Hari ini diriku gagahkan juga untuk menukil walaupun agak sibuk sedikit kebelakangan ini. Agak lama juga diriku tidak menukilkan sesuatu buat warga pembaca ruangan ini khususnya. Begitulah kehidupan, adakalanya masa begitu mencengkam apabila banyak perkara yang perlu dilakukan dalam sehari. Setiap orang memiliki masa yang sama iaitu 24 jam sehari, tidak kira apa juga latarbelakang kita semua insan dimukabumi ini memiliki waktu yang sama. Bagaimana setiap dari kita memanfaatkan setiap masa yang ada?, bergantung kepada diri sendiri, kerana diri sendiri yang membentuk halatuju sendiri. Ada dikalangan manusia bekerja seolah-olah tidak cukup 24 jam sehari, bukan kepalang sibuknya. Kehidupan hari ini dalam sebuah negara yang membangun dan mengejar kemajuan kelihatan budaya juga ikut berubah. Kepantasan waktu pasti dirasakan oleh kebanyakan orang, apatah lagi dikalangan mereka yang sangat sibuk. Masyarakat bandar khususnya sangat kekurangan waktu, apa tidaknya jika saban hari pagi dan petang asyik sangkut dalam trafik jem dijalanraya sewaktu pergi dan pulang dari bekerja khususnya. Senario ini memang jelas bagi masyarakat di lembah klang khususnya. Turun awal pagi dan pulang lewat petang. Inilah kehidupan yang perlu dihadapi oleh masyarakat sebuah negara yang moden dan membangun seperti Malaysia hari ini.
Apa yang diriku ingin nukilkan pada hari ini merupakan sebuah kisah berkenaan "Menangguh dan mencipta alasan untuk melakukan sesuatu". Mencipta sesuatu perkara baru yang boleh memberi manfaat merupakan perkara yang sukar untuk dilakukan, namun mencipta alasan merupakan satu perkara yang sangat mudah untuk dilakukan, kerana ianya sekadar mengunakan logik akal untuk menciptanya. Perkara ini sebenarnya sangat merbahaya jika ianya menjadi amalan diri, kerana ianya boleh menyebabkan seseorang itu hilang peluang dan juga berkemungkinan hilang kepercayaan, khususnya dikalangan peniaga, akan berlakunya hilang kepercayaan dari pihak pelanggan khususnya. Mengapa tabiat ini sering berlaku pada sesetengah orang atau mungkin kebanyakan orang?. Cuba kita perhatikan bagaimana kehidupan orang-orang yang berjaya. Pasti jika kita perhatikan golongan orang-orang yang berjaya ini sangat teliti dengan pengurusan masa dan juga sentiasa mempunyai sasaran apabila mengusahakan sesuatu perkara. Mereka sering membawa pen bersama, kelihatan dengan dairy atau organizer, buku tulis serta peralatan canggih seperti galaxy tab sebagai alat bantu untuk mereka mencatit dan menguruskan masa dengan teliti. Saban hari golongan ini begitu tertib dan sangat berdisiplin menggunakan setiap waktu yang bakal dilalui. Maka tidak hairanlah jika mereka ini sangat berjaya, masa begitu penting serta sangat teliti menggunakannya. Benarlah ada peribahasa mengatakan, "wang boleh membeli jam namun tidak boleh membeli masa", masa yang berlalu tidak dapat dikembalikan lagi. Maka jika kita ingin berjaya kita juga harus bijak mengurus setiap masa yang bakal tiba, agar tidak menyesal dikemudian hari.
Ramai orang suka menangguh daripada memulakan persiapan seawal mungkin. Mereka akan menunda-nunda kerja dan tugas sehingga hampir ke saat-saat terakhir. Apabila rasa tertekan mereka akan mula melakukan kerja dan tugas secara intensif, berjaga hingga lewat malam atau bangun awal pagi, tidak berehat langsung dan memaksa diri menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun dalam masa yang singkat. Pada ketika ini berbagai masalah dihadapi seperti tekanan, bimbang, risau, takut dan sebagainya menghantui mereka. Semasa ke pejabat kerap juga berlaku situasi terlupa apa yang hendak dibawa dan diingat. Sebab utama ialah kerana kurang rehat dan kurang tidur maka otak tidak cukup untuk berfungsi sepenuhnya. Justeru, bersiap-sedialah daripada awal. Jangan bertangguh lagi. Jangan jadi juara bertangguh sebaliknya lakukan sekarang juga! Bertindak sekarang dan lakukan sekarang juga merupakan perkara yang sangat menguntungkan.
