Assalammualaikum dan salam sejahtera...
Rasanya masih belum terlewat untuk mengucapkan, "Selamat Tahun Baru 2012" untuk warga pembaca sekalian. Diri ku agak sibuk kebelakangan ini dek kerana pada tahun ini diri ini telah diberikan cabaran baru dari sudut pekerjaan yang diusahakan. Rasa rindu kerana agak lama tidak berpeluang untuk menukil diruangan ini, diri ku juga pasti, tentu ada dikalangan warga pembaca dan khususnya pengikut setia yang tertanya-tanya, juga tertunggu-tunggu karya nukilan ku yang terbaru. Sebagai insan biasa pekerjaan harus diberikan keutamaan, kerana menjadi tanggungjawab diri ini para pelanggan harus diberikan keutamaan dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik, kerana ianya merupakan sumber rezeki utama diri ini. Namun sebagai blogger sambilan berhenti menukil tidak sekali, diri ku akan terus menukil walaupun hanya sedikit waktu yang dapat diluangkan. Cabaran diri ini, harus bijak membahagikan masa, kerana menukil merupakan minat yang sedia ada didalam diri ini semenjak sekian lama. Diri ku mendokan kesejahteraan buat warga pembaca sekalian, dan moga-moga nukilan ku pada kali ini, sedikit sebanyak dapat mengubat rindu kalian pada karya nukilan diri ku, serta mudah-mudahan juga nukilan pada kali ini, sedikit sebanyak dapat memberi sedikit input, inspirasi dan maklumat buat warga pembaca sekalian.
"KITA BOLEH MERUBAH DAN MEMBENTUK DIRI KITA DENGAN MERUBAH PEMIKIRAN, SIKAP DAN AMALAN"
"KEINGINAN", begitulah tajuk nukilan diri ku pada kali ini. Keinginan merupakan satu perkara yang subjektif serta sangat luas jika dikupas dan dibincangkan. Tiap orang tentu mempunyai keinginan, serta berbeza-beza mengikut citarasa diri masing-masing. Bagi diri ku cukup sekadar memetik beberapa pandangan serta pendapat berdasarkan pengalaman diri serta pengamatan, selari dari kejadian hari ke hari yang dilalui sehingga ke saat ini. Tiap dari kita semenjak kecil lagi, apabila sudah mula mengerti tentang kehidupan sememangnya telah mempunyai berbagai-bagai bentuk keinginan. Sewaktu kecil, ibubapalah yang banyak berkorban memenuhi keinginan anak-anaknya. Namun apabila telah dewasa dan tamat dari pengajian, dan telah mula berkerja serta berdikari dalam melalui perjalanan kehidupan ini, diri sendirilah yang bertanggungjawab untuk memenuhi keinginan diri.
"PEMBANGUNAN DAN PEMBENTUKAN DIRI HANYA DATANG APABILA KITA MELAKUKAN SESUATU ATAU DIMANA KITA BERUSAHA MELAKUKAN SESUATU YANG SUSAH ATAU BARU"
Keinginan diri jika tidak dikawal ianya boleh menjadi negatif dan merosak kehidupan pada hari-hari mendatang. Manakala keinginan yang mampu dikawal dengan baik serta dipenuhi dalam kadar keupayaan serta kemampuan boleh menjadi positif dari aspek pembangunan diri pada hari-hari yang dilalui serta mendatang. Mengapa diri ku katakan begini? Keinginan berkait rapat dengan nafsu, nafsu pula jika tidak dikawal dengan baik ianya boleh merosak diri serta kehidupan. Oleh yang demikian berusahalah sebaik mungkin untuk mengawalnya agar ianya menjadi positif. Ada seorang teman pernah bertanyakan pada diriku, katanya, bagaimanakah caranya untuk mengawal keinginan diri ini yang ada kalanya sangat sukar dikawal. Tiap bulan sebelum sampai hari gaji pada hujung bulan, saya sering kehabisan wang serta tiada budget lagi, dan yang paling sukar terpaksa meminjam dari kawan lain untuk menampung perbelanjaan pada hari-hari berikutnya sebelum menerima gaji semula, ujarnya kepada diri ku. Begitulah kehidupannya saban hari, saban bulan, malahan telah bertahun-tahun lamanya. Kesian diri ku mendengarnya, namun pada pandangan ku, dengan meminjam berterusan masalah tidak juga selesai dan lambat laun kawan yang sudi memberi pinjaman juga akan berkurangan kerana tiap orang ada masalah masing-masing.
