Sunday, 29 January 2012

NASI KUKUS AYAM PAKA........

"PERJALANAN UNTUK MENJADI YANG TERBAIK BUKAN MUDAH. IANYA PENUH DENGAN RINTANGAN. IANYA MUNGKIN DEKAT BILA IA KELIHATAN SANGAT JAUH. OLEH ITU KEKAL PADA PERJUANGAN BILA ANDA DIPUKUL HEBAT. APABILA KEADAAN KELIHATAN SEMAKIN BURUK PADA MASA ITULAH ANDA TIDAK SEHARUSNYA BERHENTI"

Assalammualaikum dan salam sejahtera,
Sempena cuti panjang tahun baru cina baru-baru ini, diri ku berkesempatan berkunjung ke Kuala Terengganu untuk bercuti serta berehat seketika sambil menyaksikan keindahan lokasi-lokasi menarik di Terengganu. Diri ku melalui perjalanan yang panjang pada hari berangkat. Seawal pagi hari minggu yang lepas diri ku memecut kenderaan yang di pandu melewati highway karak dan seterusnya masuk ke lebuhraya pantai timur sehinggalah ke exit cherating Kuantan, dan seterusnya melalui jalan perseketuan melewati pantai peranginan cherating di Kuantan. Meneruskan perjalanan melalui Kemaman Terengganu sehinggalah tiba ke destinasi yang di tuju agak lewat petang iaitu Batu Rakit, Kuala Terengganu. Memang agak panjang perjalanan pada hari tersebut, namun diri ku berasa puas apabila selamat tiba ke destinasi walaupun agak lewat petang. Setelah urusan mendaftar masuk ke tempat menginap dimana diri ku terlebih dahulu telah membuat booking pada dua minggu sebelum, diri ku berehat seketika dibilik untuk merehatkan badan seketika. Pada sebelah malam diri ku ke pusat bandar Kuala Terengganu untuk makan malam sambil melewati laluan di sebuah jambatan di mana jelas kelihatan keindahan Masjid Terapung di atas air, cantik sekali Masjid tersebut diwaktu malam.
"SETIAP KISAH KEJAYAAN TERDAPAT KISAH KEGAGALAN YANG SANGAT BESAR. KERJA KERAS SUATU PERMULAAN DAN PENAMATNYA DENGAN SENDIRINYA. LEBIH KERAS SESEORANG BEKERJA, LEBIH BAIK DIA RASAKAN, LEBIH KUAT DIA BEKERJA. IDEA YANG PALING BAIK TIDAK AKAN BERJAYA MELAINKAN ANDA MENGUSAHAKAN IDEA TERSEBUT. BAKAT YANG HANDAL TANPA KEAZAMAN DAN KERJA KERAS ADALAH SIA-SIA"

Apa yang diri ku ingin kongsikan pada warga pembaca sekalian pada kali ini adalah berkenaan sebuah Restoran yang terletak di Pekan Paka dalam daerah Dungun Terengganu. Jika hendak diceritakan kisah keindahan serta keunikan yang terdapat di negeri Terengganu ini begitu banyak sekali sebenarnya. Pada kali ini diri ku tidak bercadang untuk menukil berkenaan kesemua pengalaman ku sewaktu melawat Terengganu. Apa yang ingin diri ku kongsikan dengan warga pembaca pada kali ini adalah lebih fokus kepada keunikan sebuah restoran yang menyajikan sejenis makanan yang lazat dan enak sewaktu diri ku melewati pekan paka dalam daerah Dungun Terengganu. Dungun juga merupakan tempat atau lokasi pemprosesan minyak Petronas yang terbesar di negeri Terengganu. Di kiri dan kanan jalan jelas kelihatan pusat pemprosesan minyak Petronas yang begitu luas dan sangat besar, pemandangan juga begitu indah sekali sewaktu melewati kawasan pemprosesan minyak Pertronas ini yang terletak di Dungun Terengganu. Setelah melewati kawasan pemprosesan minyak Petronas ini tidak berapa jauh dari situ terletaknya sebuah pekan kecil iaitu pekan paka dan di situlah terletaknya restoran yang diri ku maksudkan iaitu "Restoran Nasi Kukus Ayam Paka", yang di buka 24jam setiap hari.
"RESTORAN NASI KUKUS PAKA, LOT 225, NO. 25, TINGKAT BAWAH, JALAN BESAR PUSAT NIAGA PAKA, KAMPUNG CACAR, 23100 PAKA, DUNGUN, TERENGGANU"

