Sunday 29 April 2012

"MENGAPA INI TERJADI?"........

"DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM, JIWA SESUATU BANGSA ITU DIKATAKAN MERDEKA SETELAH MEREKA MENERIMA HAKIKAT DAN YAKIN BAHAWA "TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH SWT, DAN NABI MUHAMAD ITU ADALAH PESURUH ALLAH SWT"

            Pada hari ini diri ku berkesempatan bertemu dengan seorang teman, dalam pertemuan hari ini beliau mengajukan beberapa persoalan mengambil daripada nukilan diri ku pada blog yang lepas, iaitu yang bertajuk "Kehendak dan Kesungguhan". Dalam perbualan kami pada hari ini, beliau berkata, yang berbunyi lebih kurang begini. Saya telah membaca blog tersebut dan saya faham maksud kehendak, akan tetapi amat sukar untuk bersungguh. Saya memang mempunyai kehendak namun saya sering gagal kerana sukar untuk bersungguh dengan kehendak yang saya sering bayangkan. Kadang-kadang saya tidak tahu mengapa sikap saya sebegitu, amat mudah untuk membiarkan kehendak saya berlalu begitu sahaja.
"KONSEP ACUAN SENDIRI INI ADALAH PENTING DAN MENJADI AGENDA UMAT ABAD INI. PEMBINAAN MODAL INSAN TANPA ACUAN SENDIRI BAKAL MENGULANGI PENDEKATAN LAMA DALAM PROSES PEMBANGUNAN DAN PERUBAHAN YANG BERASASKAN PENDEKATAN BARAT"

Ya!, rata-rata setiap insan yang waras akal fikirannya sememangnya memiliki perasaan berkehendak akan sesuatu dalam kehidupannya. Mungkin bagi kehendak yang biasa-biasa serta tidak mempunyai cabaran yang tinggi amat mudah untuk dicapai, misalnya berkehendak untuk memiliki pakaian baru pada awal bulan, sewaktu  gaji diterima. Sudah tentu apabila tiba pada hari tersebut kita akan membeli apa yang kita kehendaki tersebut berdasarkan budget dan kemampuan yang sesuai dengan kadar gaji kita. Kehendak biasa mungkin tidak sukar untuk kita memilikinya kerana pada dasarnya seorang dewasa yang telah memiliki pekerjaan akan hidup berdikari serta berbelanja dalam kadar kemampuan gaji yang dimiliki untuk menampung sara hidup. Apa yang dimaksudkan oleh teman ku ini adalah, beliau berkendak untuk memiliki taraf hidup yang lebih baik, iaitu jika boleh tangga gaji yang lebih lumayan supaya boleh memiliki kehidupan yang lebih selesa dan dapat berbelanja dengan lebih selesa berbanding sekarang yang katanya hanya memiliki kadar gaji cukup-cukup makan dan ada ketikanya tak sampai hujung bulan poket dah kering. Keadaan ini berlarutan tahun demi tahun dan amat sukar untuk diperbaiki dengan keadaan hidup di kota Kuala Lumpur, segalanya kena bayar dan termasuklah ke tandas pun dikenakan bayaran. Begitulah kehidupan beliau dan diri ku percaya bukan beliau seorang sahaja yang menghadapi keadaan kehidupan sebegini, tentu ada lagi insan-insan yang senasib dengan beliau.
"AKAL TANPA FIKIR MENYEBABKAN PERUBAHAN TIDAK BERLAKU. FIKIR TANPA ZIKIR HILANG JIWA KEINSANAN"

Berkehendak merupakan satu perkara, sesiapa sahaja boleh berkehendak untuk memiliki taraf kehidupan yang lebih baik. Bezanya kepada yang mampu mencapainya dan dengan yang tidak mampu mencapainya adalah kesungguhan dalam berusaha. Kepada yang tidak bersungguh, sudah tentu akan terus menerus melalui kehidupan yang hampir serupa walaupun bertahun-tahun telah bekerja namun masih tidak dapat meningkatkan taraf hidup. Mengapa ini terjadi?, adalah kerana tiada kesungguhan untuk melaksanakan kehendak tersebut. Bagi yang berjaya mengubah taraf hidup anda dari setahun ke setahun kepada taraf yang lebih baik walaupun secara perlahan-lahan, tahniah dan syabas! diucapkan kerana anda memiliki formula dan disiplinnya. Untuk melangkah atau mengubah taraf hidup seharusnya langkah pertama harus diambil, tetapkan matlamat apa yang ingin dicapai dari setahun ke setahun. Pendapatan hasil daripada bekerja jika tidak dirancang dan dikawal dengan betul, sememangnya banyak manapun tidak akan pernah mencukupi. Kerana apa diriku katakan begitu, pada hari ini begitu banyak benda dan benda baru saban hari berada dalam pasaran, tidak cukup dengan itu penjualan secara online semakin memudahkan kita untuk berbelanja. Persolannya adakah kita berbelanja kerana keperluan ataupun sekadar mengikut hawa nafsu?
"BUDI MEMANCAR RESAM FIKIRAN DAN DAYA MEMANCARKAN AMAL MULIA. BUDI DAN DAYA MENGHASILKAN BUDAYA DAN IANYA MENJADI CARA HIDUP"