"RAMAI ORANG LEBIH GEMAR MEMBACA DARIPADA BERFIKIR, KERANA IANYA LEBIH MUDAH"
Apa yang dapat diriku katakan pada beliau adalah memberi sedikit kata-kata nasihat serta ransangan dan juga turut mendoakan beliau supaya cepat keluar dari kemelut demikian. Segalanya berpunca dari sikap keinginan serta nafsu keinginan yang sukar dikawal. Tiap bulan dapat gaji bayar hutang dan sering tidak cukup, pendek kata wang gaji hanya transit di akaun sahaja, dapat dilihat seketika serta seterusnya hilang kerana terpaksa menjelaskan tunggakan-tunggakan hutang yang entah bila akan selesainya. Bagi diri ku, kita seharusnya hidup didalam pendapatan sendiri dan jangan sekali-kali berani untuk hidup diluar pendapatan sendiri, kerana kelak kita sendiri yang akan menanggung padahnya. Hari ini dalam dunia yang serba pantas kita banyak dikaburi oleh barangan yang ada ketikanya tidak mustahak pada kita, namun nafsu yang sukar dikawal membuatkan kita membelinya juga. Sehingga sanggup menyalah gunakan kredit kard serta berbagai cara pinjaman kredit yang lain asal sahaja keinginan diri dapat dipenuhi. Apa perlunya kita berhabis, jika sebenarnya kita menyiksa diri. Belajarlah untuk hidup dalam pendapatan sendiri dan berusahalah untuk melawan nafsu dengan budaya ikut-ikutan yang hanya akan menyiksa diri. Berjimat cermatlah, kerana orang yang bijak sentiasa berusaha untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% pendapatan bulanannya setiap bulan. Dan orang yang berjimat cermat juga mempunyai keinginan, namun golongan ini, hanya akan memenuhi keinginan mereka apabila sampai pada waktunya dan terlebih dahulu berusaha menyediakan budget serta bijak merancang juga mengawal keinginan mereka. Bersabar itu lebih baik, kerana orang yang bersabar serta sentiasa gigih dalam berusaha, biasanya mendapat apa yang mereka inginkan, cumanya sedikit lambat. Apa salahnya sedikit lambat daripada hidup menanggung hutang yang seolah-olah tiada penghujungnya.
"HENDAK MENYEGERAKAN PEMBANGUNAN DAN PEMBENTUKAN DIRI? BUANG YANG REMEH. LUANGKAN MASA DAN USAHA KEPADA PERKARA PENTING SAHAJA"
Dalam soal keinginan diri ini, tiada siapa yang dapat menghalang dan mengawal diri kita. Namun demikian diri kita, kitalah yang bertanggungjawab keatas setiap tindakan yang kita lakukan. Ada baiknya apabila ujudnya sesuatu keinginan pada diri, buat perancangan terlebih dahulu. Rancanglah dengan bijak, bagaimana serta bila untuk memilikinya serta buatlah kajian samaada kita benar-benar memerlukan apa yang kita inginkan itu atau sekadar untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk. Apalah gunanya nampak bergaya, namun pada hakikatnya hidup terseksa dan menyiksa diri. Kebiasannya mereka yang mempunyai hutang lebih dari kemampuan untuk membayar balik kehidupannya kurang tenteram dan sering tertekan. Tak kurang juga prestasi kerja menurun dan motivasi diri tidak konsisten. Perkara ini juga boleh mengundang bahaya kepada mereka yang berkerjaya, kerana apabila prestasi kerja anda menurun berkemungkinan majikan anda tidak menketogerikan anda sebagai pekerja yang boleh diharap. Bagaimana mungkin anda menyelesaikan masalah dengan baik dalam pekerjaan harian anda, sedangkan masalah diri anda sendiri tidak pernah selesai. Fikir-fikirkan, kebanyakan masalah yang datang dalam kehidupan kita adalah ciptaan kita sendiri dan kita sendirilah yang bertanggungjawab menyelesaikannya. Kita mulakan dan kita jugalah yang sepatutnya sudahkan. Ini juga mungkin menjadi penyebab mengapa kita lama berkhidmat dengan syarikat tempat kita bekerja, namun kita kekal disitu. "Hidup tanpa masalah, ibarat kehidupan yang telah mati, hidup memerlukan masalah untuk membuat kehidupan kita menjadi bermakna serta bererti". Namun kehidupan seseorang yang mempunyai masalah terlampau banyak serta berlebih-lebihan, mungkin mengundang padah pada diri. Sebab itu kita lihat banyak orang terjebak dengan perkara yang salah kerana mereka tidak dapat menyelesaikan masalah mereka dan sangat malang pula, jika terlibat dengan gejala yang negetif seperti terjebak dengan pengambilan dadah dan sebagainya, yang kononnya dapat menyelesaikan masalah seketika, padahal masalah tidak selesai dan menjejaskan kesihatan diri pula. Pelbagai jenis penyakit juga mudah hinggap kepada golongan sebegini. Bagi yang menghadapinya, berusahalah untuk pulih dan keluar dari kemelut itu, rujuklah pada yang pakar jika perlu. Jangan malu untuk bertanya dan berusaha jika anda ingin berubah, kerana tiap masalah ada penyelesaiannya, apa yang penting berusaha dengan bersungguh-sungguh, jangan hangat-hangat tahi ayam. Bagi yang tidak terlibat dengan permasalahan sebegini syukur alhamdullilah dan berusahalah untuk terus maju dan berjaya dengan keinginan yang positif. Keinginan yang positif membawa kepada kejayaan dan kesejahteraan, dan manakala keinginan yang negatif membawa mudarat serta padah kepada yang gagal mengawalnya.
"HIDUP TANPA MASALAH, IBARAT KEHIDUPAN YANG TELAH MATI, HIDUP MEMERLUKAN MASALAH UNTUK MEMBUAT KEHIDUPAN KITA MENJADI BERMAKNA SERTA BERERTI"
Moga-moga nukilan pada kali ini sedikit sebanyak dapat memberi sedikit maklumat serta inspirasi kepada yang dapat merasakannya. Diri ini memohon ampun dan maaf kerana tidak berniat untuk meyakiti sesiapa, nukilan ini hanya sekadar berkongsi rasa hati, serta berkongsi pengalaman hasil daripada banyak pergaulan dan pengalaman dalam perjalanan hidup ini.
Sekian untuk kali ini. Wassalam..........
No comments:
Post a Comment