Sebenarnya tiada sesiapa pun, baik kenalan atau rakan-rakan yang mencadangkan pada diri ku berkenaan keenakan makanan yang terdapat di restoran ini. Segalanya terjadi secara kebetulan kerana pada waktu diri ku melewati kawasan Dungun dan asyik dengan pemandangan di sepanjang perjalanan sehinggalah melewati kawasan pemprosesan minyak Petronas, jam ditangan sudah menunjukkan satu tengahari, maka perut pun terasa lapar. Lantas diri ku memerhati di kiri kanan jalan akan kedai-kedai makan yang sesuai untuk diri ku singgah makan tengahari. Tiba-tiba anak mata ku terlihat dengan jelas disebelah kanan jalan sebuah restoran yang agak menarik signboardnya serta nampak suasananya yang meriah kerana kelibat manusia yang agak ramai sedang makan disitu. Hati ku rasa terpanggil untuk mencuba makanan disitu atas sebab signboardnya yang jelas tertulis "Restoran Nasi Kukus Ayam Paka", lantas diri ku memperlahankan kenderaan dan mencari tempat untuk berhenti. Setelah dapat meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai disebelah kiri jalan, diri ku berjalan kaki sedikit untuk melintas kerana restorannya terletak disebelah kanan jalan iaitu arah pulang ke Kuala Lumpur.
"KECEMERLANGAN BUKAN TUAH, IANYA HASIL DARIPADA KERJA KERAS DAN LATIHAN YANG BANYAK. KERJA KERAS DAN LATIHAN MEMBUATKAN SESEORANG LEBIH BAIK DALAM APA SAHAJA DIA LAKUKAN"

Setibanya diri ku di restoran tersebut, terus diri ku membuat tinjauan ke arah dispenser dimana terletaknya tempat penyediaan makanan. Sungguh unik, hanya satu menu makanan berat yang terdapat di restoran tersebut iaitu seperti yang tertulis di singboardnya, "Nasi Kukus Ayam Paka". Ya, inilah keunikan restoran ini yang dibuka 24 jam setiap hari hanya dengan satu menu makanan berat namun mendapat sambutan yang hangat daripada para pelanggan yang mungkin datang dari jauh serta penduduk tempatan. Kelihatan juga satu rombongan bas ekspress tidak pasti dari mana juga beramai-ramai mencuba makanan di restoran ini. Restoran ini terletak di bahagian sudut yang agak luas namun di luar kedai di tambah lagi dua buah Kanopi 20 x 20 kerana di dalam kedai nampak gayanya tidak mampu menampung tempat duduk mungkin kerana restoran ini sangat popular di sini. Setelah dapat tempat duduk, diri ku memesan makanan tersebut iaitu "Nasi Kukus Ayam Paka", satu-satunya menu makanan berat yang terdapat di restoran ini bersama segelas teh ais minuman kegemaran ku. Tidak berapa lama kemudian pesanan yang ku minta pun tiba. Agak unik, makan disitu namun dihidangkan dalam bunkusan kertas minyak yang dibungkus rapi seolah-olah untuk dibawa pergi. Rupa-rupanya inilah konsep hidangan mereka, setiap pesanan akan dibungkus rapi seperti makan nasi bungkus. Apalagi dengan perasaan ingin tahu diri ku membuka bungkusan dan menjamah makanan tersebut. Nasi kukus beralas daun pisang dengan sepotong ayam goreng berempah serta dua potong timun bersama sedikit sambal dan kuah kari pekat yang siap di campur dalam bungkusan kertas minyak tersebut cukup untuk memecahkan air liur sebelum menjamahnya. Apabila diri ku mula menjamahnya, hati kecil ku berkata dan rasa syukur kerana berpeluang untuk singgah menjamu selera makan tengahari ku di restoran ini. Apa yang diriku boleh katakan pada warga pembaca sekalian keenakan "Nasi Kukus Ayam Paka" memang hebat, sehebat nama restorannya. Tidak sia-sia singgah menjamu selera di restoran ini, jika anda berpeluang untuk berkunjung ke Dungun Terengganu, diri ku syorkan singgah dan rasalah sendiri keenakkan rasanya. Harganya cuma RM8.50 untuk seorang makan iaitu sebungkus, memang berbaloi anda membayarnya, pasti tidak menyesal. Untuk pengetahuan warga pembaca sekalian pada perjalanan pulang diri ku juga singgah sekali lagi untuk menjamu selera di restoran ini, kerana entah bila diri ku berpeluang untuk berkunjung lagi, tetapi apa yang pasti jika umur panjang dan berpeluang untuk ke Terengganu lagi pasti diri ku tidak akan melepaskan peluang untuk singgah di restoran ini lagi.
"KEJAYAAN DALAM KEHIDUPAN TIDAK DITENTUKAN DENGAN BAGAIMANA KITA MELAKUKANNYA BERBANDING DENGAN INDIVIDU LAIN, TETAPI DENGAN BAGAIMANA KITA MELAKUKANNYA BERBANDING DENGAN APA YANG KITA MAMPU LAKUKAN. INDIVIDU YANG BERJAYA BERSAING MENENTANG DIRI MEREKA SENDIRI. MEREKA MENGATASI REKOD MEREKA SENDIRI DAN SENTIASA TERUS MEMPERBAIKINYA"