"BERTANGGUH MERUPAKAN SATU TABIAT YANG BURUK, KERJA BERTANGGUH TIDAK AKAN MENJADI"
Kebanyakan dari sikap kita lahir dari kebiasaan. Ia hadir secara sendirinya tanpa kita berfikir. Sikap kita secara keseluruhannya menjadikan tabiat kita. Jika seseorang memiliki tabiat yang positif, maka dia dikatakan mempunyai sikap yang positif. Manakala orang yang mempunyai tabiat yang negatif akan bersikap negatif. Pengaruh tabiat lebih kuat dari logik dan pemikiran. Tabiat mula wujud dalam diri, walaupun terlalu lemah untuk dirasai dan akhirnya menjadi terlalu kuat untuk ditinggalkan. Tabiat berkembang seiring dengan kegagalan atau keazaman. Tentu ada diantara kita masih ingat, semasa zaman kanak-kanak ibu bapa sering memberitahu kita, "anda seharusnya membentuk tabiat yang baik kerana tabiat yang baik akan membentuk sikap pada masa hadapan".
Apa juga yang kita sering lakukan secara berulangkali akan berubah menjadi tabiat. Kita belajar membina tabiat dengan amalan. Dengan memiliki keberanian, kita belajar menjadi berani. Dengan mengamalkan kejujuran dan keadilan, kita mempelajari dan membentuk keperibadian mulia. Dengan mengamalkan keperibadian ini, kita akan menjadi mahir kerana ianya telah menjadi kebiasaan kita. Begitu juga jika kita mengamalkan keperibadian yang negatif seperti ketidakjujuran, sikap tidak adil, suka mencuri tulang ataupun tidak berdisplin, keperibadian itulah yang akan menjadi tabiat kita. Perangai merupakan tabiat, itulah corak kelakuan kita. Ia mempengaruhi pemikiran, perlakuan serta tindakan kita.
Apa yang diri ku sering perhatikan dalam perjalanan kehidupan ini boleh disimpulkan begini; Sekiranya seseorang itu mempunyai sikap yang positif pada kebiasaanya insan-insan sebegini hatinya lembut, budinya baik, kelihatan kuat dan gagah, memiliki tahap kecerdasan serta kesihatan yang baik, suka menolong orang dan mempunyai kehidupan yang berjaya. Manakala insan-insan yang mempunyai sikap yang negatif pula kelihatan mudah ditimpa penyakit, kurang bermaya, tidak rajin dan malas berfikir, banyak mengharap serta suka mengharapkan bantuan dari orang lain walaupun adakalanya mereka sebenarnya mampu berusaha, kehidupan individu-individu yang negatif ini juga sering kelihatan hambar dan tidak menarik. Apapun yang kita lakukan, kehidupan kita adalah pilihan kita, sekiranya kita memilih untuk menjadi positif maka kita akan mendapat kehidupan yang positif dan begitulah sebaliknya, sekiranya kita memilih kehidupan yang negatif kita lah yang akan melaluinya juga. Setiap kita memiliki masa yang sama serta tinggal dibumi yang sama, apa yang membezakan setiap dari kita merupakan cara dan usaha yang kita lakukan mengikut keupayaan dan pilihan kita sendiri.
Kebanyakan dari sikap kita terhasil dari kelaziman dan ianya merupakan tabiat. Jika kita berhajat melakukan sesuatu dengan baik, ianya akan datang secara automatik. Jika kita terpaksa berfikir untuk melakukan sesuatu yang betul kita tentu tidak akan dapat melakukannya dengan baik. Ini bermaksud kita perlu sering melakukannya serta membentuknya menjadi tabiat kita. Ketika diri ku menuntut ilmu seni mempertahankan diri disuatu masa dahulu, diri ku perhatikan walaupun seseorang penuntut telah mendapat tali pinggang hitam, mereka masih berlatih teknik menumbuk, menahan, kemahiran-kemahiran asas, kerana jika mereka perlu menggunakan kemahiran-kemahiran ini, ianya harus datang secara semulajadi.
