Menelusuri lebuhraya GUTHRIE dari arah Shah Alam dan seterusnya melalui lebuhraya LATAR yang masih baru ke arah Kuala Selangor, kini perjalanan menjadi semakin cepat dan mudah bagi sesiapa yang mempunyai urusan di Kuala Selangor, kini tidak perlu lagi melalui jalan lama sekiranya mahu menjimatkan masa serta memandu dengan lebih selesa. Jika dahulu memandu ke Kuala Selangor dari arah Shah Alam mengambil masa lebih kurang Satu jam setengah perjalanan, namun kini dengan adanya jaringan lebuhraya Guthrie dan LATAR perjalanan hanya mengambil masa sekitar empat puluh lima minit atau tiga puluh minit sahaja. Begitulah pesatnya pembanggunan, sebagai pengguna kita boleh memilih, jalan lama tiada bayaran tol dan mengambil lebih masa pemanduan, manakala lebuhraya pula dikenakan bayaran tol tetapi dapat menjimatkan masa kepada mereka yang mementingkan penjimatan masa atas urusan perniagaan dan sebagainya.
"PERBUATAN YANG DILAKSANAKAN DENGAN IKHLAS SERTA TANPA PAKSAAN LEBIH MEMBERI KESAN DARIPADA DILAKSANAKAN ATAS KEMAHUAN ORANG LAIN. INDIVIDU YANG BERJAYA MERUPAKAN INDIVIDU YANG BERUBAH KERANA KESEDARAN DIRI SENDIRI DAN BUKANNYA BERUBAH SEBAB TAKUTKAN ORANG LAIN"
Apa yang diri ku ingin nukilkan pada kali ini bukanlah mengenai kehebatan lebuhraya yang terdapat di negara Malaysia ini, tetapi terdapat sebuah keunikan cerita dalam perjalanan diri ku ke Kuala Selangor pada baru-baru ini dengan tujuan untuk pergi memancing di Pantai Remis. Dua minggu yang lalu diri ku ke Kuala Selangor melalui lebuhraya Guthrie dari arah Shah Alam dan seterusnya masuk ke lebuhraya LATAR sehinggalah ke plaza tol Exit IJOK dan kembali melalui sedikit jalan lama untuk ke Kuala Selangor. Tidak berapa jauh dari Plaza Tol IJOK iaitu exit tol yang terakhir menuju ke Kuala Selangor, meneruskan perjalanan melalui jalan lama tiba-tiba!!!, terpandang akan diri ku sebuah gerai yang unik, dikelilingi dengan begitu banyak bendera dan bunting serta baner berwarna warni. Kelihatan dari jauh disebelah kanan jalan deretan kereta berhenti, pada awalnya diri ku sangkakan ada majlis kenduri kahwin, namun apabila diri ku semakin menghampiri gerai tersebut dengan jelas terdapat tulisan yang berbunyi "CENDOL BAKAR", pelik tetapi benar. Diri ku merasa teruja untuk singgah di gerai tersebut untuk melihat sendiri apakah keunikan "CENDOL BAKAR" ini. Maka diri ku membuat keputusan untuk singgah sebentar ke gerai tersebut kerana tarikan yang begitu menarik perhatian. Agak sukar juga untuk meletakkan kenderaan kerana agak banyak dan ramai pemandu yang singgah di gerai tersebut, mungkin kerana tarikan serta berminat untuk mengetahui apakah keunikan yang dimaksudkan dengan "CENDOL BAKAR" digerai ini sama seperti diri ku juga.