Seharusnya jika kita mahu mengubah taraf kehidupan, terlebih dahulu kita seharusnya memiliki matlamat untuk berjimat cermat. Bersungguh untuk menabung sekurang-kurangnya 10% pendapatan bulanan kita sebagai persediaan untuk meningkatkan taraf kehidupan dari setahun ke setahun. Bersungguh untuk membina kehidupan dalam kadar pendapatan sendiri. Tetapkan matlamat apa yang perlu adalah bersungguh untuk tidak membelanjakan pendapatan kepada perkara yang tidak perlu. Di dunia ini jelas menunjukkan kebiasaanya orang yang pandai berjimat cermat dalam mengawal perbelanjaan selalunya akan mampu memiliki taraf kehidupan yang lebih baik, manakala orang yang boros sering kecewa dalam kehidupan mereka kerana tidak pernah bersungguh dalam berusaha. Manakala bagi yang rajin tentu boleh berusaha untuk menambah pendapatan dengan berusaha melakukan aktiviti lain yang boleh menjana ekonomi. Hidup ini jika kita rajin banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Apa yang mustahak mestilah berkehendak untuk melakukannya dan seterusnya bersungguh-sungguh apabila berusaha melakukan sesuatu. Percayalah sekiranya anda berkendak dan bersungguh-sungguh anda pasti akan mampu memilikinya. Bermulalah seawal mungkin dalam merancang kehidupan agar ianya terus meningkat dari setahun ke setahun kerana masa yang telah berlalu pasti tidak akan dapat di ulang kembali. Jika telah bertekad dengan kehendak, maka bersungguh-sungguhlah untuk memilikinya. Ingat!, beza orang yang berjaya memiliki kehendaknya dengan orang yang gagal memiliki kehendaknya adalah bersungguh-sungguh dalam berusaha. Tetapkan matlamat dan berdisplinlah untuk mengejar impian anda. Anda buat anda dapat, anda tidak buat anda tidak dapat.
"DI DALAM HATI TERKANDUNGNYA NIAT DAN HASRAT LALU DIHUBUNGKAN DENGAN HATI DAN BUDI. KALAU TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG MANAKAN DAPAT SAGUNYA"

Akhir kata dari diri ku, selamat berusaha memiki kehendak anda dan bersungguh-sungguhlah mulai saat ini. Tidak ada istilah terlambat, apa yang penting kesungguhan untuk memilki matlamat yang ditetapkan seharusnya diusahakan dengan penuh kesungguhan.                                                                             Sekian dahulu untuk kali ini.
Wasalam........................





Friday 27 April 2012

KEHENDAK DAN KESUNGGUHAN.....

"ALLAH MENGETAHUI APA YANG KITA INGINKAN SERTA PERLUKAN. BAHKAN, ALLAH DAPAT MEMBERIKANNYA TANPA HAD"

Bismillaahirrahmaanirrahiem...
Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi penyayang. Puji bagi Allah yang bukan kepalang berkasih sayang lagi pemurah terhadap hamba-hambanya, sehingga kepada kita sebagai ummat yang lupa dan kurang pengertiannya bahawa Allah itu pencipta segala sesuatu, diperintah mendoa, meminta kepadanya segala sesuatu yang dihajatkan olehnya, kemudian Allah berjanji mengabulkannya.
Firman Allah dalam al Qur'an surat al Mu'min ayat 60:
Ud' uunie astajib lakum.
Mintalah kepadaku, pasti aku mengabulkan permintaanmu.
Sabda Nabi s.a.w.
Addu' aa'u mukhkhul ibaadah.
Doa itu sebagai sungsum ibadah.