"TABIAT YANG BAIK SUSAH DIPUPUK NAMUN SENANG UNTUK DITERIMA, MANAKALA TABIAT YANG BURUK PULA SENANG DIPUPUK AKAN TETAPI SUKAR UNTUK DIJADIKAN AMALAN KEHIDUPAN"
Perubahan terjadi setiap masa. Oleh sebab itu, kita perlu berubah secara berterusan, bukan hanya sekali-sekala sahaja. Apabila kita melakukan sesuatu perubahan, maka hal lain juga turut berubah dan begitulah seterusnya. Tidak semua orang mampu melihat perubahan. Ramai daripada kita hanya berupaya melihat realiti tetapi tidak melihat pada masa hadapan. Salah satunya adalah perubahan selalu membawa manusia ke arah kemajuan. Sungguhpun biasanya ini adalah benar, tetapi manusia sering lupa, perjalanannya susah dan menyakitkan. Apabila dunia terus berubah tetapi pendidikannya masih berada pada takuk lama, ia membawa akibat buruk pada kemajuan sebuah bangsa dan negara. Itulah sebabnya perubahan perlu berlaku dalam semua bidang agar selari dengan kemajuan zaman. Yakinlah, bahawa setiap kali kita melangkah menuju zon yang mencabar, maka setiap kali itu jugalah ketakutan-ketakutan baru akan menjelma. Tidak mengapa, terimalah ketakutan-ketakutan baru yang dilingkungan zon yang mencabar daripada terus menghadapi ketakutan-ketakutan lama dalam zon yang selesa. Apalah ertinya menjadi seumpama jaguh kampung yang hanya mampu menang dalam gelanggang sendiri dan menghadapi lawan yang sama, dibandingkan dengan jaguh sebenar yang menghadapi pelbagai lawan di pelbagai gelanggang. Tegasnya, terimalah ketakutan sebagai harga untuk setiap peningkatan yang dibuat.
"IMPIAN SEHARUSNYA BESAR UNTUK MENAKLUKI RASA TAKUT. SEKIRANYA KITA ADA KEINGINAN TETAPI KEINGINAN ITU TIDAK CUKUP KUAT UNTUK MEMADAMKAN RASA TAKUT, ITU SEBENARNYA BUKAN KEINGINAN. ITU MERUPAKAN HANYA SEKADAR ANGAN-ANGAN"
Impian yang menyala-nyala akan memadamkan ketakutan dalam diri kita. Impian mesti besar untuk menakluki rasa takut. Sekiranya kita ada keinginan tetapi keinginan itu tidak cukup kuat untuk memadamkan rasa takut, itu sebenarnya bukan keinginan. Itu hanya angan-angan. Sebaiknya, tukarkanlah rasa takut itu untuk menjadikannya satu keinginan yang menyala-nyala. Ketakutan untuk gagal menjadi keinginan untuk berjaya. Ketakutan menjadi miskin, mendorong keinginan menjadi kaya. Ketakutan menghadapi mati, membuatkan kita berhati-hati dalam menjalani perjalanan kehidupan. Impian umpama layang-layang, manakala rasa takut pula ibarat angin. Layang-layang hanya terbang sekiranya dilayangkan melawan angin bukannya mengikut angin. Oleh demikian sekiranya ada rasa takut dalam hidup, itu sebenarnya adalah baik, kerana ketakutan itulah yang akan menyalakan impian kita. Orang-orang yang berjaya merupakan mereka yang sentiasa mengawal tindakan-tindakan dirinya dalam hidup ini, bukannya orang lain yang cuba mengawal tindakan-tindakan mereka. Selalu ingatkan diri kita bahawa kejayaan bukan bergantung kepada apa yang berlaku ke atas kita, tetapi apa yang kita lakukan terhadap perkara yang telah berlaku itu, dengan upaya daripada apa yang kita lakukan dalam diri kita.
Sampai disini dahulu nukilan diri ku buat kali ini, moga sedikit sebanyak perkongsian dalam nukilan pada kali ini dapat memberi manfaat kepada warga pembaca di ruangan ini. Sama-sama kita renungkan, yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang kurang itu pula dari diri ku insan yang kerdil ini. Sekadar berkongsi dengan niat mudah-mudahan boleh mendatangkan manfaat kepada yang merasakannya. Insya Allah........Sekian dahulu.........
Wasallam..........