunjuk dan membina takwa. Bangsa melayu pada asalnya menganut fahaman anamisme. Kemudian dikaitkan keyakinan melayu dengan agama Hindu dan Buddha. Melayu yang anamisme, Hindu dan Buddha dibentuk oleh kepercayaan dan cara hidup yang sesuai dengan ajaran agama tersebut. Apabila Agama Islam datang, cara berfikir, tradisi dan budaya yang dibina dan cara beribadah adalah mengikut ajaran Islam. Islam telah mengangkat minda dan intelek orang melayu supaya berfikir selari dengan fitrah akal. Islam bukan sahaja suatu sistem kepercayaan tetapi ianya mengatur kehidupan. Islam dalam sejarahnya di alam melayu telah membangunkan suatu tamadun samada dalam kepimpinan dan kepengikutan mahupun dalam karya-karya yang terhasil serta sistem pendidikan. Bangsa melayu menjadi hebat kerana ajaran Islam yg dikaitkan kepada bangsa melayu.



"ORANG-ORANG YANG MEMILIKI JIWA INSANI YANG TINGGI MERUPAKAN ORANG YANG BERBUDI"

Sebatang pokok tidak akan tumbang semata-mata kerana hentakan mata kapak atau beliung, akan tetapi tumbangnya pokok akibat daripada kayu yang disendalkan dengan beliung yang memberikan hentakan yang teramat berkesan supaya pokok kayu itu tumbang. Beliung atau musuh orang melayu tetap berlagak seperti jerat dan pelanduk. Pelanduk selalu lupakan jerat, akan tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.
Budi dikaitkan dengan akal dan kebijaksanaan. Akal memikirkan sesuatu dan kebijaksanaan merupakan penyuluh yang menerangi perjalanan kehidupan. Akal tanpa fikir menyebabkan perubahan tidak berlaku. Fikir tanpa zikir hilang jiwa keinsanan. Budi memancar resam fikiran dan daya memancarkan amal mulia. Budi dan daya menghasilkan budaya dan ianya merupakan cara hidup.
Moga apa yang diri ku nukilkan pada kali ini, menjadi renungan buat diri ku dan juga sekadar berkongsi dengan warga pembaca sekelian. Yang baik datangnya dari Allah SWT dan yang buruk itu dari diri ku insan yang lemah ini.
Sekian.........Wasallam..............
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...