Begitulah serba sedikit perkongsian diri ku dengan warga pembaca sekalian pada kali ini. Mudah-mudahan kepada pengusaha restoran tersebut terus mendapat limpahan rezeki hasil daripada keenakan resepi yang disajikan beliau direstorannya kepada para pelanggan yang mengunjungi. Apalah agaknya rahsia keenakan resepi beliau?, jika warga pembaca sekalian ingin mengetahuinya, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke restoran ini jika ke Terengganu melewati bandar Dungun, singgahlah di pekan paka ini untuk mencubanya sendiri. Bagi diri ku "Nasi Kukus Ayam Paka", memang best di daerah Dungun Terengganu. Tahniah!!! kepada pengusaha restoran dan diri ku mengucapkan selamat maju jaya kepada pengusaha restoran ini. Warga pembaca sekalian, ingat Dungun, ingat pekan paka dan ingatlah disitu terdapatnya "Restoran Nasi Kukus Ayam Paka". Selamat mencuba kepada yang bercadang untuk mencubanya sendiri kelak.
"SELALU FIKIRKAN DARI SEGI MEMBERI TAMBAHAN NILAI SAMA ADA UNTUK PELANGGAN, RAKAN, PASANGAN ANDA, IBU BAPA ATAU ANAK-ANAK. BILA SAHAJA ANDA MELAKUKAN SESUATU, TANYAKAN DIRI ANDA, BAGAIMANA BOLEH SAYA MENAMBAH NILAI KEPADA APA YANG SAYA LAKUKAN? ATAU BAGAIMANA BOLEH SAYA MEMBERI TAMBAHAN NILAI KEPADA YANG LAIN?"

Sekian dahulu nukilan diri ku pada kali ini. Mudah-mudahan perkongsian pengalaman ini, sedikit sebanyak dapat memberi maklumat kepada warga pembaca sekalian, lebih-lebih lagi pada yang gemar jalan-jalan cari makan. Wasalam..................

Wednesday, 25 January 2012

KEINGINAN.....

"HANYA MANUSIA SATU-SATUNYA CIPTAAN TUHAN YANG BOLEH MERUBAH SERTA MEMBENTUK NASIBNYA SENDIRI"

Assalammualaikum dan salam sejahtera...
Rasanya masih belum terlewat untuk mengucapkan, "Selamat Tahun Baru 2012" untuk warga pembaca sekalian. Diri ku agak sibuk kebelakangan ini dek kerana pada tahun ini diri ini telah diberikan cabaran baru dari sudut pekerjaan yang diusahakan. Rasa rindu kerana agak lama tidak berpeluang untuk menukil diruangan ini, diri ku juga pasti, tentu ada dikalangan warga pembaca dan khususnya pengikut setia yang tertanya-tanya, juga tertunggu-tunggu karya nukilan ku yang terbaru. Sebagai insan biasa pekerjaan harus diberikan keutamaan, kerana menjadi tanggungjawab diri ini para pelanggan harus diberikan keutamaan dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik, kerana ianya merupakan sumber rezeki utama diri ini. Namun sebagai blogger sambilan berhenti menukil tidak sekali, diri ku akan terus menukil walaupun hanya sedikit waktu yang dapat diluangkan. Cabaran diri ini, harus bijak membahagikan masa, kerana menukil merupakan minat yang sedia ada didalam diri ini semenjak sekian lama. Diri ku mendokan kesejahteraan buat warga pembaca sekalian, dan moga-moga nukilan ku pada kali ini, sedikit sebanyak dapat mengubat rindu kalian pada karya nukilan diri ku, serta mudah-mudahan juga nukilan pada kali ini, sedikit sebanyak dapat memberi sedikit input, inspirasi dan maklumat buat warga pembaca sekalian.
"KITA BOLEH MERUBAH DAN MEMBENTUK DIRI KITA DENGAN MERUBAH PEMIKIRAN, SIKAP DAN AMALAN"