"SESEORANG ADA BERKATA; SEMUA KEMAHIRAN ADALAH SUKAR SEBELUM MEREKA SENANG. UNTUK MENJADI MAHIR DALAM SESUATU KITA PERLU MENJADI HAMBANYA TERLEBIH DAHULU"
Bagi diri ku inilah pertama kali berpeluang untuk melihat sendiri pembuatan dan menikmati "CENDOL BAKAR", seumur hidupku sememangnya belum pernah lagi menikmati "CENDOL BAKAR". Setelah tiba di gerai tersebut diri ku terpaksa beratur panjang kerana sistem layan diri sahaja yang terdapat di gerai ini. Anak mata ku memerhatikan keadaan sekeliling gerai tersebut, sementara di fikiranku tertanya-tanya, dimana dan bagaimanakah rupanya "CENDOL BAKAR" ini?, yang begitu unik sekali seperti yang diiklankan di sekeliling gerainya itu. Namun begitu diri ku tidak juga dapat melihat apa yang bermain-main dalam fikiranku yang begitu berminat sekali untuk mengetahuinya, apakah yang dimaksudkan oleh pengusaha gerai tersebut. Digerai tersebut terpampang jelas menu cendol yang dijual disitu. Ada lebih kurang lapan jenis pilihan cendol yang dijual dan terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih cendol mana yang diinginkan sebagai pesanan di gerai tersebut. Akhirnya setelah beratur agak lama tibalah giliran ku untuk membuat pesanan. Diri ku membuat pesanan "CENDOL BAKAR VIP" yang berharga RM2 semangkuk. Maka proses membuat cendol yang ku pesan dijalankan, namun demikian tiada apa yang terbakar. Sewaktu diri ku sedang menjamu selere dengan "CENDOL BAKAR" ini, sempat diri ku perhatikan sekeliling gerai tersebut. Terdapat juga papan tanda yang jelas tertulis, warga emas dan orang kurang upaya boleh menikmati "CENDOL BAKAR" secara percuma di situ dengan syarat menunjukkan kad kenal diri dari JKM sewaktu membuat pesanan. Juga dengan jelas tertulis lagi di papan tanda disitu semua hasil jualan pada hari Jumaat di sedekahkan pada sebuah masjid. Sungguh mulia hati si pengusaha gerai "CENDOL BAKAR" ini, selain dari rasa cendolnya yang enak dan keunikan cara beliau mempromosikan produk beliau.
"JIKA INGIN BERJAYA PEKAKKAN TELINGA DAN BUAT TIDAK TAHU TERHADAP KRITIKAN YANG TIDAK MEMBINA. TEGUHKAN PRINSIP DAN GANDAKAN USAHA. TENTU KITA JUGA AKAN MENJADI SESEORANG SATU HARI NANTI. ANCAMAN LUAR SELALUNYA MEMBUATKAN KITA SEMAKIN KUAT, NAMUN JANGAN BIARKAN BISIKAN HATI YANG NEGATIF TERUS MELUMPUHKAN SEGALA USAHA DAN IMPIAN YANG DI CITA-CITAKAN"
Apa yang diri ku ingin kongsikan dari moral kisah pengusaha "CENDOL BAKAR" ini adalah, cara beliau berfikir dan berjaya menarik perhatian orang ramai untuk singgah sebentar di gerai beliau. Beliau sebenarnya berniaga dengan produk yang juga terdapat di merata tempat, namun beliau berfikir berbeza daripada biasa. Nama yang dimiliki oleh beliau menjadi aset utama dan tuah kepada kejayaan beliau. Ada orang berkata, ada apa pada nama? Namun pada sang pengusaha "CENDOL BAKAR" ini, telah berjaya membuktikan yang nama beliau telah mengangkat dan mengubah diri beliau daripada seorang biasa kepada seorang yang luar biasa. Mengapa diriku katakan begitu? Dari segi logik akal mana ada orang jual "CENDOL BAKAR", kalau ikan bakar adalah atau kerang bakar. Apa yang di jual oleh pengusaha hanyalah minuman cendol yang boleh kita jumpa dimana-mana dan sering terdapat di pingir-pingir jalan. Pengusaha "CENDOL BAKAR" ini sangat bijak menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan itu untuk berhenti dan singgah di gerai beliau dengan hanya menambahkan perkataan "BAKAR" di belakang cendol untuk mengiklankan gerai beliau. Begitulah uniknya seorang insan yang bernama "BAKAR". Nama beliau telah mengubah hidup beliau, hanya dengan menjual cendol tetapi begitu berjaya sekali dan dalam seminggu terdapat satu hari di mana semua hasil jualan di sedekahkan ke masjid. Tahniah! dan Syabas! di ucapkan kepada En.Bakar selaku pengasas kepada gerai "CENDOL BAKAR" ini.
