Memiliki impian dalam kehidupan merupakan fitrah kepada setiap manusia yang menghuni bumi Allah SWT yang bertuah ini. Rata-rata setiap orang tentu ada impian dan sudah tentu berbeza-beza mengikut peringkat keperluan dan keupayaan masing-masing. Definasi kejayaan juga jika diajukan kepada seseorang tentu jawapannya berbeza-beza. Bagi yang bekerja dan bercita-cita tinggi melangkah naik dari satu peringkat ke satu peringkat merupakan suatu impian. Manakala bagi yang sedang belajar pula tentu melanjutkan pelajaran ke menara gading merupakan impian yang seterusnya. Bagi yang berniaga tentu mahu berjaya dengan perniagaannya keperingkat yang lebih baik. Bagi yang berminat dengan politik menjadi pemimpin peringkat atasan tentu menjadi impiannya dan berbagai lagi impian-impian yang lain mengikut keperluan masing-masing.
"INDIVIDU YANG MEMPUNYAI KEKUATAN AKAL, TENTU DAPAT MENGAWAL DIRINYA DENGAN LEBIH BAIK SERTA MAMPU MENJADI PEMIMPIN TERBAIK BAGI DIRI SENDIRI. AKTIVITI BERFIKIR SECARA POSITIF PERLU DISEMAI SERTA DIPUPUK DALAM DIRI SETIAP INDIVIDU SUPAYA SEGALA TINDAKAN YANG DIBUAT OLEH INDIVIDU ITU BUKAN HANYA BERKUALITI, MALAHAN DAPAT MENJIMATKAN TENAGA, HARTA BENDA SERTA MASA"
Memiliki impian merupakan suatu perkara, manakala mengusahakan impian merupakan titik tolak samada seseorang itu berjaya mencapainya atau pun tidak. Adakalanya ianya sekadar angan-angan yang tidak pernah tercapai. Mengapa terjadi sedemikian rupa pada sesetengah orang? Sudah tentu kerana impian tersebut tidak diusahakan. Mana mungkin mencapai impian sekiranya tiada usaha yang dilakukan. Bagi mereka yang mengusahakan impiannya, Tahniah dan Syabas diucapkan, kerana anda telah pun memulakan usaha, manakala bagi yang telah mencapai impiannya, bersyukurlah dengan pencapaian tersebut serta pertahankan dan terus menambah nilai kepada pencapaian tersebut agar ianya terus berkembang sehingga menjadi warisan yang "tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas". Kepada yang belum mengusahakan impian, anda masih belum terlewat sekiranya anda masih sihat dan mempunyai waktu untuk mengusahakannya. Waktu yang telah berlalu tidak mungkin akan kembali dan sebaiknya manfaatkanlah ruang waktu yang masih ada untuk berusaha menjadikan impian anda sebagai suatu realiti. Sesiapa sahaja boleh mencapai impiannya asal sahaja impian tersebut dalam kadar kemampuan serta kebolehannya untuk mencapai. Yang paling mustahak adalah kemahuan untuk berusaha kearah mencapainya harus ada, jika tiada usaha tiadalah hasilnya.
"LAKSANAKANLAH SEGALA SESUATU DENGAN KESUNGGUHAN, SIKAP BERHATI-HATI SERTA CERMAT, JANGAN ANGGAP REMEH KELALAIAN DAN JANGAN TERGESA-GESA KERANA SEMUA ITU AKAN MENJADI PUNCA KESILAPAN DAN KEGAGALAN. SELALULAH MENILAI SEMULA SETIAP PERINGKAT YANG DILAKUKAN. PERCAYALAH MERENUNG SEBENTAR UNTUK MENILAI SEMULA AKAN MEMBUATKAN HASILNYA LEBIH BERMUTU"
Setiap dari kita sebagai insan biasa tidak akan terlepas daripada memiliki kekurangan dan kelebihan. Jangan jadikan kekurangan sebagai alasan sebaliknya ambilah kekurangan yang ada pada diri sebagai cabaran sekiranya mahu mencapai impian. Kekurangan sekiranya dilihat sebagai cabaran boleh bertukar menjadi semangat juang untuk berusaha kearah mencapai impian. Manakala kelebihan yang ada pada diri pula merupakan aset utama untuk dikembangkan, kerana kelebihan pada diri jika dimanfaatkan dengan betul dan kena pada tempatnya tentu sangat membantu dalam prosese usaha membina impian. Memiliki impian lantas mengusahakannya dengan penuh kesungguhan sehingga mencapai apa yang di impikan adalah suatu perkara yang indah untuk dimiliki. Oleh demikian berusahalah dari sekarang dan jangan berlengah lagi. Amatlah sayang setiap detik waktu berlalu begitu sahaja, tambahan pula bagi mereka yang masih muda. Masa muda hanya sekali, oleh itu manfaatkan masa muda anda dengan sebaik mungkin. Mencapai impian dalam usia yang masih muda merupakan suatu kelebihan, manakala bagi mereka yang mencapainya dalam lewat usia juga tidak ada istilah terlewat. Apa yang mustahak anda telah berusaha dan berjaya mencapai impian anda, maka anda berhak untuk menikmati kejayaan anda itu.