"KEINGINAN", begitulah tajuk nukilan diri ku pada kali ini. Keinginan merupakan satu perkara yang subjektif serta sangat luas jika dikupas dan dibincangkan. Tiap orang tentu mempunyai keinginan, serta berbeza-beza mengikut citarasa diri masing-masing. Bagi diri ku cukup sekadar memetik beberapa pandangan serta pendapat berdasarkan pengalaman diri serta pengamatan, selari dari kejadian hari ke hari yang dilalui sehingga ke saat ini. Tiap dari kita semenjak kecil lagi, apabila sudah mula mengerti tentang kehidupan sememangnya telah mempunyai berbagai-bagai bentuk keinginan. Sewaktu kecil, ibubapalah yang banyak berkorban memenuhi keinginan anak-anaknya. Namun apabila telah dewasa dan tamat dari pengajian, dan telah mula berkerja serta berdikari dalam melalui perjalanan kehidupan ini, diri sendirilah yang bertanggungjawab untuk memenuhi keinginan diri.
"PEMBANGUNAN DAN PEMBENTUKAN DIRI HANYA DATANG APABILA KITA MELAKUKAN SESUATU ATAU DIMANA KITA BERUSAHA MELAKUKAN SESUATU YANG SUSAH ATAU BARU"

Keinginan diri jika tidak dikawal ianya boleh menjadi negatif dan merosak kehidupan pada hari-hari mendatang. Manakala keinginan yang mampu dikawal dengan baik serta dipenuhi dalam kadar keupayaan serta kemampuan boleh menjadi positif dari aspek pembangunan diri pada hari-hari yang dilalui serta mendatang. Mengapa diri ku katakan begini? Keinginan berkait rapat dengan nafsu, nafsu pula jika tidak dikawal dengan baik ianya boleh merosak diri serta kehidupan. Oleh yang demikian berusahalah sebaik mungkin untuk mengawalnya agar ianya menjadi positif. Ada seorang teman pernah bertanyakan pada diriku, katanya, bagaimanakah caranya untuk mengawal keinginan diri ini yang ada kalanya sangat sukar dikawal. Tiap bulan sebelum sampai hari gaji pada hujung bulan, saya sering kehabisan wang serta tiada budget lagi, dan yang paling sukar terpaksa meminjam dari kawan lain untuk menampung perbelanjaan pada hari-hari berikutnya sebelum menerima gaji semula, ujarnya kepada diri ku. Begitulah kehidupannya saban hari, saban bulan, malahan telah bertahun-tahun lamanya. Kesian diri ku mendengarnya, namun pada pandangan ku, dengan meminjam berterusan masalah tidak juga selesai dan lambat laun kawan yang sudi memberi pinjaman juga akan berkurangan kerana tiap orang ada masalah masing-masing.
"RAMAI ORANG LEBIH GEMAR MEMBACA DARIPADA BERFIKIR, KERANA IANYA LEBIH MUDAH"

Apa yang dapat diriku katakan pada beliau adalah memberi sedikit kata-kata nasihat serta ransangan dan juga turut mendoakan beliau supaya cepat keluar dari kemelut demikian. Segalanya berpunca dari sikap keinginan serta nafsu keinginan yang sukar dikawal. Tiap bulan dapat gaji bayar hutang dan sering tidak cukup, pendek kata wang gaji hanya transit di akaun sahaja, dapat dilihat seketika serta seterusnya hilang kerana terpaksa menjelaskan tunggakan-tunggakan hutang yang entah bila akan selesainya. Bagi diri ku, kita seharusnya hidup didalam pendapatan sendiri dan jangan sekali-kali berani untuk hidup diluar pendapatan sendiri, kerana kelak kita sendiri yang akan menanggung padahnya. Hari ini dalam dunia yang serba pantas kita banyak dikaburi oleh barangan yang ada ketikanya tidak mustahak pada kita, namun nafsu yang sukar dikawal membuatkan kita membelinya juga. Sehingga sanggup menyalah gunakan kredit kard serta berbagai cara pinjaman kredit yang lain asal sahaja keinginan diri dapat dipenuhi. Apa perlunya kita berhabis, jika sebenarnya kita menyiksa diri. Belajarlah untuk hidup dalam pendapatan sendiri dan berusahalah untuk melawan nafsu dengan budaya ikut-ikutan yang hanya akan menyiksa diri. Berjimat cermatlah, kerana orang yang bijak sentiasa berusaha untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% pendapatan bulanannya setiap bulan. Dan orang yang berjimat cermat juga mempunyai keinginan, namun golongan ini, hanya akan memenuhi keinginan mereka apabila sampai pada waktunya dan terlebih dahulu berusaha menyediakan budget serta bijak merancang juga mengawal keinginan mereka. Bersabar itu lebih baik, kerana orang yang bersabar serta sentiasa gigih dalam berusaha, biasanya mendapat apa yang mereka inginkan, cumanya sedikit lambat. Apa salahnya sedikit lambat daripada hidup menanggung hutang yang seolah-olah tiada penghujungnya.
"HENDAK MENYEGERAKAN PEMBANGUNAN DAN PEMBENTUKAN DIRI? BUANG YANG REMEH. LUANGKAN MASA DAN USAHA KEPADA PERKARA PENTING SAHAJA"