Rabbisyrahlie shadrie wa yassir lie amrie wahlul 'uqdatan minlisaanie yafqahuu qaulie.
Ya Tuhan! Lapangkanlah hatiku dan mudahkanlah urusanku, lancarlah lisanku agar mereka mengerti perkataanku.
"KUNCI KREATIVITI MERUPAKAN SEMANGAT JUANG YANG BERKOBAR-KOBAR HENDAK MENGHIMPUN ILMU BARU, PENGALAMAN BARU, WAWASAN BARU, SAHABAT BARU DAN SUASANA BARU. INI SEMUA MELIPATGANDAKAN  KEMAMPUAN MANUSIA BAGI MELAHIRKAN GAGASAN BARU YANG ORIGINAL DAN BERKESAN"

Asalammualaikum dan salam hormat,
Lama telah tidak menukil, kebelakangan ini bukan kepalang sibuknya dengan tugasan didalam dan diluar pejabat. Rindu tidak terkira untuk menukil titipan luahan rasa hati yang kian lama terpendam. Didoakan semoga warga pembaca sekalian dalam keadaan sihat sejahtera diwaktu membaca nukilan diri ku pada kali ini. Semoga  nukilan pada kali ini sedikit sebanyak dapat mengubati rasa rindu kalian terhadap nukilan ku yang tak seberapa ini.
"PERCAYALAH, TIDAK ADA ERTINYA KEKAYAAN HARTA YANG MELIMPAH APABILA HATI MISKIN DAN PAPA DARIPADA KEYAKINAN, KEBENARAN DAN KEBAIKAN"

Kebetulan diri ini berpeluang mengunjungi negara Hong Kong pada baru-baru ini atas urusan pekerjaan dan juga menghadiri beberapa siri seminar keusahawanan sepanjang lima hari berada disana. Apa yang diri ini ingin nukilkan adalah berkaitan kemajuan yang begitu ketara di Hong Kong. Pada diri ku ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki disana. Walaupun ini bukan kali pertama diri ini berpeluang untuk mengunjungi negara maju. Apa yang dapat diri ini katakan adalah Hong Kong pada hari ini tiga kali ganda lebih maju daripada Malaysia. Hong Kong hanyalah sebuah pulau yang kecil, namun mereka berjaya meletakkan negara mereka yang kecil itu pada tahap kemajuan yang begitu tinggi sekali. Baik dari sistem pengankutan awamnya sehinggalah kepada rekabentuk jalanraya dan banggunannya, tak kurang juga penggunaan ruangan bawah tanah bagi sistem pengankutan trainnya.


"ALLAH MENJADIKAN REZEKI SESUATU YANG UNIK DAN MEMPESONA. APABILA KITA TIDAK MEMAHAMI RAHSIANYA , PASTI KITA DIPERHAMBAKANNYA SETIAP HARI. SELAIN MENJADIKAN KITA SENGSARA DAN HINA, IA JUGA MENYITA SELURUH WAKTU HIDUP KITA"

Mengapa negara mereka begitu maju dan apakah yang menyebabkan negara mereka begitu maju? Apa yang diri ku perhatikan sepanjang lima hari berada disana adalah "kehendak". Ya! mereka benar-benar dan bersungguh-sungguh dengan kehendak maju dan terus memajukan taraf kehidupan. Pengakutan awam disana bergerak dengan pantas dan mudah untuk mendapatkan khidmatnya dimana-mana sahaja. Mereka sungguh efesyen dan sangat mementingkan masa, sehinggakan teksi mereka mengenakan bayaran mengikut masa bukan kilometer seperti di Malaysia. Jelas mereka sangat teliti dengan penggunaan masa dan ini menunjukkan pemandu teksi mereka mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana kadar yang dikenakan adalah mengikut masa. Apabila kita menaiki teksi mereka bererti kita membayar masa pemandu tersebut. Dengan demikian pemandu tersebut boleh merancang pendapatannya saban hari, lebih banyak masanya mengangkut penumpang, lagi lumayan pendapatannya. Di Hong Kong standard pada teksi mereka sama sahaja, hanya satu model sahaja iaitu Toyota digunakan sebagai teksi. Rata-rata kualiti teksi mereka hampir sama, yang bezanya adalah pemandunya, ada yang benar-benar baik dan ada juga yang mengambil kesempatan. Mengapa diri ku katakan begitu, kerana setiap hari diri ini berulang dari stesen Kawloon express ke Nathan Road tempat kami menginap, tambangnya berbeza-beza, walaupun jaraknya sama. Ini terjadi adalah kerana cara mereka menggunakan jalannya, jika mereka mengikut jalan yang dekat tambangnya sedikit murah, manakala jika mereka mengikut jalan yang jauh, tambangnya akan meningkat, ini kerana tambangnya mengikut masa. Sebagai pelancong diri ini tidak banyak dapat berbuat apa-apa, apa yang tercatat pada meter, itulah yang kami bayar pada setiap kali menggunakan khidmat teksi sewaktu berada disana. Maklumlah nak naik bus tak reti, walaupun begitu banyak bus dua tingkat lulu-lalang depan mata.
"SIKAP YANG KUAT DAN BAIK PERLU BERSATU. INI HANYA TERJADI APABILA DUA SIKAP, IAITU SIKAP YANG KUAT DAN BAIK BERSATU. CONTOHNYA, GABUNGAN ANTARA SIKAP TABAH, TEKUN, RENDAH HATI DAN GIGIH. BEGITU JUGA DENGAN PRESTASI GEMILANG YANG BERGABUNG DENGAN IKHLAS. DENGAN INI, BARULAH WUJUD INDIVIDU YANG TABAH, BERANI, GIGIH, RAJIN, JUJUR, RENDAH HATI, DAPAT DIPERCAYAI DAN SEBAGAINYA"