"ORANG YANG TAHU APA YANG DI CITA-CITAKANNYA AKAN MEMULAKAN LANGKAH KE ARAH DESTINASI YANG DITUJU. HALANGAN SEPANJANG PERJALANAN DIANGGAP PEMANGKIN MENUJU CITA-CITA KERANA DIA PERCAYA KEPADA DIRINYA SENDIRI. SEKALI DIA TELAH BERJAYA, RAMAI ORANG AKAN MENCONTOHINYA"
Adakalanya kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari pengalaman atau memiliki modal yang besar untuk mengusahakan sebuah perniagaan sendiri. Tuhan telah mengurniakan akal untuk berfikir dan seterusnya bertindak mengusahakan apa yang difikirkan itu. Pemikiran yang kreatif dan unik seperti En.Bakar pengusaha gerai "CENDOL BAKAR" ini harus di contohi oleh sesiapa yang tercari-cari dan bagaimana, di mana serta apa cara yang boleh untuk bermula berniaga. Seperti En.Bakar, beliau mendirikan sebuah gerai di tepi jalan utama, tanah kampung dan tentu tidak memakan kos yang tinggi, manakala produk jualan beliau pula adalah cendol yang tidak memerlukan modal yang tinggi untuk memulakan perniagaan begini. Kesibukan dan kepesatan perniagaan beliau jelas terbukti apabila di gerai tersebut terdapat beberapa orang pekerja yang lengkap beruniform bertungkus-lumus melayan pelanggan yang tidak putus-putus. Manakala pada hari jumaat, semua hasil jualan di sedekahkan pula pada sebuah masjid. Bukan sahaja mendapat keuntungan dunia malahan keuntungan ganjaran akhirat juga turut dimiliki sang pengusaha. Inilah yang di katakan kebijaksanaan berfikir serta mengunakan segala kelebihan diri yang dikurniakan, termasuk memanfaatkan nama sendiri sebagai Jenama kepada perniagaan beliau, walaupun kecil namun sangat berhasil.
"DALAM PENGALAMAN SAYA MEMBANTU ORANG LAIN MEMBUAT KEPUTUSAN, SAYA TELAH PERHATIKAN BAHAWA BANYAK ORANG BERHENTI MENUMPUKAN PERHATIAN PADA MATLAMAT SEBAIK SAHAJA MEREKA MENEMUI HALANGAN. TUMPUKAN PERHATIAN PADA MATLAMAT, BUKAN HALANGAN. HABISKAN TENAGA EMOSI UNTUK BERGERAK KE ARAH MATLAMAT"
Diri ku amat berharap semoga nukilan pada kali ini sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada warga pembaca. Semoga cerita ini dan motivasinya boleh memberi insan lain cetusan semangat untuk terus menjana ilham-ilham baru yang kreatif lantaran ilham tersebut boleh mengubah masa depan seseorang daripada biasa kepada luar biasa. Sebelum mengakihiri nukilan ku pada kali ini, ingin diri ku memetik kata-kata seseorang; Bukti usaha tetap perlu dilakukan kerana hidup bukan satu perhitungan bagi menentukan siapa kalah atau menang. Hidup juga bukan satu perjudian hanya sekadar menunggu dan menanti apa pula yang akan terjadi. Sebaliknya hidup adalah satu perjuangan. Anda boleh mengalah tapi anda tidak boleh menyerah kalah. Semoga ketemu lagi di lain waktu dan sama-samalah kita manfaatkan motivasi yang ada melalui kisah "CENDOL BAKAR" ini.
Sekian........Wasalam......
Bang,mancing kat mana P.Remis?Saya selalu layan kelong kat Setiawan
ReplyDeletePantai Remis sekali skala je, kat jeti penambang Kuala Selangor best, kalau air pasang memang menjadi. Mungkin satu hari kita boleh pegi mancing skali, sapa tahukan?
ReplyDeleteKURSUS BUAT CENDOL www.cendol.biz
ReplyDelete