Dalam soal keinginan diri ini, tiada siapa yang dapat menghalang dan mengawal diri kita. Namun demikian diri kita, kitalah yang bertanggungjawab keatas setiap tindakan yang kita lakukan. Ada baiknya apabila ujudnya sesuatu keinginan pada diri, buat perancangan terlebih dahulu. Rancanglah dengan bijak, bagaimana serta bila untuk memilikinya serta buatlah kajian samaada kita benar-benar memerlukan apa yang kita inginkan itu atau sekadar untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk. Apalah gunanya nampak bergaya, namun pada hakikatnya hidup terseksa dan menyiksa diri. Kebiasannya mereka yang mempunyai hutang lebih dari kemampuan untuk membayar balik kehidupannya kurang tenteram dan sering tertekan. Tak kurang juga prestasi kerja menurun dan motivasi diri tidak konsisten. Perkara ini juga boleh mengundang bahaya kepada mereka yang berkerjaya, kerana apabila prestasi kerja anda menurun berkemungkinan majikan anda tidak menketogerikan anda sebagai pekerja yang boleh diharap. Bagaimana mungkin anda menyelesaikan masalah dengan baik dalam pekerjaan harian anda, sedangkan masalah diri anda sendiri tidak pernah selesai. Fikir-fikirkan, kebanyakan masalah yang datang dalam kehidupan kita adalah ciptaan kita sendiri dan kita sendirilah yang bertanggungjawab menyelesaikannya. Kita mulakan dan kita jugalah yang sepatutnya sudahkan. Ini juga mungkin menjadi penyebab mengapa kita lama berkhidmat dengan syarikat tempat kita bekerja, namun kita kekal disitu. "Hidup tanpa masalah, ibarat kehidupan yang telah mati, hidup memerlukan masalah untuk membuat kehidupan kita menjadi bermakna serta bererti". Namun kehidupan seseorang yang mempunyai masalah terlampau banyak serta berlebih-lebihan, mungkin mengundang padah pada diri. Sebab itu kita lihat banyak orang terjebak dengan perkara yang salah kerana mereka tidak dapat menyelesaikan masalah mereka dan sangat malang pula, jika terlibat dengan gejala yang negetif seperti terjebak dengan pengambilan dadah dan sebagainya, yang kononnya dapat menyelesaikan masalah seketika, padahal masalah tidak selesai dan menjejaskan kesihatan diri pula. Pelbagai jenis penyakit juga mudah hinggap kepada golongan sebegini. Bagi yang menghadapinya, berusahalah untuk pulih dan keluar dari kemelut itu, rujuklah pada yang pakar jika perlu. Jangan malu untuk bertanya dan berusaha jika anda ingin berubah, kerana tiap masalah ada penyelesaiannya, apa yang penting berusaha dengan bersungguh-sungguh, jangan hangat-hangat tahi ayam. Bagi yang tidak terlibat dengan permasalahan sebegini syukur alhamdullilah dan berusahalah untuk terus maju dan berjaya dengan keinginan yang positif. Keinginan yang positif membawa kepada kejayaan dan kesejahteraan, dan manakala keinginan yang negatif membawa mudarat serta padah kepada yang gagal mengawalnya.
"HIDUP TANPA MASALAH, IBARAT KEHIDUPAN YANG TELAH MATI, HIDUP MEMERLUKAN MASALAH UNTUK MEMBUAT KEHIDUPAN KITA MENJADI BERMAKNA SERTA BERERTI"

 Moga-moga nukilan pada kali ini sedikit sebanyak dapat memberi sedikit maklumat serta inspirasi kepada yang dapat merasakannya. Diri ini memohon ampun dan maaf kerana tidak berniat untuk meyakiti sesiapa, nukilan ini hanya sekadar berkongsi rasa hati, serta berkongsi pengalaman hasil daripada banyak pergaulan dan pengalaman  dalam perjalanan hidup ini.
Sekian untuk kali ini. Wassalam..........
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...