Apapun dalam tempoh lima hari disana, rata-rata dijalanraya begitu banyak kelihatan bus dua tingkat, teksi dan kereta-kereta mewah yang dipandu oleh orang awam. Amat sukar untuk melihat kenderaan biasa, rata-rata penduduk di Hong Kong yang berkereta memandu kenderaan mewah dan ini melambangkan kemampuan mereka amat tinggi. Namun demikian rumah mereka kecil-kecil kerana ruang tanah yang terhad. Rata-rata masyarakat Hong Kong mendiami flet, apartment dan kondominium. Jika di Malaysia kelihatan ramai yang mampu mendiami rumah teres, namun di Hong Kong perkara ini adalah yang mustahil kerana negara mereka kecil dan mereka perlu tinggal dikediaman yang tinggi-tinggi dan bersaiz terhad. Penduduk di Hong Kong banyak menggunakan kenderaan awam, seperti bus, train dan teksi untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Mereka juga kelihatan bersaiz kecil, ini kerana mereka banyak berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat. Budaya berjalan kaki begitu jelas kelihatan disana sini. Struktur banggunan mereka pula kebanyakkannya sebelah bawah dijadikan kedai, bank dan butik-butik mewah, manakala lapisan atas hotel-hotel biasa yang banyak terdapat disana sini, manakala tingkat yang lebih tinggi pula menjadi kediaman penghuni tempatan. Rata-rata masyarakatnya hidup dengan penuh displin dan sangat mementingkan kebersihan dan penggunaan masa. Adakalanya kelihatan mereka terkejar-kejar apabila berjalan pun banyak yang berjalan pada kadar yang laju-laju. Ini menunjukkan masyarakat maju seperti mereka ini sudah terdidik dengan disiplin dan sangat menghargai masa.
"MANUSIA DAPAT MENGUBAH DIRINYA MENUJU KEBAIKAN APABILA DIA MENGHIDUPKAN SIFAT BAIKNYA DAN MEMATIKAN SIFAT BURUKNYA. DENGAN ITU, KITA PERLU MEWUJUDKAN PERSEPSI DIRI YANG LEBIH BAIK DAN YAKIN KITA BOLEH BERJAYA"

Apa yang dapat diri ku simpulkan dari nukilan yang serba ringkas ini adalah. Majunya sesebuah negara itu adalah kerana bangsa dan masyarakatnya terlebih dahulu memajukan pemikiran mereka. Apabila masyarakat atau bangsa itu sangat berkehendak, komited dan bersungguh-sungguh berusaha ke arah perubahan dan seterusnya membina satu budaya yang maju serta berdaya saing. Secara tidak langsung generasi yang lahir seterusnya menjadi lebih baik dan maju. Namun sangat jelas kelihatan, cabaran untuk mengurus sebuah negara yang lebih kecil tampak lebih mudah berbanding mengurus sebuah negara yang bersaiz lebih besar. Apapun semuanya terletak pada bangsa dan masyarakat yang menghuni negara tersebut. Berkehendak adalah satu perkara, manakala berusaha dan bersungguh-sungguh pula merupakan satu lagi perkara. Jika mereka boleh, sesiapa sahaja tentu boleh. Seperti peribahasa orang dulu-dulu, tepuk dada tanya selera. Apa yang diri ku harapkan dari perkongsian nukilan ini, mudah-mudahan ada sedikit motivasi yang boleh dijadikan panduan, khusunya buat diri yang kerdil ini dan mudah-mudahan warga pembaca sekalian mendapat sedikit manfaat dari kisah ini.
Semoga ketemu lagi di lain waktu dengan nukilan-nukilan yang lain pula. InsyaAllah......
Wasalam............

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...