" PERBEZAAN ANTARA BERJAYA DAN GAGAL KEBIASAANNYA DAPAT DIUKUR DARIPADA TUMPUAN ATAU FOKUS YANG DILAKSANAKAN OLEH INDIVIDU TERSEBUT. DALAM USAHA MEMPERTINGKATKAN POTENSI DIRI BERI TUMPUAN KEPADA SATU MATLAMAT YANG UTAMA"
Pada hari Ahad yang lalu, diri ku telah menghadiri majlis kenduri perkahwinan anak kepada seorang kenalan lama ku. Di majlis tersebut diri ku telah berpeluang bertemu dengan beberapa kenalan lama, kelihatan ada antara kenalan ku yang telah lama tidak bertemu semakin dipanjat usia. Berpeluang sesekali bertemu dengan kawan-kawan lama tentu ada sahaja perkara yang boleh dibualkan. Berbagai-bagai isu dan topik kedengaran dalam pertemuan pada kali ini dan entah bila pula akan dapat bertemu kembali kerana masing-masing dengan komitmen masing-masing. Namun peluang sesekali sebegini bagi diri ku tidak harus dilepaskan dan walaupun seketika dapat juga mengubat rindu bertemu dengan kawan-kawan lama. Ada salah seorang kawan ku ini asyik berbual tentang perniagaan yang beliau usahakan secara kecil-kecilan dan dalam perbualan bersama beliau, ada beliau menyatakan impiannya kepada ku iaitu katanya, "tiga tahun lagi aku akan buka sebuah restoran", begitulah ayatnya yang beliau sebutkan pada ku yang menjadi impiannya kini dan telah meletakkan sasaran daripada berniaga digerai mahu melangkah maju untuk mengusahakan perniagaan dalam bentuk sebuah restoran yang lebih besar dan selesa. Tahniah kepada kawan ku ini kerana mempunyai sebuah impian yang murni untuk terus maju dalam perniagaan dan kehidupan pada masa akan datang.
"KEJAYAAN ATAU KEGAGALAN KITA BERGANTUNG PADA KERJA KITA. UNTUK BERADA DI KEMUNCAK JADILAH YANG TERBAIK DI BAWAH TERLEBIH DAHULU"
Apa yang boleh diri ku kongsikan serba sedikit ketika berbual-bual dengan beliau pada ketika itu adalah berkenaan dengan topik, "Tekad, Kemahuan dan Fokus". Untuk mencapai impian seperti kes kawan ku ini tiga perkara ini amat penting dan perlu ada dalam berusaha. Sekiranya anda benar-benar telah bertekad dengan impian anda, bersungguh-sungguhlah dalam berusaha, kerana kesungguhan itu sangat perlu. Tanpa kesungguhan impian yang murni ini tidak mungkin akan tercapai. Kemahuan pula sangat memainkan peranan, tanpa kemahuan yang jitu anda tidak akan mungkin menjana disiplin dalam berusaha. Oleh yang demikian kemahuan mestilah sentiasa dibajai dengan elemen-elemen yang positif untuk terus mara dalam mengushakan impian anda itu. Fokus pula merupakan tunjang utama kepada kejayaan mencapai impian anda. Sekiranya dalam satu-satu masa anda mempunyai beberapa perkara untuk diberi perhatian, aturlah keutamaan anda dengan bijak. Dalam mengushakan impian, berikan tumpuan dan fokus kepada keutamaan, korbankan perkara-perkara yang kurang penting kerana tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Fahamilah apa yang anda mahukan dalam hidup anda dan sentiasalah kemaskinikan pengetahuan anda dalam usaha membina impian anda. "Anda fokus tentu anda akan faham, anda faham tentu anda akan kemas". Faham dan kemas dalam mengusahakan impian anda merupakan satu tanggungjawab dan sekiranya tanggungjawab telah mengambil tempat, akhirnya anda akan menjadi seorang yang berdisiplin. Hanya mereka yang benar-benar berdisiplin sahaja biasanya akan mencapai impian yang diusahakan. Jarang sekali orang yang tidak berdisiplin boleh berjaya. Disiplin merupakan kunci utama dalam mengusahakan impian, baik impian itu kecil mahupun besar. Apa bezanya pelajar cemerlang dengan pelajar biasa? Cuba perhatikan, tentu disiplin merupakan kunci utama diatas kecemerlangan tersebut. Anda mahu mencapai impian anda, berusahalah menjadi seorang yang berdisplin. Mungkin perit atau sakit untuk membiasakan diri agar mempunyai disiplin yang tinggi, namun sekiranya diamalkan dan sudah menjadi perkara biasa, akhirnya ia akan membentuk tabiat dan seterusnya akan mempermudahkan anda untuk mencapai impian anda dalam berusaha.
"KITA HIDUP HANYA SEKALI. TETAPI JIKA KITA HIDUP DENGAN SEBAIK-BAIKNYA, SEKALI TELAH MENCUKUPI"
Akhirkata dari ku buat kali ini, selamat berusaha memburu impian anda. Sesungguhnya dalam kehidupan ini tidak ada istilah terlewat selagi anda mahu berusaha dan benar-benar mengusahakan impian anda. Anda buat anda dapat, anda tidak buat masa akan terus berlalu. Ada peribahasa lama mengatakan., "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Selamat maju jaya dan selamat berusaha. Semoga nukilan ku pada kali ini dapat memberi sedikit panduan dan pedoman buat diri ku serta warga pembaca yang dapat merasakan manfaatnya.
Sekian.........Wasalam.................